Isnin, 26 November 2012

Jangan Menghukum Kerana Kita Bukan Hakim



Seorang ilmuwan bercerita, datang seorang wanita yang tidak menutup aurat bertanya kepada beliau; “Tuan, adakah saya masuk neraka kerana saya tidak menutup aurat, sedangkan saya solat dan melakukan ibadah-ibadah yang lain?”. Beliau beritahu kepadanya: “Adapun saya bukanlah malaikat penjaga neraka. Bahkan malaikat penjaga neraka sendiri tidak berhak menentukan siapa yang akan dimasukkan atau dikeluarkan dari neraka.

Ini adalah kekuasaan mutlak Tuhan Yang Menciptakan neraka. Di akhirat neraka dimasuki oleh sesiapa yang ditentukan ALLAH sebagai ahli neraka. Demikian juga syurga. Namun ALLAH memberitahu tentang keadaan manusia di akhirat dengan firmanNya (bermaksud) :


“Adapun orang yang berat timbangan (amal baiknya), Maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangannya (amal baiknya), Maka tempat kembalinya ialah “Haawiyah”, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “Haawiyah” itu? (Haawiyah itu ialah): api yang panas membakar” 
(Surah al-Qariah 6-11).

Adapun saya yang dhaif ini tidak mengetahui bagaimanakah timbangan amalan saudari di akhirat kelak. Bahkan nasib saya sendiri saya tidak tahu, bagaimana mungkin saya boleh tahu nasib orang lain?!! Namun jika saudari bertanya saya, adakah perbuatan saudari salah atau betul?

Tentu jawapannya: ia satu kesalahan. Apakah perbuatan itu faktor yang membawa ke syurga atau ke neraka?…….. Maka jawapan “dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah menunjukkan ke neraka”. Namun timbangan amalan insan di akhirat bukan hanya terbatas kepada suatu bab sahaja. Ia merangkumi segala bentuk kebaikan dan keburukan.


“Sesiapa beramal dengan kebaikan seberat biji sawi akan dinilai. Sesiapa yang beramal dengan seberat biji sawi keburukan juga akan dinilai”. 

Kemudian jika natijah dari nilaian itu menunjukkan kebaikan lebih berat dari kejahatan, maka selamatlah dia. Jika sebaliknya, rugilah dia. Dalam hidup ini, ada pula ujian dan cubaan. Sesiapa yang sabar dengan ujian dan cubaan, diberi pahala dan dihapuskan dosa. Kesalahan orang kepada kita juga menjadikan pahalanya dipindahkan kepada kita, atau dosa kita diberikan kepadanya -seperti dalam hadith al-Imam Muslim-.

Maka keputusan neraka dan syurga adalah hak ALLAH terhadap hamba-hambaNya. Apa yang pasti dosa menyumbang ke arah neraka. Pahala menyumbang ke arah syurga. Jika ditanya membuka aurat, riba, derhaka ibubapa dan seumpamanya ke arah mana? Jawapannya ke arah neraka. Jika ada yang berkata, mereka ini juga solat dan buat baik dalam perkara yang lain. Kita katakan; amalan baik menuju ke syurga. ALLAH yang Maha Adil akan menimbangnya dan menentukannya.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum Tok Wan,
    Terima kasih kerana sudi berkongsi ilmu. Betapa selama ini saya dlm keadaan yg tidak disedari menjadi begitu ironi memandang sebelah mata pada mereka yang tidak menutup aurat. Sesungguhnya Syurga Neraka bukan urusan kita.

    BalasPadam