Rabu, 2 Oktober 2013

Kesah Serigala Mentarbiah Pengembala Kambing_Bayan 2



Kali ini Tok Wan nak menceritakan kesah seekor serigala yang menjalankan usaha dakwah ke jalan Allah kepada seorang pengembala kambing.

Pada suatu masa dizaman Rasulullah s.a.w. tersebutlah kesah seorang gembala kambing yang kerjanya cuma menjaga kambing-kambing kepunyaan tuannya sehingga tiada masa dia hendak mendengar dakwah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. serta sahabat-sahabat Baginda kepada penduduk Madinah al Munawarah pada masa itu.

Kesahnya bermula apabila pada suatu hari seekor serigala telah cuba menangkap seekor daridapa kambing yang dibawah kawalannya. Apabila gembala kambing menyedari kecelakaan yang akan berlaku keatas kambing itu maka segera dia mengambil seketul batu dan membaling kearah serigala. Serta merta serigala itu melepaskan kambing yang hampir dibahamnya kerana batu tersebut mengenai kepalanya.


Si gembala kambing terus bersuara dengan beraninya kepada serigala tersebut. 'Wahai serigala'. Kata si gembala kambing kepada serigala tersebut sambil memegang kayunya.'Tidakkah engkau tahu bahawa kambing itu dibawah penguasaan aku maka begitu beraninya engkau hendak membaham kambing itu sebagai makanan kamu.'


Mendengar perkataan tersebut maka serigala itu pun bersuara dalam bahasa Arab yang faseh. Katanya kepada gemnbala kambing tersebut. 


'Wahai gembala kambing. Tahukah engkau bahawa Allah s.w.t. telah menetapkan bahawa kambing itu akan menjadi rezeki untuk aku pada hari ini.'

Gembala kambing jadi terperanjat dengan kata-kata yang di lontarkan oleh serigala tersebut kepadanya lalu ia membalas kata-kata tersebut dengan memarahi serigala itu sambil mengambil lagi beberapa ketul batu untuk dilemparkan kepada serigala itu.

'Pergi engkau dari sini dan jangan ganggu kambing yang sedang aku gembala ini.'

Serigala tersebut mengelak balingan batu yang hampir mengenainya dan meruskan perkataannya.

'Engkaulah yang sepatutnya pergi dari sini. Pergilah engkau kepada Rasulullah s.a.w. yang sedang menyampaikan dakwah kepada orang ramai di Madinah itu. Tinggalkanlah kambingmu kerana ketentuan Allah menjadikan salah seekor kambingmu menjadi habuan bagiku pada hari ini.'

Serentak itu juga ia menerkam salah seekor kambing yang berada berhampiran dengannya. Gembala kambing tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Kambing yang segar itu dikeroyok umpama seorang kanak-kanak mengkeroyok gula-kapas.

Berputus asa dengan pertahanan gembalaannya itu gembala kambing pun menghayun langkah menuju tempat Nabi Muhammad s.a.w. sedang menyampaikan dakwah.

Sebenarnya cerita ini mencerminkan haiwan yang dengan kuasa Allah boleh berkata-kata dan atas sifat haiwan yang hina itu dapat mentarbiah manusia, sedangkan manusia bersifat sebaik-baik kejadian.

Dari cerita ini dapatlah pula kita memahami bahawa Allah menghendaki kita duduk dan mendengar dakwah yang hendak disampaikan oleh penyebar agama. Zaman ini Nabi sudah tidak diutuskan oleh Allah kepada umat manusia sebaliknya penyebar dakwah telah bercambah dengan banyaknya.

Namun dalam kita mencari pendakwah bukanlah pendakwah yang mendapat upah atas usaha dakwahnya itu yang Tok Wan maksudkan. Pendakwah sebenarnya ialah pendakwah yang tidak menerima upah. Untuk tujuan itu pandai-pandailah anda mencari pendakwah yang tidak meminta upah.


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan