Isnin, 8 April 2013

Kisah Penggali Kubur

Gambar kubur kekanak ini sekedar hiasan sahaja.

Malam tadi memang tok tidur lewat dari kebiasaan, namun seawal jam 5 pagi tok sudah bangun seperti biasa. Sebabnya malam tadi tok mengiringi jenazah seorang kekanak lelaki yang berumur 5 bulan yang meninggal dunia akibat tersedak susu. Ibunya seorang ibu-muda, anak sulong dan ayahnya juga muda, baru berumur 19 tahun yang juga berkawan dengan anak bujang tok dari bangku sekolah.

Jenazah cuma dapat disembahyangkan pada jam 10 malam sebab ibu-bapa jenazah disoal-siasat oleh Polis. Makmum yang ada cuma 5 orang pada awalnya termasuk tok. Kata rakan tok elok kita buat pengumuman menggunakan laud speaker yang kita guna azan untuk memberitahu kepada penduduk supaya dapat bersama-sama meraih pahala dalam solat jenazah itu. Maka tok pun buat pengumuman.... alhamdulillah.... selepas 10 minit menunggu dapat juga 3 saf untuk solat jenazah. Rupa-rupanya atok anak kecil itu ialah kawan tok juga dan anaknya juga (ayah arwah) tok kenal.

Kami kebumikan jenazah sekitar jam 11 malam. Ramai jiran-jiran serta sedara kedua-dua belah pihak turut mengiring jenazah sampai ke kubur. Tengok-tengok anak bujang tok pun ada sama... alhamdulillah... ingat juga anak tok kepada kubur. Dan dalam kesibukan menguruskan liang lahat sempat juga bertanya kepada anak bujang, "Masa masuk ke kubur tadi ada bagi salam ker tidak?'. Jawabnya 'Ada." Alhamdulillah. Bila kita nak masuk ke kawasan tanah perkuburan elok kita bagi salam kepada ahli kubur. Mereka mendengar serta nampak kedatangan kita, cuma kita yang tidak nampak mereka. Kalau kita nampak mereka pasti tak cukup tanah untuk lari".

Tapi kali ini bukan cerita jenazah itu yang tok nak sampaikan pada anda semua. Cerita sebenar ialah cerita pengalaman seorang penggali kubur.

Selepas sempurna pengkebumian maka semua kami balik dengan 5 orang dalam 1 kereta. Kata yang memandu kereta nama Jamal kita akan singgah sekejap rumah penggali kubur sebab nak serahkan kunci pagar tanah perkuburan serta sedikit upah gali kubur siang tadi untuk arwah kekanak yang baru kami kebumikan itu.

Ringkas cerita kami pun singgah di sebuah kedai makan milik isteri penggali kubur itu. Kebetulan si penggali kubur ada disitu, dah singgah kedai makan namanya kalau singgah sekurang-kurangnya minum sikit apa salahnya, maka kami semua turun dari kereta dan singgah minum.

Si penggali kubur pun bertanya itu ini tentang pengurusan jenazah yang baru selesai, kenapa dari jam 3 petang sampai jam 11 malam baru dapat dikebumikan. Maklumlah mayat kekanak perlu disiasat dengan rapi oleh pihak hospital serta polis mana tahu ada unsur-unsur penderaan berlaku disitu. Puas bertanya dan puas berjawab maka si penggali kubur itu pun mulalah nak bercerita tentang pengalamannya selama 27 tahun menggali kubur disitu.

Sebelum ini selain menggali kubur ada juga kerja tambahan yang dilakukan yakni menyambut jenazah dalam liang lahad. Apabila jenazah sudah diturunkan maka dihadapkan ke kiblat dan dibuka semua ikatan tali serta membuka balutan bahagian muka agar wajah jenazah dapat berjumpa tanah.

Gambar ini ialah pengkebumian rakan tok yang meninggal bulan mac 2013
dan tiada kena mengena dengan cerita dalam artikel ini. 

Ada sekali peristiwa apabila dia membuka wajah jenazah dia terperanjat kerana wajah jenazah tersebut sangat hitam. Hitam seperti arang katanya. Maasya' Allah....dia terperanjat sebab itulah pertama kali dia bertemu dengan wajah jenazah yang sangat hitam. Entah apa yang pernah dilakukan oleh jenazah tersebut semasa hayatnya hanya Allah dan para MalaikatNya sahaja yang tahu...

Dan semenjak itu dia sudah serik tidak mahu lagi menyambut jenazah dalam liang lahat. Cukuplah dia melakukan kerjanya wajibnya sebagai penggali kubur. Urusan seterusnya yakni  menurunkan jenazah biarlah keluarga jenazah itu sendiri yang buat, sebab disitu kekadang terletak keaiban jenazah yang mungkin akan terbuka. Jikalau kalangan ahli atau anggota keluarga yang ternampak keaiban tersebut tidak mendatangkan kemaslahatan dan rahsia keaiban hanya setakat kalangan mereka sahaja.

Ada lagi satu kejadian yang tidak dapat dilupakan ialah sewaktu ada jenazah hendak dikebumikan pada waktu malam dimana sewaktu dia dan 2 lagi rakannya sedang menunggu ketibaan jenazah dia ternampak ada tiga unggun api bewarna merah sedang menyala setinggi 3 kaki ditepi liang lahat yang sudah sedia untuk menerima tetamu. Waktu itu dia memandang rakannya yang lagi 2 orang itu. Pasti rakannya tidak nampak unggun api tersebut dan dia bertekad tidak mahu memberitahu kepada rakannya apa yang dia nampak. Kalau diberitahu pasti mereka berdua akan lari meninggalkannya bersendirian.



Dan sekali lagi peristiwa pada waktu malam juga, sewaktu liang lahat sudah siap dibuat mereka menunggu jenazah dan tiba-tiba ada 3 unggun api disekeliling liang lahat yang sudah siap dikorek itu. Tapi kali ini api tersebut bewarna biru pula, biru seperti api dapur gas memasak didaput tu, sambil memnunjuk arah isterinya yang sedang memanaskan kuah soup.

Di kawasan kubur janganlah kita bercakap besar atau menunjukkan ego kita. Nak masuk kawasan kubur bagilah salam. "Assalammualaikum warahmatullahi wabarkatuh ya ahli kubur". Kemudian tambah rakan tok yang membacakan talkin tadi."Kalau kita baca ayatul Qursi Insya Allah tak ada apa-apa gangguan", katanya sambil senyum. Memang kita harus baca surah al Fatehah sedekah kepada semua ahli kubur dan jikalau tak sibuk bacalah juga ayat Qursi. Kalau rajin lagi berterusanlah berselawat...selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w.

Diatas kubur di waktu malam berbagai-bagai jenis jinn yang memerhatikan kita, katanya lagi. Ada yang bertenggek atas batu nesan, bertenggek atas batu-batu tembok dan dimana-mana saja disekeliling perkuburan itu. Jika dicongak jumlah jenazah yang wara' yang ada ditanah perkuburan itu dengan jumlah jenazah yang tak wara' memang tak banyak, yang banyaknya ialah jenazah yang banyak dosa, itulah sebabnya banyak benda-benda yang pelik yang saya sendiri dah tempoh selama mana menjadi penggali kubur. Kata lelaki tersebut.

Paling menggerunkannya ialah apabila pada suatu hari ketika waktu siang hari, sedang dia hampir siap menggali satu liang tiba-tiba tanah dalam liang tempat dia berpijak itu bergoyang-goyang seperti memberitahu kepadanya supaya cepatlah keluar dari liang ini aku tak sabar nak membaham mayat yang akan menjadi makanan aku itu. Tanah itu bergoyang-goyang seperti seekor ular besar yang gelisah. Lelaki tersebut menambah dia segera berniat dalam hati membisikkan kepada Allah janganlah mengapa-apakan dirinya, dia cuma seorang pemnggali kubur yang menjalankan amanah yang diberikan oleh orang ramai kepadanya. Ketika itu juga tanah itu tidak bergerak lagi. Itu mungkin isyarat yang cuma dia saja yang dapat merasai. Dan dia memang faham, anda yang sedang membaca ini pun mungkin faham apa sebenarnya yang akan berlaku kepada jenazah yang akan dimasukkan kedalam liang lahat tersebut sebaik-baik semua yang menghantarnya kekubur itu pulang.

Dari peristiwa yang disampaikan oleh penggali kubur itu kepada tok dan rakan-rakan tok malam tadi dapatlah menjadi teladan kepada tok dan juga anda semua bahawa kita semua akan dihantar keliang lahat itu juga satu hari nanti. Oleh yang demikian bersedialah, jangan melakukan apa-apa yang Allah larang, jangan buat apa yang Allah tak suka. Untuk menjadi tetamu diliang lahat yang bagaikan taman-taman syurga kita harus melakukan banyak kebaikan, banyak amal ibadat yang baik-baik. Kita tidak mahu kubur kita nanti menghimpit batang tubuh kita, biarlah kubur kita itu nanti menjadi sebuah taman yang lapang sambil menanti kedatangan akhirat. Lagi satu tok nak berpesan selalulah senyum kerana senyum merupakan sedekah agar bila tiba waktu giliran kita menjadi jenazah harap-harap jenazah kita akan tersenyum sampai keliang lahat. Insya Allah...

Ingatlah akan Amal Ma'aruf Nahi Munkar.


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan