Jumaat, 11 Oktober 2013

Puji-pujian Hanya Bagi Allah




Islam tidak menggalakkan kita memuji seseorang di depannya jika kita khuatir orang itu berasa dirinya hebat. Namun, jika seseorang itu dapat mengelak daripada sifat bangga diri, kita boleh memuji di depannya.

Abu Bakrah berkata, “Seorang lelaki disebut di depan Nabi Muhammad s.a.w. dan ada orang memujinya. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Aduh, saudara memotong leher sahabat saudara".

Baginda s.a.w. mengucapkan beberapa kali dan menambah:


" Jika ada dalam kalangan saudara yang hendak juga memuji juga, katakanlah, saya fikir dia begitu begini meskipun saudara tahu dia memang begitu. Allah yang menentukannya, jangan ada sesiapa mendahului Allah s.w.t. memuji orang.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Tabur tanah pada muka


Hammam bin Haris berkata, “Ketika Miqdad melihat seorang lelaki memuji Uthman bin Affan, Miqdad duduk berlutut lalu menaburkan tanah pada muka pemuji itu. Uthman bertanya: Mengapakah saudara ini?

Miqdad menjawab: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila saudara melihat orang yang memuji, taburkanlah muka mereka dengan tanah.”
(Riwayat Muslim)

Ulama membuat kesimpulan boleh memuji orang yang sempurna iman dan yakin orang itu dapat mengawal diri serta mempunyai ilmu pengetahuan yang menyebabkan dia tidak terpengaruh dengan pujian itu. Jika sebaliknya, makruh memuji.

Antara hadis membenarkan memuji adalah sabda Nabi Muhammad s.a.w. kepada sahabatnya Abu Bakar, “Saya harap saudara termasuk dalam kalangan mereka”, iaitu orang yang namanya di panggil masuk di setiap pintu syurga.

Nabi Muhammad s.a.w. juga bersabda kepada sahabatnya Umar bin Khattab, “Apabila syaitan melihat saudara lalu di satu jalan, ia pasti akan lalu di jalan lain.”

Oleh yang demikian takutlah kepada puji-pujian yang datangnya dari mulut rakan sahabat kita sebab kita belum tahu dipenghujung usia kita apakah kita layak menerima pujian yang sedemikian.


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan