Sabtu, 4 Januari 2014

Bakti Anak Kepada Ibubapa Yang Sudah Meninggal



Seseorang anak wajib mentaati dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya, tetapi adakah ia memadai atau terbatas ketika mereka masih hidup sahaja? Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menyentuh atau memerintahkan agar seseorang anak berbakti atau membuat kebajikan terhadap kedua-dua ibu bapanya, dan ia tidak terbatas ketika mereka masih hidup. Terdapat beberapa amalan kebajikan yang boleh disumbangkan oleh seseorang anak kepada kedua-dua ibu bapanya setelah meninggal dunia.


1. Menjelaskan hutang.

Islam amat menitikberatkan persoalan memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia hingga ke akhirat kelak. Seseorang yang berhutang wajib menjelaskan segala hutangnya, dan sekiranya ia meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan hutangnya maka tanggungjawab untuk membayar hutang tersebut adalah ke atas warisnya. Semua hutang sama ada melibatkan orang perseorangan, pihak bank dan sebagainya hendaklah dibayar tanpa mengira jumlahnya yang sedikit ataupun banyak.


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya. (Riwayat Bukhari, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah).

Abu Said r.a. berkata: Telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. jenazah untuk disembahyangkan, lalu baginda bertanya: Adakah mayat ini masih menanggung hutang? Sahabat menjawab: ``Ya, Rasulullah''. Baginda bertanya: Adakah ia ada meninggalkan harta kekayaan untuk membayarnya? Jawab sahabat: ``Tidak.'' Lalu baginda bersabda: Sembahyanglah kamu pada kawanmu itu. Baginda sendiri tidak turut serta menyembahyangkannya. Kemudian Ali bin Abi Talib berkata: ``Wahai Rasulullah, biarlah saya yang membayar hutangnya.'' Sesudah itu baginda segera maju untuk menyembahyangkan jenazah sambil berkata kepada Ali: Semoga Allah membebaskan tanggunganmu (dirimu) daripada api neraka, sebagaimana kamu telah membebaskan tanggungan saudaramu yang Muslim itu. Tidaklah seorang Muslim yang membayar hutang saudaranya melainkan Allah akan membebaskan tanggungannya (dirinya) daripada api neraka pada hari kiamat kelak.


Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Barangsiapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati, maka Allah akan bertanya pada hari kiamat: Apakah kamu mengira bahawa Aku tidak akan menuntut hak hamba-Ku? Maka diambil amal kebajikan orang itu dan diberikan kepada orang yang memberi hutang dan jika orang yang berhutang tidak mempunyai amal kebajikan, maka segala dosa orang yang memberi hutang itu, diberikan kepada orang yang berhutang.


2. Membayarkan zakat.

Seseorang yang meninggal dunia dan belum membayar zakat, maka wajib bagi warisnya menjelaskan zakat tersebut kerana zakat yang belum dibayar itu adalah hutang seseorang hamba kepada Allah s.w.t. Kewajipan membayarnya pula didahulukan sebelum menjelaskan hutang yang lain, memenuhi wasiat dan pembahagian harta pusaka.
Daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanya: ``Ibu saya telah meninggal dunia dan berhutang puasa selama satu bulan. Apakah saya perlu membayarkannya?'' 

Sabda Rasulullah s.a.w.: Sekiranya ibu kamu mempunyai hutang, adakah kamu akan membayarkannya? Jawab lelaki tersebut: ``Ya.'' Baginda menjawab: Hutang kepada Allah adalah lebih utama dibayar. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


3. Mengqadakan puasa.

Waris atau anak-anak disunatkan supaya mengqada puasa ibu bapanya yang telah meninggal dunia, ia termasuk puasa Ramadan, puasa nazar dan puasa kafarah. Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang mati sedangkan ia ada kewajipan berpuasa, maka walinya berpuasa untuknya. (Muttafaq Alaih) Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawasanya seorang wanita berkata: Ya Rasulullah, ibu saya telah meninggal dunia sedangkan ia ada puasa nazar, adakah saya boleh berpuasa untuknya? Rasulullah s.a.w. bersabda: Bagaimana pendapatmu sekiranya ibu kamu mempunyai hutang dan kamu membayarkannya, tidakkah itu menunaikan hutangnya? Wanita itu menjawab: ``Ya.'' Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: Berpuasalah untuk ibumu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


4. Membayarkan fidyah puasa.

Fidyah puasa itu ialah memberi sedekah dalam kadar satu cupak makanan asasi penduduk sesebuah negara sama ada daripada beras, gandum atau seumpamanya. Di Selangor kadar satu cupak itu ialah 900 gram bersamaan RM1.10. Mereka yang diwajibkan membayar fidyah puasa ialah:

l.Orang sakit yang tidak ada harapan akan sembuh penyakitnya.

2. Orang tua yang tidak upaya berpuasa atau menemui kesukaran untuk
berpuasa dengan sebab tuanya.

Bagi mereka yang tersebut di atas yang tidak berupaya untuk berpuasa, maka diwajibkan bagi mereka memberi makan seorang miskin untuk setiap hari yang ditinggalkan puasa dengan kadar satu cupak atau nilai yang bersamaan dengannya.

Firman Allah s.w.t. Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. (Al-Baqarah : 184)


5. Mendoakan ibu bapa.

Doa anak yang soleh merupakan khazanah ibu bapa yang amat berharga. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka putuslah segala amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh dan berdoa untuknya.


6. Menghubungkan tali silaturahim.

Menghubungkan tali silaturahim adalah termasuk dalam perkara yang amat penting dan ia merupakan salah satu tuntutan syariat yang harus mendapat perhatian utama daripada kaum Muslimin. Mengeratkan hubungan silaturahim dan berbuat baik dengan kaum kerabat dan sahabat ibu bapa adalah sebahagian daripada cara berbuat amal untuk kedua-duanya yang telah meninggal dunia.

Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya sebaik-baik kebajikan adalah seseorang itu menghubungkan silaturahim dengan orang yang dikasihi bapanya. (Riwayat Muslim) Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin Rabi`ah as-Sa`idi, kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w., datanglah seorang lelaki daripada Bani Salamah, ia bertanya kepada Rasulullah, ``Ya Rasulullah, masih adakah kebaikan (kewajipan) yang harus saya lakukan untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapaku setelah kedua-duanya meninggal dunia.'' Baginda menjawab: Ya ada, iaitu sembahyang atas(jenazah) kedua-duanya (maksudnya mendoakan kedua-duanya) dan memohon keampunan bagi kedua-duanya, memenuhi segala pesanannya (menyempurnakan janji mereka) setelah mereka meninggal dunia dan menghubungkan ikatan silaturahim yang tidak sampai serta menghormati para sahabat mereka. (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)


7. Menziarahi kubur.

Menziarahi kubur ibu bapa adalah sunat muakad dan besar ganjaran pahalanya. Adalah lebih baik jika di-ziarahi pada setiap hari Jumaat dan dibacakan surah Yasin untuknya. Kelebihan mengenang ibu bapa dengan berdoa dan menziarahi kuburnya membawa kebajikan yang bukan sahaja kepada anak- anak yang soleh tetapi juga kepada anak yang derhaka. Dalam sebuah hadis diterangkan: Anak derhaka yang kematian kedua-dua ibu bapanya kemudian ia (menyesal dan bertaubat) dan sentiasa berdoa untuk kedua-duanya, nescaya ia diampuni Allah dan dianggap sebagai anak yang taat.


8. Menyelesaikan harta pusaka mengikut faraid.

Pembahagian harta pusaka hendaklah dibuat setelah dijelaskan segala hutang si mati sama ada hutang dengan Allah mahupun sesama manusia, wasiat dan segala perbelanjaan pengurusan jenazah.

Firman Allah s.w.t. Allah telah memerintahkan pembahagian harta pusaka terhadap anak-anak kamu iaitu bahagian seorang lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan. (An-Nisa :11) 9. Memohon keampunan bagi dosanya. Perkara yang paling mudah dan dapat dikerjakan oleh semua orang pada bila-bila masa ialah berdoa serta memohon keampunan bagi dosa kedua-dua ibu bapanya sama ada yang masih hidup lebih-lebih lagi yang telah meninggal dunia, seperti mana doa yang dianjurkan di dalam al-Quran Wahai Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku dan juga kepada semua orang mukmin pada hari terjadinya hisab. (Ibrahim : 41)

Firman Allah s.w.t. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua- duanya
kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka), ``Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya dengan memelihara dan mendidikku semasa kecil. (Al-Isra: 24)


10. Membuatkan haji untuknya.

Anak-anak digalakkan untuk membuatkan haji bagi kedua-dua ibu bapanya yang telah meninggal dunia yang belum sempat menunaikan haji. Ia boleh dilakukan dengan membuat sendiri (bagi yang telah menunaikan haji untuk diri sendiri) atau dengan cara mengupahkannya kepada orang lain. Walau bagaimanapun sekiranya kedua-dua ibu bapa telah bernazar untuk menunaikan haji tetapi tidak berkesempatan kerana telah meninggal dunia, maka wajib bagi waris atau anak melakukan haji untuknya dengan segala perbelanjaan adalah daripada harta peninggalan si mati.

Diterima daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa seorang wanita dari Juhainah datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu bertanya: ``Ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji tetapi ia meninggal dunia sebelum menunaikannya. Apakah saya akan melakukan di atas namanya?'' Jawab Baginda: Ya, berhajilah menggantikannya. Bagaimana pendapat kamu, jika berhutang apakah kamu akan membayarkannya? Oleh itu, bayarlah hutang kepada Allah kerana hutang kepada Allah adalah lebih utama dibayar.

Sebagai kesimpulannya, marilah sama-sama kita menghayati semula peranan seorang anak kepada ibu bapa. Tanpa mereka siapalah kita dan adakah kita boleh berada dalam keadaan dan kedudukan yang kita miliki pada hari ini? Sedarlah bahawa tanpa keredhaan mereka, kita juga tidak akan mendapat keredhaan Allah s.w.t. Semoga kita akan tergolong dalam golongan yang diredhai Allah. –

kredit: NURHELMI IKHSAN, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Selangor.



Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan