Sabtu, 8 Jun 2013

Zikir




Zikir menurut pengertian bahasa adalah ingat; pengertian zikir menurut istilah bererti menyebut nama Allah dengan membaca tasbih, tahlil, tahmid atau membaca lafaz-lafaz yang lain. Pengertian zikir menurut pengertian secara khusus pula ialah ucapan-ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Tuhan dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang mensucikan Tuhan dan membersihkanNya dari sifat-sifat yang tidak layak untukNya, selanjutnya dengan puji-pujian dan sanjungan dengan sifat-sifat yang sempurna, sifat-sifat yang menunjukkan kebesaran dan kemurnian.

Yang dimaksudkan dengan zikir itu ada tiga peringkat iaitu :



1. Zikir dengan lidah 

- iaitu menyebut nama Allah secara lisan, atau mengucapkan kalimah-kalimah yang berfaedah, dan perbuatan mengucapkannya akan mendapat pahala; seperti berdoa, membaca Al-Quran atau membaca ilmu-ilmu agama.


2. Zikir hati 

- selalu mengingat Allah dalam hati serta merenungkan akan keagunganNya dengan cara memerhatikan kejadian-kejadian alam persekitaran kemudian menghubungkannya dengan kebesaran Allah, berfikir tentang kesejahteraan umat, megingati mati serta bekal yang akan dibawa ketika menghadap Allah di hari akhirat nanti, perkara yang demikian ini juga termasuk zikir hati.


3. Zikir anggota badan

- ialah menggerakkan semua anggota badan untuk mengerjakan pekerjaan yang diredhai Allah, seperti melangkahkan kaki pergi kemajlis-majlis ilmu, pergi ke masjid, membantu orang yang dalam kesusahan dan lain-lain.


Adapun antara lafaz-lafaz zikir itu antara lain;

a. Tahlil

- pengakuan bahawa Allah tidak berhajat kepada selain diriNya, Maha suci dari kekurangan, sedangkan yang selain Allah berhajat kepadaNya.

Lafaz tahlil ini ialah :
Laa ila haillallah
Ertinya : "Tidak ada Tuhan selain Allah."

Tahlil ini merupakan zikir yang paling utama, keutamaannya bukan sahaja untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. akan tetapi sebagai ucapan yang utama bagi Nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w.

Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya :
Barangsiapa membaca kalimah :
 "Laa ila haillallahu wahdahu laasyarikalah lahul mulku walahul hamdu yuhyi wayumitu wahua 'ala kullisyai inkqadir" 
seratus kali dalam sehari, maka ia akan memperoleh pahala seperti memerdekakan hamba sahaya sepuluh orang dan dicatat untuknya seratus kebajikan serta dihapuskan seratus kesalahan. 
(Hadis Riwayat Muslim)


b. Tasbih

- ialah pengakuan akan kesucian Allah dari segala yang tidak memungkinkan bagiNya dan pengakuan akan kesucian dari segala sifat kekurangan serta pengakuan akan kesempurnaanNya.

Lafaz tasbih itu ialah :
Subhanallah
Ertinya : "Maha suci Allah"

Lafaz tasbih ini biasanya digunakan oleh seseorg ketika ia melihat sesuatu yg sifat kejadiannya mengkagumkan spt keindahan, kecantikan dan sebagainya. Abu Hurairah berkata, bahaww Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya : Barangsiapa membaca tasbih :
 "Subhanallahu wabihamdih" sebanyak seratus kali dalam sehari, nescaya akan dihapus segala kesalahan walaupun sebanyak buih di lautan. 
(HR Muslim)


c. Tahmid

- ialah lafaz untuk menyatakan puji dan syukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakanNya. Tahmid juga merupakan pernyataan bahawa segala nikmat datangnya dari Allah dan hanya Dia yang layak mendapat pujian.

Lafaz tahmid itu ialah :
Alhamdulillah
Ertinya : "Segala puji bagi Allah"

Kerana nikmat yang Allah berikan kepada kita tidak terkira banyaknya, maka selaku hamba hendaklah sentiasa mengucapkan
"Alhamdulillah", sebagai lafaz untuk menyatakan syukur kepadaNya. Antara contoh nikmat Allah yang tidak terkira itu; mata dapat melihat, hidung dapat menghidu, otak dapat berfikir, bahkan setiap hembusan nafas kita adalah nikmat, dan masih banyak lagi nikmat-nikmat yang lain, namun di antara nikmat-nikmat yang ada itu, nikmat yang paling besar itu adalah nikmat keimanan.


d. Takbir

- merupakan pengakuan atas keagungan dan kebesaran Allah yang telah menciptakan seluruh alam. Semua pangkat dan kedudukan manusia adalah terlalu kecil di hadapanNya.

Lafaz takbir ialah :
Allahu akbar
Ertinya : "Allah Maha Besar"

Perintah takbir ini terdapat dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Dan bertakbirlah kamu (membesarkan Allah) dengan sebesar-besarnya." 
(Al-Isra' : 111)

Sebenarnya lafaz tahlil, tasbih, tahmid dan takbir itu boleh dibaca secara sekaligus, keempat lafaz ini sangat dianjurkan supaya dibaca selepas solat, bacaannya iaitu :

"Subhanallahi walhamdulillahi walaa ilaa haillallahu wallahuakbar". Zikir seumpama inilah zikir yang paling disukai Allah, melebihi segala yang ada di muka bumi ini.

e. Istighfar

- merupakan pernyataan seorang hamba untuk memohon ampun kepada Allah atas segala dosa yang dilakukan.

Lafaz istighfar tersebut ialah :
Astaghfirullah hal 'azim
Ertinya : "Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung."

Sesungguhnya tidak ada seorang manusia pun yang terlepas dari dosa dalam perjalanan kehidupannya sehari-hari, walaupun demikian, Allah masih memberikan kesempatan kepada hamba-hambaNya untuk bertaubat. Di antara cara-cara yang harus dilakukan oleh seseorg dalam bertaubat, di samping meninggalkan segala perbuatan buruknya selama ini yang ia lakukan, serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi adalah dengan selalu membaca istighfar... Astaghfirullah hal 'azim...

kredit : Rahmat Di Sebalik Dugaan, Darul Nu'man


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan