Isnin, 8 Julai 2013

Allah Turunkan Bala Besar Bagi Menghukum Umat Yang Ingkar



MUTAKHIR ini, kita sering mendengar pelbagai berita tragedi di seluruh dunia. Selain bencana alam seperti gempa bumi, letupan gunung berapi, ribut taufan dan kemarau, kita dikejutkan dengan kejadian kejam seperti pembunuhan beramai-ramai, rompakan dan penculikan.

Kesan dari bencana itu, menyebabkan manusia kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda termasuk tanaman dan ternakan dalam nilaian harta yang menjangkau jutaan atau berbillion ringgit.

Banyak tempat di mana sebelum ini tidak pernah berlaku bencana, mula dilanda pelbagai malapetaka yang tidak disangka-sangka. Kejadian yang berlaku secara mendadak itu sering kali mengundang keresahan ahli sains. Mereka agak sukar membuat telahan mengapakah bencana itu melanda di tempat yang tidak seharusnya berlaku kejadian itu.

Apa yang dapat disimpulkan pelbagai malapetaka itu disebabkan kemelut dan krisis yang sengaja diciptakan manusia sendiri. Sebahagian kita pada hari ini, seolah-olah hilang keyakinan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini.

Disebabkan kerenah dan krisis di kalangan manusia itulah juga barangkali Allah s.w.t. sengaja menimpakan bencana ke atas segelintir hamba-Nya yang tidak pernah untuk insaf, malah secara berterusan terbabit dengan pelbagai perbuatan yang menderhaka kepada Allah s.w.t.

Semakin banyak kajian dan penyelidikan dibuat untuk membendung bencana daripada terus berlaku, semakin kerap pula Allah s.w.t. menurunkan bala dan malapetaka kepada golongan itu.

Allah s.w.t. berfirman bermaksud:
“Dan apa juga yang menimpa kamu daripada kesusahan (bala bencana) maka disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu.” (Surah as-Syura, ayat 30)

Sesungguhnya hanya dengan keyakinan, iltizam, istiqamah dan keinsafan mendalam membolehkan kita mencari kekuatan dalam diri bagi mengimarahkan bumi Allah s.w.t. ini dengan perbuatan yang diredai-Nya. Ini kerana kita hanya makhluk Allah s.w.t. yang dipinjamkan sementara untuk menetap di alam fana ini.

Setiap apa juga kerakusan dan keterlanjuran yang berlaku bukanlah disebabkan pihak tertentu saja. Ia mungkin disebabkan rentetan peristiwa berpanjangan akibat keegoan manusia untuk menguasai bumi ini secara total dan sering menganggap orang lain tidak ubah seperti hamba.

Tanpa sikap toleransi dan saling faham memahami, tentu saja pelbagai kejadian negatif akan cepat meletus. Apabila tercetusnya pertelingkahan, permusuhan dan dendam, pasti akan meletuslah perbalahan yang akhirnya hanya memusnahkan sebahagian besar makhluk di muka bumi.

Dapat difahami daripada ayat di atas, Allah berhak untuk menurunkan apa juga bala ke atas hamba-Nya yang tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaan-Nya. Bahkan melakukan perbuatan yang sentiasa mengundang kemurkaan Allah s.w.t.

Ada waktunya Allah s.w.t. hanya menurunkan malapetaka kecil. Ia adalah amaran Allah s.w.t. agar manusia segera berhenti daripada berbuat sesuatu yang boleh mengundang kemarahan-Nya. Tetapi, apabila datang bala yang lebih besar, ia bukan lagi sebagai ingatan dan amaran, sebaliknya bencana yang sengaja diturunkan Allah s.w.t. untuk memberi pembalasan di atas kerakusan manusia.

Lebih malang, apabila berlaku bencana Allah s.w.t, ramai manusia yang tidak berdosa akan turut menjadi korban. Di sinilah pentingnya konsep
‘berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran’ sebagaimana ingatan Allah dalam Surah al-Asr.

Allah berfirman bermaksud:
“Wahai kaumku, mintalah ampun daripada Tuhanmu, kemudian kembalilah mentaati-Nya agar diturunkan hujan lebat dan menambah bagi kamu kekuatan yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangi seruan-Ku dengan terus menerus melakukan dosa.” (Surah Hud, ayat 52)

Keengganan menunaikan tuntutan agama seperti mengeluarkan zakat juga adalah salah satu hal yang boleh mengundang kemurkaan Allah s.w.t. Di antaranya melalui kemarau panjang.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya:
“Tidak menghalang sesuatu kaum itu daripada mengeluarkan harta mereka melainkan mereka menghalang langit daripada menurunkan hujan. Kalaulah tidak kerana binatang yang ada di muka bumi ini, nescaya langit pasti tidak akan menurunkan hujan buat selama-lamanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Daripada Tarmidzi, daripada Ali bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah bagi Allah menimpakan bencana ke atas mereka, iaitu:

1 Apabila harta yang dirampas daripada peperangan diagihkan kepada orang tertentu saja.

2 Apabila wang zakat dikeluarkan kerana menebus kesalahan.

3 Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.

4 Apabila suami terlalu mentaati isteri.

5 Apabila anak menderhakai ibu bapa.

6 Apabila seseorang itu lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.

7 Apabila kedengaran lebih banyak bunyi bising.

8 Apabila lebih ramai membicarakan hal keduniaan dalam masjid.

9 Apabila pemimpin sesuatu kaum itu dihina oleh kaumnya sendiri.

10 Apabila memuliakan orang lain kerana takutkan ancaman yang akan diambil ke atasnya.

11 Apabila arak menjadi minuman biasa dalam majlis.

12 Apabila ramai lelaki memakai sutera.

13 Apabila wanita di jemput ke dalam majlis untuk menghiburkan lelaki.

14 Apabila wanita bermain alat muzik.

15 Apabila orang terkemudian menghina orang yang terdahulu.

Maka, pada saat itu tunggulah bala yang akan menimpa dalam bentuk angin (puting beliung) dan gerak gempa yang maha dahsyat atau tanaman tidak menjadi.”


Sebagai umat yang meyakini kuasa Allah Ta'ala, tidak dapat tidak, kita terpaksa akur untuk menerima hakikat bahawa segala bencana Allah s.w.t. sebenarnya bukanlah kerana sengaja Allah s.w.t. mahu menurunkannya. Ia disebabkan kerakusan dan keegoan manusia itu sendiri yang begitu lahap mengejar kuasa dan kebendaan.

Akal yang dikurnia Allah s.w.t. bagaikan tidak ada nilai dan kegunaan sedikit pun apabila nafsu mula merajai diri sendiri.

Akhirnya, marilah kita pulang ke dalam diri masing-masing, berfikir dengan kewarasan akal dan dengan kesucian iman kembali ke jalan yang hak yang syumul. Apalah gunanya wajah yang tampan dan tubuh yang kuat tetapi sukar untuk mengerjakan suruhan Allah s.w.t.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan