Selasa, 9 Oktober 2012

Syiling Rezeki



"Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelummu;
di antara mereka ada yang Kami ceritakan perihalnya kepadamu,
dan ada pula di antaranya yang tidak Kami ceritakan kepada kamu.
Dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa sesuatu keterangan
atau menunjukkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah;
(maka janganlah di ingkari apa yang dibawa oleh Rasul)
kerana apabila datang perintah Allah
(menimpakan azab)
diputuskan hukum dengan adil;
pada sa'at itu rugilah orang-orang yang berpegang
kepada perkara yang salah." 

Surah Ghafir ayat ke 78




TING

Wang syiling itu jatuh di hadapan seorang lelaki yang sedang asyik membancuh simen. Melihat logam kecil itu, tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja. Tidak menunggu lama, tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya. Dia menyambung semula kerjanya.

TING

Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya. Lelaki itu menoleh ke kiri, kanan dan disekelilingnya. Tiada siapa yang berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya.

Tidak lama kemudian, lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya. Pun sama,d ia mengambil dan menyimpannya.

"Rezeki aku!" kata lelaki itu dalam hati.

Lelaki itu tidak sedar, logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yang mereka bina itu.

Sebenarnya, ketuanya mahu memanggilnya. Ada pesanan yang mahu disampaikan ketuanya itu. Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan, cuba memanggil lelaki itu yang berada pada aras paling bawah.

Namun, jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut. Dek kerana itulah, ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas. Mudah-mudahan, dapatlah dia menyampaikan pesanannya kepada pekerjanya itu.

Sayangnya, sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah, lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas.

Lantas, ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yang terdapat di lantai. Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah.

Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu. Setelah merasa sakit dan terganggu, lelaki itu mendongak ke atas, melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yang menyerangnya tadi. Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yang sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.



Nota:

Sahabat sekalian, kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta. Tanpa sedar, Allah s.w.t. sering menjatuhkan 'syiling' lambang rezeki, rahmat atau kesenangan yang tidak terkira banyaknya kepada kita.

Tuhan menjatuhkan 'syiling' itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaan-Nya.Tetapi, kita pula setiap kali lalai untuk 'mendongak' ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih.

Seperti kisah ketua dan pekerja tadi, apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian, lalu Dia jatuhkan pula 'batu' yang berupa musibah, kegagalan, keperitan dan pengalaman yang menyakitkan.

Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu, barulah kita teringat untuk mendongak, menadah tangan bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita.

Semuga kita semua bukan lelaki yang mengutip syiling itu. Insyaallah...


kredit: rakangroup



Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan