Isnin, 24 September 2012

Kristian Tempat Pertama Islam Kedua



St. Paul's Chapel Kinarut Sabah
السلام عليكم ورحمة الله وابركت

Tahukah anda bahawa populasi penganut Kristian adalah paling ramai melebihi populasi Muslim? Penguasaan mereka kini melebihi 1/3 daripada keseluruhan penduduk dunia.

Pernahkah anda terfikir mengenai betapa kuatnya gerakan Kristianisasi di Malaysia khususnya?

Tahukah anda, di bawah Christian Federation of Malaysia, penganut Kristian bersatu lebih dari 40 buah mazhab untuk melancarkan Kristianisasi besar-besaran di Malaysia?

Maaf dipinta jika fakta tersebut membuatkan anda berasa tidak selesa. Sememangnya kita berada dalam situasi yang amat tidak selesa bahkan kita terancam. “We are at war”.

Muslim Malaysia tidak pernah berasa terancam daripada gerakan Kristianisasi tempatan. Bukanlah dimaksudkan bahawa kita tiada pendakwah berkualiti, tetapi kita tidak punyai kelebihan kuantiti.

Kita sebagai Muslim sering bercakaran dan bertelagah. Mungkin kerana kita berasa selesa dan tidak terancam. Kita telahpun sedia maklum tentang permasalahan dunia Muslim yang sentiasa bergoncang ini. Sesama saudara kita bertegang urat menghamburkan kebencian. Menjarakkan kita daripada realiti yang memupuskan populasi Muslim hari demi hari ini.

Gerakan Kristianisasi di Malaysia dipelopori gabungan antara-gereja yang menyisihkan semangat assobiyah antara mazhab mereka. Penerapan akidah berlandaskan gospel Jesus adalah tunjang dalam penyebaran dakwah mereka.

Berbanding Muslim, mereka menekankan pegangan akidah. Mereka meletakkan kepentingan agama ritual dan beramalan di tangga yang kedua dan ketiga. Mereka cuba memudahkan anutan Jesus ini diterima dalam keberadaban dunia Melayu.

Dr. Muhammad Taqiuddin Al-Hilali merungkaikan kata bagi menterjemahkan realiti Kristianisasi masa kini. Beliau menyebut:

Yang ada pada Kristian adalah manusianya/penganutnya dan bukanlah agamanya.
Yang ada pada Islam adalah agamanya, tapi bukan pada penganutnya.

Dengan kata lain, gerakan Kristianisasi merealisasikan ajaran agama mereka pada tindak tanduk mereka bagi membolehkan ajaran ini diterima ramai. Sebaliknya Muslim, mereka punyai agama yang hebat lagi benar, sayangnya mereka tidak menghidupkan ajaran itu sepenuhnya. Dan mengakibatkan kegagalan mereka mempengaruhi umat manusia yang lain, tidak seperti zaman Nabi dan sahabat dahulu.

Kristian punyai tenaga kerja yang komited, gerak kerja yang efektif dan jaringan manusia yang tidak pernah putus dalam menyuburkan ajaran agama mereka.

Kualiti seorang mubaligh Kristian meliputi kejujuran, kasih sayang sesama manusia, setia, peramah, suka membantu, hormat menghormati, memberi layanan tanpa mengira darjat, dan bersimpati.

Mereka juga mengamalkan keterbukaan yang amat mengkagumkan dan ini dilihat menjadi satu kelebihan utama gerakan ini dalam menyelusuri kepelbagaian budaya yang wujud di Malaysia. Mereka membuka mata masyarakat dengan lenturan ajaran yang lembut lagi mudah untuk diamalkan di Malaysia sendiri.

Mereka juga giat menyebarkan risalah mengenai kisah-kisah yang berkaitan dengan gospel (Berita Baik) yang menyentuh hati segenap masyarakat.

Jika di zaman jajahan British dahulu, dakwah Kristian hampir menemui jalan buntu apabila dikatakan bilangan Melayu yang memeluk Kristian jika dibilang dengan hanya sebelah tangan pun sudah memadai.


Zaman telah berubah, Melayu juga tidak ketinggalan


Kini, gerakan Kristianisasi telah mengembeleng tenaga dari seantero dunia. Segala pengalaman yang mereka dapat daripada Indonesia, Filipina, Nigeria dan negara-negara lain dibawa masuk untuk digunapakai dalam proses penyebaran dakwah mereka.

Gerakan ini tidak hanya mengharap bantuan kewangan daripada institusi unggul mereka yang berpangkalan di luar negara. Mereka juga punyai cara tersendiri untuk mengumpulkan dana bagi menampung perbelanjaan aktiviti ini.

Tahukah anda ramai penggiat Kristianisasi Malaysia sanggup membuat pemotongan gaji bulanan mereka bagi disalurkan terus kepada gereja?

Para mubaligh Kristian kini telahpun mahir bahkan mereka sendiri hidup dalam jaringan budaya Melayu. Mereka kenal benar perihal adab santun Melayu kerana mereka ini bukanlah orang asing, mereka ini rakan-rakan kita juga, mungkin sebangsa dengan kita?

Telah direkodkan sepanjang tahun-tahun 1970-an, pertambahan penganut Kristian adalah 3.9% berbanding penganut Islam hanya 0.7% daripada jumlah penduduk Malaysia ketika itu.

Muslim kini sedang leka melayan siaran langsung EPL, sedangkan Mubaligh Kristian sibuk menghulur bantuan kepada orang gelandangan dan fakir miskin.

Ramai dari kita yang telah menyaksikan sudah bertahun lamanya golongan ini menyerap masuk ke dalam universiti dan kolej tempatan untuk membantu dan mendekati pelajar.

Selama ini mereka banyak melakukan kerja sosial menjaga kebajikan penghidap HIV/AIDS, kanser, OKU dan juga autism. Mereka juga giat berusaha mendekati dan menghulurkan bantuan kepada pesakit-pesakit kronik lain yang di kategorikan sebagai terminally ill (tiada harapan untuk hidup).

Penerimaan luas ini banyak menyumbang kepada kekukuhan Kristian dalam mewakilkan pencalonan mereka di dalam parti-parti politik di Malaysia. Ini bagi menjamin hak mereka terus terbela dan terpelihara. Disamping memulakan usaha menentang dasar Islam secara halus.


Feast of Corpus Christi at St Michael Church 1965 

Tahukah anda secularism itu adalah salah satu agenda Kristian? Rujuk Matthew 22:2, John 18:36. Usaha ini adalah bertujuan menyekat pengaruh Islamisasi Malaysia yang sememangnya lemah tanpa dorongan dan tajaan kerajaan sendiri.Selain itu, mereka juga sering memberikan bantuan kelengkapan persekolahan, malah memberikan bantuan kewangan kepada anak-anak Melayu, sepertimana yang digemparkan oleh beberapa penggiat politik negara satu ketika dahulu.Terdapat juga kes mangsa along (peminjam wang haram) dan mangsa penderaan mendapat perlindungan serta layanan mesra oleh gereja-gereja tempatan.

Gereja juga menyediakan bantuan dan perlindungan kepada anak-anak dan ibu tunggal yang menjadi mangsa keruntuhan institusi keluarga. Begitu juga dengan golongan yang dicabuli hak mereka, mubaligh Kristian menghulurkan kepakaran bantuan guaman kepada yang memerlukan.

Malaysia sendiri sudah beberapa kali dihentam oleh keruncingan media luar kerana dituduh tidak mengamalkan kebebasan beragama. Berdasarkan laporan mereka, Kristian Malaysia seringkali dilabel sebagai golongan yang ditindas dan dipulaukan serta tidak mendapat hak bersuara.

Persatuan dan badan-badan berkaitan Kristian seluruh dunia kerapkali meluahkan rasa simpati dan prihatin terhadap apa yang berlaku di Malaysia. Situasi ini secara tidak langsung memberikan tekanan kepada kerajaan dalam perlaksanaan polisi berkaitan Islamisasi dalam pentadbirannya.

Usaha-usaha Kristianisasi ini boleh sahaja dinafikan oleh saudara se-Islam kita yang lain. Hanya kerana ianya tidak mendapat liputan sewajarnya. Gerakan Kristianisasi sememangnya bergerak dengan rahsia, mereka mendekati Muslim disebalik tabir-tabir bantuan kemanusiaan sebegini.

Tulisan ini bukanlah bertujuan menabur benih benci kepada penganut Kristian. Tetapi bertujuan untuk menyedarkan betapa Muslim Malaysia khususnya, lalai dan leka dengan perkembangan pesat para mubaligh Kristian. Ini adalah cubaan untuk menyedarkan mereka dari tanggapan berada di dalam zon selesa.

Apa yang mubaligh Kristian lakukan ini sama sekali tidak salah. Malah bantuan dan keprihatinan mereka amat digalakkan. Mereka hanya menjalankan tanggungjawab menegakkan agama yang mereka anuti dan sanjungi. Persoalan puncaknya tersembul di atas kepala Muslim itu sendiri. Apakah kita selesa melihat perkembangan ini? Jika Kristian mampu lakukan, kenapa tidak kita?

Malaysia bakal mengalami masalah “kecairan” umat Islam sekiranya tiada usaha serius memperhebatkan dakwah Islamiah di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam khususnya. Ini kerana kita dikelilingi oleh para mubaligh yang amat berkaliber dari Indonesia, Filipina, Singapura dan negara jiran lain. Mereka ini tidak pernah jemu membanting tulang menyebarkan dan meluaskan pengaruh.

Suasana protes Muslim Malaysia


Maaf cakap, Muslim Malaysia kaya dengan protestnya. Bukan bermakna protest itu tiada manfaat, iaitu menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pihak tertentu. Tetapi amat dikesali jika protest itu tidak disahut oleh kesinambungan gerak kerja praktikal menegakkan agama Islam.

Muslim Malaysia juga perlu positif, proaktif dan responsif untuk berdepan dengan hakikat perkembangan Kristianisasi kini. Sikap “tak kisah” perlu segera dilempar keluar demi memastikan kelangsungan syariat untuk anak cucu kita.

Sayang sekali Malaysia negara Islam hanya pada nama, pemimpin sendiri acuh tak acuh menjaga kesucian agama. Bukan bermaksud ingin menghentam kerajaan, tetapi inilah realitinya, jika ini fantasi mana mungkin kita ketinggalan sebegini?

Sekali lagi diulangi,

“We are at war”, “Not with them, but ourselves; our attitude and mentality”

Kita ada kuasa, kita ada dana, tapi sayangnya kita ramai hanya pada angka.

kredit: rakangroup



Salam Ukhuwah..~

2 ulasan:

  1. masalah utama kita adalah kewangan.dalam situasi kos sara hidup yang tidak mencukupi,terlalu sukar untuk kita memdapatkan bantuan.terlalu banyak syarat yang perlu dipenuhi sebelum bantuan diperolehi.kita harus menunggu lama sedangkan perut anak-anak perlu diisi saban hari.

    pihak bertanggungjawab patut mengkaji semula sistem saluran dana ini agar mereka yang benar-benar kesempitan dapat tertolong.sedangkan saluran bantuan dari gereja lebih mudah membantu dan menyelesaikan masalah mereka.Bila terjadi muslim mendapat bantuan gereja,kecoh satu Malaysia.sedangkan langkah untuk membantu mereka yang senasib,tetap belum terbela.

    BalasPadam