Khamis, 12 September 2013

Bila Hati Dan Minda Keracunan



Mari kita terus bersama Ka'ab Al-Ahbaar (Abuu Ishaaq) rah.a.......

Daripada 'Abdullaah bin Syaqiiq Al-'Aqiiliyy rah.a...: Daripada Ka'ab Al-Ahbaar rah.a.,katanya ......(mafhumnya)..:

Pastilah seandainya daku menangis kerana takut akan Allah s.w.t. (min khosyyatillah) sehingga mencucurkan airmataku di atas pipiku, maka ini lebih dicintai olehku daripadadaku bersedekah (infaaq) ketulan emas seberat badanku. Dan demi (Dia) yang mana diri ka'ab berada dalam tangan-Nya, tidaklah menangis seorang hamba kerana takut akan Allah s.w.t. sehingga jatuhlah satu tetes daripada airmatanya ke bumi lalu disentuh api neraka (ya'nii dia tidak akan disentuh api neraka) buat selama-lamanya sehinggalah kembali semula tetesan langit (ya'nii tetesan hujan) yang telah jatuh ke bumi ke tempat mana telah datang ia, dan ianya Tidak akan kembali (ke tempat) itu buat selama-lamanya.

Begitulah kira2nya terjemahan kasar daripaa kitab SIFAH AS- SOFWAH (susunan Al-ImaamAl-'Aalim Jamaaluddin Abil Faroj Ibnu Al-Jauziyy rah.a.), jilid 4, halaman 204.

Mari kita sama-sama muhasabah akan diri kita...

Di antara kita ada yang telah ber'umur 50 tahun ke atas, ada yang 40 tahun ke atas, ada yang 30 tahun ke atas. Dalam tempoh waktu 50 atau 40 atau 30 tahun ini, pernahkah SATU TETES airmata kita keluar kerana takut akan Allah s.w.t. ?

Kalau keluar air mata kerana hal-hal lain, seperti kerana kematian ayah atau isteri /suami yang disayangi, atau kerana sakit akibat luka dan pedih dan sakit-sakit lain, atau kerana gagal dalam sesuatu perkara atau urusan duniawi, itu adalah lumrah dan tak dikira. Saya kira dalam tahap keimanan kita pada hari ini, berserta kegelapan hati yang begitu pekat, adalah amat sukar untuk kita menangis KERANA TAKUT AKAN ALLAH S.W.T. sehingga tercucur airmata walau pun setetes, apatah lagi untuk jatuh ke bumi.

Bagi Ka'ab Al-Ahbaar rah.a. (dan semestinya bagi kita juga), nilai setetes air mata ini lebih berharga daripada bersedekah (infaaq) ketulan emas seberat badan sendiri....!!!Kalau berat badan kita 60 Kg, tentulah ketulan emas yang nak disedekahkan itu pun 60 Kg juga !!!Makin berat dan gemuk seseorang itu maka makin tinggi pulalah nilai kilonya tu.

Rasa-rasa untuk tahap kita ini, hampir-hampir mustahil untuk mendapatkan ketulan emas yang seberat itu walaupun seumur hidup kita bekerja. Sedangkan jika hati seseorang itu suci dan keimananya pula tinggi, bukan setetes, bukan dua tetes, malah ratusan /ribuan /jutaan tetes air mata kerana takut akan Allah s.w.t. pun dapat dicapai. Begitulah nilainya setetes air mata yang keluar kerana takutkan Allah s.w.t.

Jadi kesimpulannya, benih sebenar kejayaan setiap insan di sisi Allah s.w.t. itu adalah dalam hati dan diri insan itu sendiri, tidak di luar. Sejauh mana insan itu berusaha atas ketinggian /kesucian hati dan nuraninya, maka sejauh itulah pula tahap KEJAYAAN yang akan diperolehinya. Bila kita bercakap fasal KEJAYAAN, janganlah kita tersilap arah dan faham pula. Janganlah sampai kita memahami bahawa KEJAYAAN itu adalah bilamana mempunyai kemegahan-kemegahan duniawi seperti memiliki banglo mewah, kereta mewah, banyak asset, banyak tanah, mempunyai anak-anak yang mempunyai berlembar-lembar ijazah, masyhur dan dikenali ramai, pangkat itu pangkat ini, pingat itu pingat ini, gelaran itu gelaran ini,

Kalau inilah arah dan skop pemahaman kita, maka tak ubahlah seperti skop pemaham SEORANG KAFIR !!!

Bagi seorang muslim, sudah tentulah rujukan adalah Al-Quran, As-Sunnah, Aathar Para Sahabat, Para 'Ulamaa` yang mu'tabar, Untuk itu mari kita memahami erti KEJAYAAN berdasarkan Al-Quraan.

Perhatikan (mafhum) ayat berikut :

MAN YUTI'ILLAAHA WA ROSUULAHUU FAQOD FAAZA FAUZAN 'ADZIIMAN......(SESIAPA YANG TA'AT ALLAH DAN RASULNYA MAKA SESUNGGUHNYA DIA TELAH BERJAYA DENGAN/SEBAGAI KEJAYAAN YANG BESAR....) [33.71].

Jadi sejauh mana seseorang insan itu dapat ta'at Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w, maka sejauh itulah pula tahap kejayaannya. Dengan perkatan lain, kalau insan itu memiliki segala kebendaan dan kemegahan duniawi (seperti yang disebutkan di atas) sekali pun, tapi dalam hatinya tidak ada TA'AT ALLAH dan TA'AT RASUL, pastilah insan itu dinamakan insan yang GAGAL.

Begitu pun juga, mari kita perhatikan ucapan seorang sahabat ketika tombak /lembing menembusi dadanya semasa menjalankan usaha agama Allah s.w.t. Sebaik sahaja tombak /lembing terpacak di dada, beliau terus berkata: WA ROBBIL KA'BAH, FUZTU....! (Mafhumnya : DEMI TUHAN KA'BAH, DAKU TELAH BERJAYA...!).

Di sini pun jelas pada kita akan erti KEJAYAAN yang difahami oleh para sahabat r.a. Kejayaan berma'na bila seseorang itu diberi taufiiq untuk menta'ati Allah dan Rasul-Nya, meski pun dada tembus memancutkan darah dik pacakan lembing /tombak !Bagaimana pula kefahaman KEJAYAAN pada benak kita dan pada muslimiin seluruhnya hari ini ?

Adakah sudah jauh menyimpang ? Atau bagaimana ?

Kalau kita perhatikan di mana-mana, di laut mahu pun di barat, di timur atau pun di barat, di negara sana atau pun di negara sini, di tempat kerja, di pejabat, di rumah, dalam upacara-upacara kehidupan, pada peribadi, semuanya rata-rata pemikiran dan kefahaman kita tentang kejayaan, kebaikan, kemajuan, kebahagiaan, masih dibelenggu dengan bentuk dan pola kefahaman kejayaan disisi orang-orang kafir.

Pada peringkat negara misalnya, negara itu dikatakan maju kiranya banyak bangunan yang indah dan besar tersergam, kiranya banyak alat-alat yang canggih yang seribu satu macam, meski pun tahap kerohanian dan agama begitu runtuh dan hancur di negara itu.

Begitu pun pada peringkat pejabat, seorang pegawai yang begitu sibuk dan bertungkus dengan projek dan agenda-agenda duniawi, akan dinilai sebagai seorang pegawai yang baik dan maju dan berjaya meskipun dia tidak memberati solat dan segala perintah Allah s.w.t. yang dalam ertikata yang sebenarnya. Seolah-olah agama dan perintah Allah s.w.t. tidak ada ada kena mengena (atau sedikit sekali) dengan kemajuan sesebuah negara atau atau kejayaan seseorang itu.

Pada peringkat keluarga dan upacara kehidupan pula, bila kita mahu cari menantu misalnya, pastilah datang pada benak kita untuk mencari menantu yang ada ijazah dan bergaji besar, atau orang kaya ringkasnya, tidak datang pada benak dan minda kita (kalau ada pun sedikit sekali) untuk mencari menantu seorang yang hafiz /hafizah Al-Quran,atau orang alim /alimah, atau seorang yang wara'.

Lebih dahsyat lagi, bila nak melantik seorang imam di surau atau pun di masjid, kriteria yang digunakan adalah kedudukan atau pangkat duniawi (atau pendidikan duniawi) yang ada pada seseorang itu walau pun latar belakang ilmu agamanya adalah tidak seberapa, kadang-kadang tu usahkan nak ada sedikit sebanyak pengetahuan nahu dan bahasa 'Arab, sebutan kalimah 'Arab /Al-Quran dan baris pun lintang pukang. Walhal seorang yang yang pakar dalam bidang kejuruteraan /sains misalnya, belum tentu lagi pakar atau baik solatnya. Kerana belajar kejuruteraan /sains dan belajar solat adalah dua perkara yang tersangat berbeda. Pernah saya terlihat seorang Professor dalam bidang tertentu (bukan bidang 'agama'), bila sujud dalam solat kakinya terangkat dan tidak menyentuh dilantai /tempat sujud (apa lagi untuk perut-perut jari menyentuh tempat sujud).

Dari segi peribadi pula, seorang yang berpakaian dengan tali leher dan kot serta seluar barat (pakaian mat salehlah katakan) pula adalah dianggap kemas, sementara yang berserban dan berjubah (apa lagi kalau berkain pelikat) akan dipandang 'serong' dan dianggap tidak kemas, walhal pakaian sebegini mendekati pakaian Rasulullah s.a.w. Apakah pakaian yang mendekati Rasulullah s.a.w. itu hanya sesuai di surau /masjid sahaja, dan tidak sesuai di pejabat ? Apakah suasana berketayap /bersongkok/ berserban /berkain pelikat itu perlu dihidupkan disurau /masjid sahaja, jangan di bawa ke pejabat ?

Dan apakah pakaian mat saleh itu sesuai di mana-mana ? Atau apakah kita sememangnya menganut fahaman sekular ?

Atau apakah HUBBUD DUNYAA (CINTA DUNIA) telah begitu terbenam di lubuk hati kita, dan kesannya menjalar segar bugar hingga ke seluruh urat saraf kita ? Atau bagaimana ?

Aduhai ......betapa mindset kita (terutama saya sendiri) yang semestinya berteraskan agama telah RANAP sama sekali !!! Aduhai.......betapa hati dan minda kita telah KERACUNAN!!! Semoga sama-sama kita mengambil i'tibaar......

Al-faqiiru ilallaah.

kredit:

[1] DAM'UN/DAM' : airmata, MAAUL 'AIN, (kj: DUMUU').

[2] DAMI'A AL-INAAU : telah penuh, berisi bekas itu, IMTALAA.

[3]ADMA'A AL-INAAA : dia telah mengisi (memenuhi sampai meluap) akan bekas itu.

[4] MIN KHOSYYATILLAAH : lantaran takut akan Allaah swt.



Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan