Rabu, 28 November 2012

Nasihat Ibrahim Bin Adham

Gambar sekedar hiasan sahaja

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang menghadap Ibrahim bin Adham, lalu berkata: “Wahai Ibrahim bin Adham, aku ialah orang yang lupa diri. Oleh itu, berilah aku sesuatu yang dapat mencegah serta menyelamatkan hatiku daripada kecuaian!”

Ibrahim menjawab, “Jika kamu mahu menerima lima perkara serta mampu melaksanakannya, nescaya kemaksiatan tidak akan mampu menyerang dirimu dan kamu tidak mudah untuk dihancurkan oleh kelazatan duniawi.”

Lelaki itu berkata,“Tolong sampaikan hal itu kepadaku, wahai Abu Ishaq.” Ibrahim kemudian berkata,“Pertama apabila kamu hendak melakukan penderhakaan kepada Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Mulia, janganlah kamu memakan rezekinya.”

Pemuda itu kemudian bertanya lagi,“Lalu dari mana aku makan, bukankah semua yang ada di bumi ini adalah rezeki pemberian-Nya.” Ibrahim menjelaskan,”Begini, wajarkah kamu memakan rezeki-Nya, sedangkan kamu masih selalu menderhaka kepada-Nya?”

Lelaki itu berkata,“Sekarang tolong beritahukan yang kedua.” Ibrahim berkata,“Apabila kamu hendak berlaku derhaka kepada-Nya, jangan sampai kamu menginjak bumi-Nya.” Ujar lelaki itu,“Perkara ini mungkin lebih berat daripada perkara pertama. Segala sesuatu yang ada, bermula dari belahan timur sampai barat adalah sesuatu milik-Nya, lalu di mana aku akan tinggal?”

Ibrahim berkata,“Begini, wajarkah engkau memakan rezeki-Nya dan tinggal di wilayah-Nya, sedang kamu masih menderhakaiNya?” Lantas lelaki itu menjawab: “Tidak, sekarang tolong sebut yang ketiga!”

Ibrahim berkata lagi,“Jika kamu hendak melakukan sesuatu kemaksiatan, sedangkan kamu masih berada dalam rezeki dan wilayah-Nya, sekarang cuba carilah suatu tempat yang mustahil diketahui oleh-Nya, kemudian di tempat itu kamu dapat bebas berbuat maksiat.” Lelaki itu semakin bingung dan kemudian berkata,“Wahai Ibrahim! Bagaimana hal ini dapatku lakukan. Dia selalu mengetahui apa saja yang dirahsiakan?”

Ibrahim meneruskan hujahnya,“Wajarkah kamu memakan rezeki-Nya dan berada di wilayah-Nya, sedangkan kamu masih derhaka kepada-Nya dan Dia selalu mengawasi segala gerak-gerimu?”Pemuda itu segera menjawab,“Tidak, sekarang cuba sebutkan yang keempat!”

Ibrahim berkata,“Apabila malaikat pencabut nyawa datang hendak mengambil nyawamu, cuba mintalah kepadanya agar diberi tempoh hingga dapat bertaubat dengan taubat yang sesungguhnya serta beramal soleh kerana Allah s.w.t.” Jawab lelaki itu,“Mustahil dia mahu menerima permohonan itu.”

Tanya Ibrahim,“Kamu tidak mungkin mampu menolak kematian hingga kamu dapat bertaubat dan di sini kamu dapat mengetahui bahawa malaikat pencabut nyawa mustahil memberi tempoh kepadamu, lalu bagaimana mungkin kamu akan mendapatkan sebuah jalan untuk menyelamatkan diri?” Lelaki itu seterusnya berkata ,“Sekarang cuba tolong sebutkan yang kelima.”

Ibrahim berkata,“Jika pada hari kiamat nanti, malaikat Zabaniyah datang kepadamu untuk membawamu ke neraka, usahakan untuk menolaknya.”Jawab lelaki itu,”Mereka tidak mungkin bersedia meninggalkanku begitu saja, walaupun aku kemukakan pelbagai alasan.”

Ibrahim bertanya lagi,“Jika demikian, bagaimana mungkin kamu akan mengharapkan suatu keselamatan?” Kata lelaki itu berkata,”Wahai Ibrahim! cukup, cukup! Sekarang aku akan memohon ampun dan taubat kepada-Nya.”

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan