Jumaat, 12 Oktober 2012

ديمونتراسي_ممڤاميركن كلمهن ديري


برديمونتراسي ترهادڤ موسوه
حقيقتڽ اياله ممڤاميركن كلمهن ديري
- ساتو ڤنداڠن اهلي سنه ول جماعه -

"اسلام تيدق سوروه برديمونستراسي اتاو منونجوق-نونجوق ڤراسان 
كڤد موسوه. اسلام سوروه برستراتيڬي دان برمصليحة.
الا لمه، اسلام سوروه كيت امبيل سيكڤ ايۏاسيون دان چونسوليداتياون
.د كالا كوات، امبيل سيكڤ “اصليم تسلم“ 
– اسلامله، كامو اونتوق سلامت".

"Islam tidak suruh berdemonstrasi atau menunjuk-nunjuk perasaan
kepada musuh. Islam suruh berstrategi dan bermuslihat.
Di kala lemah, Islam suruh kita ambil sikap evasion dan consolidation.
Di kala kuat, ambil sikap “Aslim taslam” 
– Islamlah, kamu untuk selamat".

"Apa bijaknya menunjuk perasaan dan menyatakan perasaan tidak puas hati kita kepada musuh yang memang kerjanya pagi petang, siang dan malam ialah berazam dan mencari jalan untuk menghancurkan dan memusnahkan kita? Apakah musuh akan ambil peduli dan akan memberhentikan usahanya? Tentu tidak! Sekali-kali tidak! Musuh akan bertambah terangsang kalau kita tunjuk perasaan kerana dia tahu jeratnya sudah mengena dan tindakannya sudah tepat. Mangsanya sedang menggelupur kesakitan. Dia akan tersenyum sinis dan akan melipatgandakan lagi usahanya".

Menunjuk perasaan ialah amalan dan jalan keluar bagi pihak yang lemah kerana tidak mampu atau tidak berani menempuh jalan keluar yang lain yang lebih drastik atau yang lebih mencabar. Itu sebabnya isteri akan tunjuk perasaan kepada suami dengan merajuk. Anak akan tunjuk perasaan kepada ayah dengan membuat kerenah. Murid akan tunjuk perasaan kepada guru dengan ponteng kelas. Mereka tidak ada kuasa. Oleh itu mereka terpaksa bertindak secara pasif untuk menarik perhatian. Kita tidak pernah dengar suami tunjuk perasaan pada isteri atau ayah tunjuk perasaan pada anak ataupun guru tunjuk perasaan pada murid.

Tunjuk perasaan pula hanya akan ada kesannya kalau dihalakan kepada pihak yang bertanggungjawab dan yang ada pertalian kasih sayang dengan kita. Itu sebabnya logik bagi isteri menunjuk perasaan kepada suami, anak tunjuk perasaan kepada ayah atau murid menunjuk perasaan kepada guru.

Seperti kata orang tua-tua, “Merajuk pada yang kasih.” Kalau rakyat menunjuk perasaan kepada kerajaannya sendiri, ini masih boleh diterima terutama kalau kerajaan tersebut berjiwa rakyat dan bertanggungjawab. Kesannya mungkin positif. Tetapi menunjuk perasaan kepada musuh adalah terkeluar dari batas perbuatan yang waras.
Seperkara lagi yang harus kita faham, Islam tidak bermusuh dengan Yahudi semata-mata kerana ianya Yahudi. Islam tidak bermusuh dengan Nasrani semata-mata kerana ianya Nasrani. Kita tidak bermusuh dengan individu orang Yahudi atau individu orang Amerika atau individu orang Eropah.

Apa yang kita musuhi ialah sifat-sifat yang ada pada Yahudi dan Nasrani itu dan apa yang mereka perjuangkan sebagai satu bangsa dan entiti

Kita musuhi iktiqad dan cara hidup mereka yang hendak mereka paksa ke atas kita.

Kita musuhi nilai mereka. Kita musuhi ideologi mereka. Kita musuhi pemikiran mereka. Kita musuhi budaya mereka. Kita musuhi akhlak mereka dan kita musuhi sekularisme dan sistem-sistem hidup mereka yang mana semuanya itu tersimpang jauh dari jalan yang hak dan yang diredhai Allah. Yang mana semuanya itu akan membawa manusia kepada kesengsaraan di dunia dan di akhirat. Kita juga akan memusuhi siapa sahaja yang mempunyai sifat-sifat yang sama dan yang memperjuangkan perkara-perkara yang sama walaupun mereka bukan Yahudi atau Nasrani.

Kalau sifat-sifat Yahudi dan Nasrani itu ada pada diri kita maka lebih layaklah kita memerangi diri kita sendiri terlebih dahulu. Berapa ramai orang Islam yang memperjuangkan ideologi musuh. Berapa ramai orang Islam yang membawa aliran fikiran dan falsafah musuh. Berapa ramai orang Islam yang mengamalkan budaya musuh. Berapa ramai orang Islam yang berakhlak dengan akhlak musuh. Berapa ramai orang Islam yang cara hidupnya sama seperti cara hidup musuh, dan berapa ramai orang Islam yang memperjuangkan Islam dengan meniru kaedah perjuangan musuh.

Ini yang harus kita fikirkan bersama. Tidak ada makna kita berjaya menumpaskan musuh kalau kita pula akan mewarisi sifat-sifat dan cara hidup mereka

Sifat-sifat yang batil itulah sebenarnya musuh kita dan musuh Islam, bukan sangat Yahudi dan Nasraninya. Sifat-sifat itulah yang hendak kita banteras, dan kita akan tentang siapa sahaja yang mendukung dan melagang sifat-sifat tersebut, hatta diri kita sendiri.

Tuhan cipta manusia berbangsa-bangsa supaya kita saling kenal mengenal di antara satu sama lain. Tuhan tidak jadikan manusia itu berbangsa-bangsa untuk kita bergaduh dan berperang. Dalam masa yang sama, Tuhan menyuruh kita menentang kekufuran, kezaliman dan kebatilan. Oleh itu, kalau perlu ada penentangan di kalangan manusia, ia mesti diasaskan kepada kekufuran, kezaliman dan kebatilan dan bukan kepada suku bangsa. Sesiapa sahaja yang memperjuangkan kekufuran, kezaliman dan kebatilan mesti ditentang tidak kira apa bangsanya, sekalipun dia dari kalangan bangsa kita sendiri.

Musuh-musuh Islam terutama Yahudi tahu rahsia di mana kekuatan umat Islam dan di mana kelemahannya. Mereka usahakan untuk mengambil tahu supaya di mana kekuatan itu yang hendak dilemahkan dan juga supaya kelemahan umat Islam itu terus dilemahkan. Sepatutnya rahsia ini cendikiawan Islam yang faham, tetapi mereka nampaknya sudah tidak faham di mana kekuatan umat Islam dan di mana kelemahan mereka. Oleh kerana cendikiawan Islam sudah tidak tahu lagi rahsia kekuatan dan kelemahan umat Islam, bolehlah kita katakan mereka-mereka yang dikatakan arif dengan ilmu Islam sudah tak boleh jadi pemimpin kepada umat Islam, dengan demikian terdedahlah umat Islam kepada bahaya, kepada musuh Islam terutama Yahudi.
kredit: Amri el Wahab


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan