Ahad, 21 April 2013

Iman_Nikmat Yang Paling Berharga

Gambar sekedar hiasan sahaja.

Iman tak dapat diwarisi. Dari seorang ayah yang bertaqwa. Ia tak dapat dijual beli. Ia tiada di tepian pantai. Walau apa pun caranya jua. Engkau mendaki gunung yang tinggi. Engkau merentas lautan api. Namun tak dapat jua dimiliki. Jika tidak kembali kepada Allah.

Itulah antara lirik lagu Iman Mutiara yang didendangkan oleh kumpulan nasyid sensasi Raihan. Ia mengingatkan kita tentang nikmat iman yang begitu tinggi nilainya hasil anugerah Allah yang Maha Kuasa. Tanpa iman apalah erti diri kita dan kehidupan ini. Sedangkan seluruh makhluk Allah bertasbih menyucikan Allah daripada perkara yang syirik. Betapa hinanya dan kerdilnya diri kita jika tidak diberi nikmat iman yang begitu berharga ini. Kita juga teringat firman Allah dalam ayat 56 surah al-Qosas yang bermaksud : 

"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya dan Allah lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk".


Kita telah melihat beberapa peristiwa yang berlaku kepada nabi-nabi dan para sahabat Rasulullah s.a.w. sendiri di mana keimanan merupakan anugerah Allah bukannya boleh diwarisi dan diniagakan. Kita juga dapat melihat bagaimana pertempuran antara iman dan kufur terus berlaku sehingga hari qiamat. Anugerah iman ini tidak diberikan begitu sahaja kepada kita malah kita mesti diuji sebagaimana firman Allah dalam ayat 2 dan 3 surah al-Ankabut yang bermaksud: 

"Adakah manusia menganggap bahawa mereka akan dibiarkan (begitu sahaja) mengatakan : "Kami telah beriman", sedangkan mereka belum diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka maka sesungguhnya Allah mengetahui mereka yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui mereka yang berdusta".

Iman kita sentiasa diuji setiap masa samada dengan sesuatu yang kecil atau pun yang besar. Berapa ramai dikalangan kita terus hanyut dengan godaan dan hasutan nafsu yang menggila dan tidak sedar imannya hampir terlucut daripada dirinya. Berapa ramai umat Islam hari ini yang hanya Islam pada kulit dan kata-katanya sahaja sedangkan kelakuan dan tindakan mereka tidak melambangkan keimanan mereka kepada Allah secara menyeluruh. Hasil perlaksanaan sistem sekular melahirkan lebih ramai umat Islam yang hanya nampak Islam dan menunaikan kewajipan Islam hanya ditikar sembahyang dan juga pada rukun Islam yang lima sahaja. Mereka menganggap bahawa Islam hanya setakat itu sahaja sedangkan pada hakikatnya Islam bukanlah agama ruhani semata-mata tetapi ia juga melibatkan perkara keduaniaan yang selari dengan kehendak Pencipta iaitu Allah. Ingatlah firman Allah dalam ayat 77 surah al-Qosas yang bermaksud : 

"Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang membuat kerosakan".


Lihatlah bagaimana nabi Ibrahim a.s. terpaksa menghadapi ayahnya Azar yang merupakan seorang kafir penyembah dan pengukir berhala dan tidak mendengar malah menentang perjuangan Islam yang dibawa oleh nabi Ibrahim a.s. Walau pun seorang ayah tetapi nabi Ibrahim a.s. tetap melawan kerana kekufurannya kerana iman tidak mampu berkompromi dengan kekufuran. Begitu juga nabi Nuh a.s. yang terpaksa bertembung dengan kedegilan dan kekufuran anaknya Kan'an begitu takabbur. Pada mulanya nabi Nuh a.s. tetap mengatakan bahawa anaknya itu merupakan daripada kalangannya tetapi setelah diherdik oleh Allah maka nabi Nuh a.s. terus berlepas diri daripada anaknya yang kufur itu. Kita dapat lihat bagaimana akhirnya bila diminta agar anaknya itu beriman dalam keadaan dia dihanyutkan oleh banjir yang besar tetapi dia tetap menolaknya sehingga akhirnya dia mati dalam kekufuran. Kasih seorang bapa walau pun nabi Nuh a.s. sebagai seorang nabi tetapi tidak mampu meniupkan iman ke dalam dada anak yang tersayang kerana iman merupakan anugerah Allah. Begitu juga dengan isteri nabi Nuh a.s. yang engkar dengan dakwahnya. Begitu juga dengan isteri nabi Luth a.s. yang dihancurkan bersama kaumnya yang degil kerana tidak mahu mendengar dakwah nabi Luth a.s. agar meninggalkan perbuatan yang luar tabi'e iaitu liwat. walau pun dia tidak turut sama melakukannya tetapi dia telah berperanan dalam memberitahu kaum nabi Luth a.s. tentang kedatangan dua malaikat yang berupa manusia yang kacak yang menyebabkan kaum mereka terus menuju ke rumah nabi Luth a.s. untuk melakukan sesuatu yang terkutuk. Siapa yang tidak sayang kepada isteri? Tetapi isteri walau pun merupakan orang yang paling rapat kepada suami tetapi seorang suami tidak mampu memberi hidayah kepadanya. Kisah tentang kekufuran isteri nabi Nuh a.s. dan Luth a.s. ini di beritahu oleh Allah melalui ayat 10 surah at-tahrim yang bermaksud: 

"Allah membuat isteri nabi Nuh dan isteri nabi Luth perumpamaan bagi orang-orang yang kafir. Kedua-duanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami lalu kedua-dua isteri itu mengkhianati kedua-dua suami (mereka). Maka kedua-dua suami mereka tidak dapat membantu mereka sedikit pun daripada (siksa) Allah dan dikatakan (kepada kedua-duanya) : " Masuklah ke neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka)". 

Begitulah juga dengan apa yang berlaku kepada keluarga terdekat Rasulullah s.a.w. sendiri yang menentang perjuangan Islam dan bapa saudaranya sendiri yang sentiasa melindunginya iaitu Abu Tolib sendiri mati dalam keadaan tidak mengucap dua kalimah syahadah.


Kita dapat melihat apa yang sebaliknya berlaku seperti teguhnya iman nabi Musa a.s. walau pun berada di bawah jagaan keluarga angkatnya yang mana Fir'aun sendiri kufur malah mendakwa sebagai tuhan. Begitu juga kekuatan iman Mashitah dan ahli keluarganya walau pun bekerja dengan Fir'aun sehingga mereka mati syahid dalam kawah yang panas. Kita lihat bagaimana permaisuri Fir'aun iaitu Asiah yang tabah walau pun disiksa oleh Fir'aun apabila mengetahui keimanannya kepada Allah. Bagaimana keimanan seorang budak yang kukuh dan merupakan anak murid kepada ahli sihir diraja Namrud tetapi kekentalan imannya hasil daripada pengajiannya dengan seorang alim sepanjang perjalanan pulang dari istana menyebabkan dia lebih memilih untuk mati dalam iman daripada tunduk kepada kekufuran. Iman keluarga Amar bin Yasir yang menyebabkan mereka disiksa sehingga gugur syahid dan Rasulullah s.a.w. telah menyatakan:

"Sabarlah wahai keluarga Yasir sesungguhnya syurga sedang menantimu". 

Kita juga dapat lihat keimanan Suhaib bin ar-Rumi yang sanggup meninggalkan segala harta kekayaannya atas permintaan kafir quraisy semata-mata ingin berhijrah ke Madinah dalam mencari kebahagiaan yang hakiki. Begitulah juga apa berlaku kepada beliau pada malam pengantin di mana ketika mendengar panggilan jihad, dia terus meninggalkan isteri yang baru dikahwini untuk turun ke medan jihad. Dia gugur syahid dalam peperangan ini dan ketika tentera Islam memeriksa mayatnya didapati mayat itu basah. Lalu Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa dia telah dimandikan oleh malaikat. 

Bagaimana kentalnya iman Bilal bin Rabah ketika menghadapi siksaan daripada tuannya. Jika kita fikirkan apa sebenarnya yang diharapkan oleh seorang hamba abdi dengan mempertahankan iman sehingga disiksa begitu teruk melainkan untuk mendapatkan keredhaan Allah. Kita juga dapat menyaksikan keislaman Umar al-Khattob berkat doa Rasulullah s.a.w. walau pun sebelum Islam terkenal dengan samsengnya sehingga beliau pernah berkata : Sekali pun kaldai al-Khattob memeluk Islam tetapi Umar tetap tidak Islam. Begitulah contoh-contoh yang lain sebagai peringatan kepada kita bagaimana iman ini bukan boleh dikecapi dengan mudah dan ia juga tidak dianugerahkan begitu sahaja tanpa ada sebarang ujian bagi menguji kekentalan keimanan kita. Bersedialah kita setiap masa bagi memastikan keimanan kita tetap dan terus teguh walau pun apa pun berlaku. Jangan sekali-kali cuba melakukan sesuatu yang akan merosakkan iman kita.


Kita tak mahu lahir sebagai orang yang hanya Islam pada kulit dan kata-kata tetapi tidak mahu tunduk dan patuh kepada Allah. Terus redha berada dalam kesesatan dan kezaliman sistem ciptaan manusia dan tidak mahu melaksanakan Islam secara lengkap. Mahu memerintah Islam bukannya mahu Islam memerintah mereka. Di hadapan kita ada dua pilihan samada Islam atau kekufuran. Maju dengan Islam atau mundur dengan kekufuran. Kembali megah dan bertamaddun dengan Islam atau hina dan melarat dengan kekufuran. Menjajah dengan Islam atau terjajah oleh kekufuran. Iman anugerah Allah dan Dia boleh mencabutnya bila-bila masa sahaja jika Dia mengkehendakinya. Tidak takut dan gerunkah kita jika iman kita ditarik dan hati kita berubah kerana kita tak mahu tunduk dan patuh kepada Allah seratus peratus malah dalam hati kita masih ragu-ragu dengan keadilan hukum Islam. Seriuskah kita untuk melihat Islam terlaksana sepenuhnya atau pun kita sudah berpuas hati dengan apa yang ada. 

Ingatlah kedatangan Rasulullah s.a.w. bukan semata-mata untuk mengajar cara beribadat tetapi juga untuk mengajar cara memerintah dan mentadbir negara. Mengapa kita terus rela berada di bawah kepimpinan seorang yang bodoh dengan Islah dan menghina ulama'?. Atau kita takut untuk melihat Islam terlaksana kerana masyarakat yang majmuk dan berbilang kaum?. Tidak pernahkah kita terbaca ayat 93 surah an-Nahlu yang bermaksud: 

"Dan jika Allah mengkehendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (saja) tetapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendakinya dan memberi petunjuk kepada yang dikehendakiNya. Dan sesungguhnya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan".

 Sesungguhnya setiap penciptaanNya ada hikmat tersendiri dan kita mesti tunduk dan patuh serta melakukan segala amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita sebagai seorang hamba yang mesti beribadat dan khalifah yang mengurus urusan berdasarkan Islam bukannya hawa nafsu yang menggila. Apa ruginya kita berada di bawah pemerintahan dan sistem Islam dan apakah untungnya kita terus berada bawah sistem ciptaan manusia?. Allah telah menggariskan perundanganNya untuk kita laksanakan dalam memerintah alam maya ini. Oleh itu mengapa kita mesti menciptakan sistem selain sistem Allah. Siapa kita berbanding Allah yang mencipta kita?


kredit: Badar


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan