Ahad, 15 Disember 2013

Mensyukuri Kurnian dan Nikmat Ilahi


Kalamullah

``Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. Dan sesungguhnya ia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian.'' (Al-A'diyat: 6 dan 7)

Huraian
Allah telah mengurniakan terlalu banyak nikmat dalam kehidupan. Namun, apakah semua manusia tahu dan mahu mensyukuri segala nikmat Allah tersebut? Di antara nikmat kesenangan yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya ialah dikurniakan kesenangan hidup, rezeki, sama ada yang sedikit atau melimpah ruah, kejayaan dalam bidang pendidikan, pekerjaan, perkahwinan dan lapangan yang diceburi, diberi kesihatan tubuh badan dan seumpamanya.

Namun bukan semua manusia mahu dan tahu bersyukur, sehinggakan terdapat sebahagian manusia yang angkuh mendabik dada, menafikan segala kesenangan datangnya daripada Allah s.w.t. Mereka sombong dengan mendakwa bahawa kemewahan hidup yang mereka kecapi adalah dengan usaha sendiri, bukan kurniaan Ilahi. Betapa angkuhnya manusia yang bersikap seperti mereka ini. Pepatah Melayu ada mengatakan `tidak tahu mengenang budi'. Apabila manusia tahu dan mahu mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah, sudah tentulah mereka akan menzahirkan tanda bersyukur dan berterima kasih itu. Sebagaimana dalam kehidupan seharian jika kita mendapat sesuatu daripada seseorang, maka wajarlah kita mengucapkan terima kasih, inikan pula seorang hamba kepada Penciptanya.

Sudah tentu orang yang bersyukur akan sentiasa patuh dan taat segala perintah Allah s.w.t. dengan menjalankan segala suruhan dan menjauhi segala larangan serta mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran (amar makruf nahi mungkar). Sebaliknya apabila seseorang hamba tidak bersyukur, mereka tanpa segan silu akan sanggup berbuat kemungkaran dan terus hidup dalam kesombongan dan keangkuhan serta tidak mendapat rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. Kisah Firaun pada zaman Musa a.s. patut dijadikan iktibar dan pengajaran. Firaun telah dikurniakan dengan nikmat yang banyak tetapi tidak mahu mengakui bahawa segala nikmat itu datangnya daripada Allah, malah dengan megahnya mengaku semuanya adalah hasil daripada usahanya.

Firman Allah dalam surah az-Zukhruf ayat 51 yang memberi maksud: ``Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya : ``Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini- akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di (bawah) istanaku? Tidakkah kamu melihatnya?'' Allah telah menimpakan bencana ke atasnya dengan menenggelamkan ke dalam laut Merah kerana keangkuhannya.

Kesimpulan
Setiap manusia mesti mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah s.w.t. kepada dirinya. Hamba yang bersyukur akan dikasihi Allah dan ditambahkan nikmat. Manusia yang ingkar dan sombong pula akan dibenci dan dimurkai Allah s.w.t.

kredit:  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan