Rabu, 19 Disember 2012

Perangkap Sudah Tersedia



Saya terbaca dalam akhbar THE EDGE FINANCIAL DAILY hari ini 13 Disember 2012 bertajuk“Playing race, religion card may backfire” komentar seorang penganalisis politik Melayu yang mengatakan untuk PRU13 ini, memainkan isu bangsa dan agama kepada orang Melayu tidak akan memberi apa-apa kebaikan kepada mana-mana parti (samada UMNO atau PAS) malah ia mungkin akan memakan diri sendiri (backfire). Selaku orang yang pakar dalam menganalisa politik saya yakin sudah tentu kenyataan itu dibuat berdasarkan pengalaman beliau yang terlibat dengan politik tanahair sekian lama. Kenyataan ini disokong oleh seorang penganalisis lain berbangsa Cina.


Namun saya kurang bersetuju dengan pandangan beliau kerana jika benar itu yang menjadi fahaman setiap orang Melayu bermakna :-

Tidak akan ada lagi mana-mana pihak atau pimpinan Melayu akan memperkatakan agenda Melayu dan memperjuangkan hak bangsa Melayu. Akhirnya kita akan diratah dan dimamah dengan lahapnya oleh bangsa lain tanpa kita sedar.

Berlaku pencairan identiti secara halus sehingga akhirnya bangsa Melayu akan tidak lagi dikenali. Agama juga akan hilang pejuangnya. Yang tinggal nanti hanyalah pejuang islam leberalist dan pluralist. Manakala agama lain semakin subur berkembang seperti kristian. Siapa yang akan kita persalahkan nanti?

Tindakan ini hanyalah satu tindakan mengundur kebelakang sedangkan bangsa lain saban hari terus memperjuangkan bangsa mereka dan menuntut apa saja yang mereka perlukan. Dan mereka dapat apa yang mereka tuntut satu persatu. Bukan itu saja, mereka juga meminta kerajaan merubah perlembagaan demi menjaga kepentingan bangsa mereka.

Dakwaan mengatakan bahawa faktor sara hidup merupakan faktor utama dalam pemikiran pengundi Melayu, bukan agama dan bangsa, bagi saya adalah satu penghinaan kepada umat Melayu. Survey yang dibuat mungkin tidak meluas menyebabkan penganalisis membuat pendirian demikian. Adakah orang Melayu hanya berfikir pasal duit bukan agama? Tidakkah beliau lihat bagaimana pelbagai demonstrasi dibuat oleh umat Islam bagi menentang LGBT, Liberalism, penghinaan kepada mahkamah syariah dan sebagainya membuktikan agama sangat dekat kepada hati orang Melayu.

Kalau agama tidak lagi releven, adakah ini juga bererti PAS tidak lagi releven? Bukankah umat Melayu menyokong PAS kerana perjuangan Islamnya? Apakah penganalisis ini sudah membayangkan akan zaman kejatuhan PAS? Umat Melayu Islam menolak UMNO bukan hanya kerana isu korupsi tetapi juga penghayatan agama dikalangan ahlinya dilihat yang sangat longgar. UMNO juga di cop sebagai penyebab kepada segala masalah sosial hari ini. Tidakkah ini membuktikan agama masih menjadi faktor penting kepada orang Melayu?

Penganalisis mungkin sudah kecewa dan tidak nampak harapan lagi bahawa umat Melayu Islam akan bersatu dalam masa terdekat. Bagi saya ini satu pandangan yang sangat pesimis dan tidak harus berlaku kepada umat Islam. Ia akan hanya membuatkan umat Melayu Islam akan sentiasa dikuasai oleh bangsa lain walaupun Melayu itu majoriti. Sepatutnya dalam keadaan umat Melayu Islam berpecah ini dan diratah oleh bangsa lain, kita semua bangsa Melayu sepatutnya bersepakat memperkatakan survival bangsa. Ini kerana bukan saja bangsa itu penting malah ia mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan agama Islam. Cuba banyangkan jika tidak ada lagi yang memperkatakan isu bangsa dan agama, apa akan jadi kepada umat Melayu Islam di negara ini? Sudah pasti akan menjadi semakin lemah dan mungkin akan hilang terus dalam peta tanahair. Penganalisis mungkin terlupa dan tidak perasan bahawa bangsa lain sedang berjuang bermati-matian memperjuangkan bangsa dan agama mereka kenapa kita pulak harus mematikan dari memperkatakan agenda agama dan bangsa? Tidakkah ini akan memusnahkan bangsa sendiri.

Kadangkala tidak bermakna jika seseorang itu pakar bererti dia betul segala-galanya. Ia bergantung kepada apa fikrah yang dianutinya. Kalau material itu menjadi agenda dalam pemikirannnya maka analisanya juga akan lebih cenderung kepada isu ekonomi tetapi kalau bangsa dan agama menjadi perjuangannya, saya yakin kenyataan dan pandangan beliau akan berubah.

Moga bangsaku, orang Melayu Islam, tidak terpedaya dengan kenyataan penganalisis ini.

kredit: Saudara Aminuddin Yahya


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan