Sabtu, 15 Disember 2012

Amalan Bidaah Dan Khurafat Safar

Sila klik pada gambar untuk bacaan yang jelas pada foto ini.


Sempena 1hb Safar 1432 hari ini, ada baiknya kita menjengok apa yang ada dalam bulan Safar ini. Apa yang berlaku perkara-perkara bidaah serta khurafat di dalam bulan ini.

Dalam bulan ini masih terdapat di kalangan masyarakat yang melakukan perkara bidaah dan khurafat yang jelas bercanggah dan bertentangan dengan syariat Islam. 

Kepercayaan karut tersebut bermula daripada amalan atau kepercayaan Masyarakat Arab pada zaman jahiliyah iaitu sebelum kedatangan agama Islam, sememangnya terkenal dengan amalan-amalan yang bercanggah dengan syarak. Perjalanan kehidupan seharian mereka sentiasa dibayangi oleh amalan-amalan syirik, tahyul dan khurafat yang dilarang Islam.

Kebanyakan orang Arab pada zaman jahiliyah beranggapan terdapat kesialan pada bulan Safar. Ternyata pemikiran jahiliyah ini masih diwarisi oleh segelintir kecil umat Islam pada zaman ini akibat lemahnya keimanan dalam jiwa dan kejahilan mereka terhadap ilmu tauhid. Mereka beranggapan bulan Safar merupakan bulan di mana Allah menurunkan kemarahan dan hukuman ke atas dunia. Oleh itu banyak musibah dan bencana terjadi, khususnya pada hari Rabu terakhir bulan Safar.

Menyandarkan sesuatu musibah bakal menimpa terhadap sesuatu perkara seperti kedudukan bintang, waktu atau masa yang tertentu, gerakan binatang dan lain-lain adalah perbuatan yang tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan oleh Allah SWT tanpa ada faktor lain yang mempengaruhi keputusan-Nya.
Firman Allah SWT:



“Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (al-A’raaf 7: 131)

Oleh itu bagi sesiapa yang membuat sesuatu keputusan berdasarkan tathayyur (ramalan buruk kerana sesuatu), maka dia telah terjebak dalam lembah kesyirikkan.

Daripada ‘Abdullah ibnu ‘Umar r.a dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ

“Sesiapa yang menangguhkan hajatnya kerana al-Thayrah (ramalan buruk kerana sesuatu) maka dia telah berbuat syirik.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, no: 6748)

Daripada ‘Abdullah Ibnu Mas’ud bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

مِنَّا إِلاَّ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ الطِّيَرَةُ شِرْكٌ الطِّيَرَةُ شِرْكٌ ثَلاَثًا وَمَا.

“Al-Thiyarah (menyandarkan keburukan kepada sesuatu) itu syirik, al-Thiyarah itu syirik tiga kali. Dan tidak ada seoarang pun dari kita, kecuali (telah terjadi dalam dirinya pengaruh al-Thiyarah tersebut) akan tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakal.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud, no: 3411)



KEPERCAYAAN KHURAFAT DUNIA ARAB

Sesetengah umat Islam menghindarkan diri dari melakukan perjalanan pada bulan safar melainkan terdapat keperluan yang mendesak.

Sebagai contoh dalam kitab al-Futuhat al-Haqqaniy, penulis kitab tersebut memilih untuk menahan diri dari keluar berjalan pada bulan ini dan menasihati agar semua pengikut tarekat tersebut untuk tidak meninggalkan rumah melainkan sekiranya benar-benar perlu.

Dalam kitab tersebut dikhabarkan bahawa Syaikh tarekat tersebut ‘Abdullah Faiz Daghestani berkata: “Pada hari Rabu terakhir bulan Safar, 70,000 penderitaan (bala) akan menimpa dunia. Sesiapa yang mengekalkan adab tersebut (beberapa amalan yang tertentu), dia akan dilindungi oleh Allah yang Maha Kuasa.”


Perkara yang disebutkan ‘tathayyur’ atau meramalkan sesuatu kejadian yang buruk disebabkan oleh sesuatu perkara adalah sinonim dengan masyarakat jahiliyah. Contohnya;

1. Sekiranya mereka ingin memulakan perjalanan mereka akan melihat pergerakan sesetengah jenis binatang seperti burung mahupun busur panah yang dilepaskan sama ada ke kiri, ke kanan, ke atas atau ke bawah. Mereka beranggapan arah gerakan tersebut boleh mempengaruhi keburukan atau kebaikan yang mungkin akan dihadapi dalam perjalanan tersebut. Sekiranya pada tanggapan mereka gerakan tersebut menunjukkan alamat yang tidak baik maka mereka membatalkan hasrat untuk meneruskan perjalanan tersebut.

2. Imam al-Syafi’i r.h pernah berkata: “Dahulu golongan jahiliyah apabila ingin bermusafir akan mengambil burung dan melepaskannya ke udara. Sekiranya ia terbang ke kanan maka mereka pun keluar atas tanggapan tuah tersebut. Jika ia terbang ke kiri atau ke belakang, maka mereka akan menganggap sial lalu berpatah balik. Maka apabila Nabi SAW diutuskan, baginda menyeru orang ramai: “Kekalkan burung pada sarangnya.” Riwayat Abu Nu’aim al-Asfahani di dalam Hilyah al-Auliya’.

Islam menyelar budaya ‘tathayyur’ ini dan menganggap ianya merupakan satu perbuatan yang mencemar kemurniaan tauhid kerana ketergantungan hati seseorang kepada sesuatu perkara selain daripada Allah SWT dengan menyakini perkara tersebut boleh membawa mudharat atau manfaat kepada kita. Islam meletakkan kejadian sesuatu perkara itu bergantung kepada kehendak dan kekuasaan-Nya semata-mata.
Firman Allah SWT:


“Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.” (At-Taubah 9: 51)


KEPERCAYAAN KHURAFAT DUNIA MELAYU

Masyarakat Melayu juga turut mempercayai bahawa bulan Safar ini merupakan bulan turunnya bala bencana dan malapetaka. Lantaran itu beberapa amalan bidaah telah dicipta sempena bulan Safar bagi menghindari sebarang bentuk malapetaka yang berkaitan dengan kedatangan bulan tersebut. Setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut sebagai suatu cara untuk menolak bala.

Antara amalan khurafat yang popular ialah;


1. Pesta Mandi Safar

Masyarakat terutamanya yang tinggal berhampiran sungai atau pantai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dan bersuka ria dengan kepercayaan perbuatan berkenaan kononnya boleh menghapuskan dosa dan menolak bala.

Mereka berarak menuju ke destinasi terpilih diiringi dengan alunan muzik, nyanyian, jampi serapah dan alunan zikir tertentu. Setelah itu mereka mambaca jampi tertentu atau menulis ayat-ayat tertentu di atas kertas lalu memasukkannya ke dalam bekas berisi air dan mandi dengannya. Sebenarnya amalan mandi Safar ini diwarisi dari budaya Hindu.

Sebaliknya pesta berkenaan menambah dosa kerana ada yang tergamak melakukan perbuatan terkutuk di sisi syarak dengan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batas, malah mencari bala kerana kadang-kadang ada yang mati lemas akibat kelalaian sendiri.



2. Menulis Azimat

Berdasarkan kepercayaan karut itu ada yang menulis ayat wifiq pada kertas atau pinggan mangkuk yang kemudian diletakkan dalam tempayan, kolam, perigi atau sungai untuk diminum atau mandi dengan airnya konon untuk mendapat perlindungan daripada bala buruk pada hari berkenaan.

3. Majlis Perkahwinan

Kebanyakan masyarakat Islam terutama orang-orang tua tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dan keramaian dalam bulan Safar kerana mereka khuatir bahawa kedua-dua pengantin tidak bahagia dan akan susah atau tidak mendapat zuriat dan mempercayai jodoh pasangan pengantin tersebut tidak akan berkekalan.


4. Nasib Malang

Ada juga yang beranggapan bayi yang lahir pada bulan Safar bernasib malang dan hendaklah dijalankan satu upacara khas untuk membuang nasib malang tersebut.

Bagi masyarakat Bajau di Sabah pula, mereka mempercayai bayi yang lahir pada bulan Safar tidak bernasib baik. Lantaran itu, untuk mengelak sebarang kecelakaan ke atas bayi tersebut, pada masa menyambut Maulud Nabi, bayi itu akan dibawa ke masjid untuk ditimbang. Simboliknya ialah untuk meminta pertimbangan daripada Allah agar tidak memburukkan nasib bayi tersebut.


5. Korban

Terdapat juga segelintir pihak yang beranggapan dianjurkan untuk mengerjakan ibadah korban pada tarikh 27 Safar.
Kesemua ini merupakan perkara-perkara tahyul dan khurafat yang harus dibanteras sehingga ke akar umbi. Lantaran itu hendaklah seluruh umat Islam menghindarkan diri dari melakukan amalan-amalan bidaah tersebut.

Allah SWT berfirman:



“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman 31: 13).


TIDAK PERNAH DIAMALKAN

Ternyata kesemua amalan yang dikhususkan sempena bulan Safar di atas tidak pernah diperintah oleh Rasulullah SAW serta tiada seorang sahabat mahupun para al-Salafussoleh yang mengamalkannya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697)

“Sesiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia.” (Hadis riwayat Imam Muslim, no: 1718)


TIADA KEMUDARATAN

Rasulullah SAW telah menegaskan bahawa segala tanggapan bahawa bulan Safar adalah bulan yang penuh dengan musibah dan bencana buruk adalah tidak benar. Baginda SAW sering berpesan supaya umatnya berwaspada ketika berhadapan dengan sesuatu musibah dan memberikan peringatan supaya jangan sekali-kali umat Islam beriktikad sial atau nahas Safar berupaya memudaratkan kehidupan manusia.

Rasulullah SAW bersabda; “Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya), tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk), tidak ada kesialan (malang) kerana burung hantu, dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan Safar.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a., Muslim, Abu Dawud, dan Ahmad r.a.)

Rasulullah SAW bersabda; “Beranggapan sial termasuk kesyirikan (beliau menyebutnya tiga kali).” Lalu beliau bersabda, “Tidak ada di antara kita yang selamat dari beranggapan sial. Menghilangkan anggapan sial tersebut adalah dengan bertawakal.” (HR. Abu Dawud)
Hendaklah kita menghindarkan diri dari melakukan ramalan bahawa akan datang sesuatu perkara yang buruk disebabkan sesuatu perkara (tathayyur) kerana ianya termasuk dalam kategori amalan syirik. Ternyata syirik merupakan satu perbuatan yang zalim dan Allah SWT tidak akan mengampunkan golongan yang mengsyirikannya melainkan bagi mereka yang bertaubat.
Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu dan akan mengampunkan (dosa) selain kesalahan (syirik) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.Sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu, sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah al-Nisa’ 4: 116).

Mencela waktu atau bulan yang tertentu adalah seolah-olah mencela Allah SWT kerana semua waktu itu adalah ciptaan Allah SWT. Bagi setiap waktu termasuk bulan Safar ini sekiranya dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat serta amal soleh adalah termasuk dalam waktu yang baik dan penuh keberkatan. Oleh itu hendaklah bulan Safar ini dilihat seperti bulan-bulan yang lain dalam kalendar hijrah dan kita terus mengerjakan amal-amal ibadah yang disunnahkan seperti bulan-bulan lain.

Allah SWT berfirman:


“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (al-Taghaabun 64: 11)

Yakinlah bahawa Safar sama dengan bulan-bulan lainnya yang telah Allah SWT jadikan sebagai kesempatan untuk melakukan amal-amal yang bermanfaat. Menganggap Safar sebagai bulan pembawa sial merupakan perbuatan haram dan syirik kerana tidak ada yang mampu memberikan manfaat dan menimpakan mudarat kecuali Allah SWT; sebagaimana firmannya;

“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, tak ada yang dapat menolak karunia-Nya.Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Yunus :107)


Wallahu A’lam bishowab                                 
والسلام


kredit: shafiqolbu


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan