Selasa, 4 September 2012

Kisah Mahabbah Kepada Allah s.w.t.


Barangsiapa mengakui tiga hal, 
namun tidak bersih
dari tiga hal, 
bererti dia tertipu.

Pertama, mengakui akan manisnya zikir,
sedangkan dia masih mencintai dunia.

Kedua, mengaku ikhlas beramal,
tetapi suka penghormatan manusia kepadanya.

Ketiga, dia mengaku cinta kepada Khaliknya,
tetapi masih memperturutkan nafsunya.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:


Ertinya: "Akan datang atas umat-umatku di mana mereka mnyukai lima hal dan melupakan lima hal. Mereka suka kepada dunia dan melupakan Akhirat. Mereka suka pada harta sehingga melupakan Hari Hisab. Mereka cintakan makhluk sehingga melupakan Khaliknya. Mereka suka berdoa, tapi lupa bertaubat dan mereka suka rumah tetapi lupa pada kubur."

Pernah Mansur bin Ammar menasihati seorang pemuda: "Wahai pemuda, janganlah engkau tertipu oleh mudamu. Betapa banyak anak muda melambat-lambatkan taubat lalu apabila maut datang dia lupa bertaubat. Apabila di dalam kubur, seluruh anak isteri dan keluarganya bahkan segala hartanya tidak berguna lagi. Sebagaimana Allah telah berfirman:

Ertinya: "Pada hari di mana harta dan anak tidak bermunafa'at. Kecuali orang yang datang kepada Allah (mati) dengan hati yang selamat (membawa iman / taubat)."
Surah Asy Syura ayat 88 dan 89

Allahumma Ya Allah, berilah kami rezeki taubat sebelum mati. Ingatkan kami ketika kami lupa. Berilah kami keuntungan akan syafa'at Nabi Muhammad s.a.w.  Aaminnn...

Ciri-ciri orang mukmin adalah setiap sa'at selalu bertaubat dan menyesali dosa-dosanya. Dia memadai apa yang ada dan sama sekali tidak terpikat pada dunia. Bahkan dia selalu beramal untuk Akhirat dan menyembah Allah s.w.t. dengan penuh ikhlas.

Diceritakan, ada seorang lelaki bakhil dan munafik bersumpah hendak menceraikan isterinya bila dia memberikan sedekah. Kemudian datang pengemis mengetuk pintu rumahnya seraya berkata, "Demi hak Allah apakah engkau tidak akan memberiku sesuatu?"

Lalu perempuan itu memberikan tiga potong roti. Apabila diketahui suaminya terus memanggil pengemis itu dan berkata, "Siapakah yang memberimu roti?" Pengemis itu menjawab, "Aku diberi oleh seorang wanita penghuni rumah itu." Lalu si suami masuk ke rumah dan berkata kepada isterinya. "Bukankah aku telah bersumpah agar engkau tidak memberikan sesuatu kepada seseorang pun?" Si isteri menjawab, "Aku memberikan kerana Allah." Si suami kemudian menyalakan tungku. Setelah panas lalu berkata kepada isterinya, "Masuklah ke situ kerana Allah." Si isteri kemudian bangkit dan mengambil perhiasannya. "Tinggalkan perhiasan itu!" kata si suami. Si isteri menjawab, "Seorang pencinta akan berhias untuk kekasihnya. Dan aku hendak menemui kekasihku." Kemudian dia masuk ke dalam tungku itu. Lelaki munafik menutup tungku dan meninggalkannya pergi. Setelah tiga hari kemudian dia datang lagi dan membuka tungku itu. Dia lihat isterinya selamat dengan kekuasaan Allah s.w.t. sehingga lelaki itu hairan. Kemudian ada suara Hatif berkata, "Apakah engkau tidak tahu bahawa api tidak akan membakar kekasihKu."

Diceritakan bahawa Asiah isteri Firaun merahsiakan yang dia beriman kepada Allah dari Firaun. Setelah mengetahui keimanannya, Firaun perintahkan pengawalnya untuk menyeksa isterinya dengan macam-macam seksaan. Lalu Firaun berkata, "Murtadlah engkau!" Asiah tidak mahu murtad. Segera tubuh Asiah diikat pada beberapa pancang kecil dan Firaun mengherdik lagi, "Murtadlah engkau!" Asiah berkata, "Engkau tahu jiwa ragaku dalam penjagaan Allah." Kemudian Musa a.s. lalu di hadapannya maka Asiah berkata, "Wahai Musa! Khabarkan padaku, apakah Tuhanku rela atau murka kepadaku?" Musa a.s. menjawab, "Wahai Asiah, semua malaikat langit merindukan dan Allah memujimu. Dia berkata, mintalah kepadaKu akan Kupenuhi!" Lalu Asiah berkata seperti yang telah diceritakan di dalam al Quran ayat ke 11 (sebelas) surah Tahrim yang bermaksud:

"Ya Tuhanku bangunkan untukku di sisiMu rumah di Syurga.
 Selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya.
Dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim."

Dari Salman ra berkata, "Isteri Firaun diseksa dengan berjemur di panas matahari. Ketika mereka pergi, para malaikat memayungi wanita itu dengan sayapnya. Dia melihat rumahnya dalam syurga."

Dan dirawikan dari Abi Hurairah ra bahawa Firaun merentangkan isterinya pada empat pancang dan dibiarkan di bawah panas matahari. Kemudian Asiah menghadapkan mukanya ke langit seraya berkata,

"Ya Tuhanku bangunkan untukku di sisiMu rumah di Syurga."

Hasan berkata, "Kemudian Allah menyelamatkan dan mengangkatnya ke Syurga. Ia makan dan minum dengan senang lenang."

Hal tersebut merupakan dalil bahawa memohon pertolongan kepada Allah s.w.t., berlindung kepadaNya dan memohon keselamatan kepadaNya dari segala kesulitan dan bencana adalah perbuatan orang soleh dan adab orang mukmin.

kredit: Mukasyafah al Qulub (Imam al Ghazali)


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan