Selasa, 14 Ogos 2012

Tujuh Gulongan Yang Mendapat Teduhan


Rasulullah s.a.w menjelaskan suatu keadaan yang amat menggerunkan pada hari Kiamat dalam sepotong hadis baginda yang bermaksud;

“ Didekatkan matahari pada hari Kiamat kepada makhluk sehingga jaraknya satu batu (samada ukuran sekarang atau akhirat), maka ketika itu manusia berada di dalam peluh masing-masing menurut kadar amalan jahat yang dilakukan. Ada di kalangan mereka yang mengharungi peluhnya sekadar buku lali, ada yang sampai ke lutut, ada yang sampai ke pinggang dan ada yang sampai ke mulutnya (sambil baginda menunjukkan isyarat ke mulutnya).” 

Hadith riwayat Muslim & Tarmizi

Pada saat ini, manusia mencari-cari tempat berteduh untuk berlindung daripada kepanasan tersebut. Segala harta kekayaan ketika di dunia dahulu sudah tidak dapat berfungsi kecuali yang telah dibelanjakan dengan cara yang diredhai oleh Allah. Walau bagaimanapun ada golongan ‘VIP’ tertentu yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w untuk mendapat ‘grand stand’ berbumbung pada saat genting itu. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud ;

“ Tujuh golongan yang Allah akan naungi mereka pada hari yang tiada teduhan
melainkan teduhan yang diberikan oleh Allah”.


Mereka ialah:


1) PEMIMPIN YANG ADIL

Golongan ini diletakkan pada senarai yang pertama kerana ia bakal melahirkan ramai lagi calon untuk mengisi enam golongan seterusnya. Di dalam kitab Dalil al-Faalihin, diterangkan bahawa makna adil ialah mematuhi segala perintah Allah dengan meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Pemimpin yang adil akan meletakkan Allah dan Rasulullah s.a.w sebagai rujukan utama di dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil. Golongan ini diketuai oleh Rasulullah s.a.w yang menjadi Perdana Menteri Negara Madinah selama 10 tahun, diikuti oleh Khulafa’ al-Rasyidin dan setiap pemimpin yang berusaha mencontohi mereka di dalam kepimpinannya..


2) REMAJA YANG MEMBESAR DALAM KETA'ATAN

Usia remaja amatlah mencabar. Pelbagai pengaruh menghantui para remaja samada melalui rakan-rakan sebaya, media cetak, elektronik dan lain-lain. Jiwa remaja sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru terutamanya yang kelihatan menyeronokkan seperti mempunyai pasangan kekasih, merokok, merempit, berkaraoke dan pelbagai aktiviti yang ada kalanya menyebabkan kesan yang sangat negatif kepada masa depan mereka sendiri. Walau bagaimanapun di celah-celah keributan gejala sosial ini, masih ada remaja yang menjaga agama mereka. Mereka berkawan, berseronok, dan beraktiviti seperti biasa, namun batasan agama sentiasa dipatuhi. Halal dan haram menjadi pertimbangan terpenting dalam kehidupan sehingga ada kalanya dipandang asing oleh rakan sebaya. Mereka ini yakin dengan janji Rasulullah s.a.w bahawa naugan Allah sedang menanti di akhirat kelak sebagai ganjaran terhadap kekuatan ‘antibodi’ yang menepis segala pujuk rayu maksiat pada usia remajanya.


3) PENCINTA MASJID

Sepanjang sejarah Islam, ada golongan manusia yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Mereka sanggup berkorban apa sahaja yang dimiliki demi menghidupkan fungsi masjid di atas muka bumi ini. Setiap kebaikan yang berlaku di masjid pasti menggembirakannya dan sebarang usaha atau tindakan untuk mengganggu institusi masjid bakal menyentap emosi mereka secara spontan. Golongan ini mempunyai 5 sifat sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Taubah, ayat 16 iaitu keimanan yang kukuh kepada Allah dan hari Akhirat, serta sentiasa mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak pernah gerun di dalam menjalankan tanggungjawab agama, melainkan hanya kepada Allah.


4) DUA INSAN YANG BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH

Berkasih sayang adalah soal hati. Ia merupakan suatu perasaan yang tidak boleh dilakonkan atau dibuat-buat oleh seseorang. Setiap insan pasti ada orang yang dikasihinya samada ahli keluarga, sahabat handai ataupun tokoh yang dikagumi. Persoalannya, atas dasar apakah kasih sayang itu dibina ? Sekiranya kerana wajah yang jelita, harta yang melimpah atau kepentingan-kepentingan duniawi yang lain, maka masih belum layak untuk mendapat naungan Allah di akhirat nanti. Perasaan mengasihi kerana Allah lahir apabila melihat seseorang yang sangat bersungguh di dalam menta'ati Allah dalam segenap urusan hidupnya. Persahabatan terjalin sehingga menjadikan setiap pertemuan dan perpisahan sesudah itu adalah untuk urusan agama.


5) DIGODA BERZINA

Golongan kelima yang dijanjikan naungan Allah ialah seorang pemuda yang digoda berzina oleh perempuan yang cantik lagi berpangkat, lalu ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah !’. Nafsu dan keinginan orang muda pastinya sentiasa hangat, tambahan pula digoda oleh perempuan cantik lagi mengiurkan, di samping pangkat yang dimilikinya boleh dimunafa'atkan untuk mengelak sebarang hukuman atau tindakan daripada pihak tertentu. Dalam keadaan ‘line clear’ ini, anak muda tersebut masih ada Allah di hatinya lalu dengan tegas membuktikan kegerunannya terhadap murka Allah mengatasi gejolak nafsunya. Ia pasti bersama panji Nabi Yusof a.s di akhirat kelak bersama para bidadari yang disediakan oleh Allah.


6) MENYEMBUNYIKAN SEDEKAH

Ada insan yang sentiasa berurusniaga dengan Allah. Pelaburannya sentiasa dijuruskan untuk mendapat ‘profit’ akhirat yang kekal abadi lalu sentiasa bermujahadah untuk mencapai martabat kemuncak keikhlasan sehingga Rasulullah s.a.w mentamsilkan bersedekah tangan kanan, tangan kiri tidak mengetahui apa yang diberikan. Tidak pernah terdetik di hati untuk mendapat pujian daripada manusia sekeliling sehingga menyebabkan nilai pahalanya begitu tinggi walaupun jumlah sedekahnya kecil pada penilaian manusia. Apatah lagi ketika mereka bersedekah dengan jumlah yang besar di samping hatinya yang sangat suci, pastinya melayakkan mereka di akhirat nanti untuk bersama para hartawan dari kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w.


7) MENGINGATI ALLAH SEHINGGA MENITISKAN AIR MATA

Golongan terakhir ialah insan-insan yang begitu tekun bermuhasabah tentang diri mereka sehingga menitiskan air mata di kala berseorangan. Mereka memikirkan dosa-dosa lampau dan juga betapa banyaknya perintah Allah yang belum tertunai. Si ayah dan ibu memikirkan anak-anaknya yang tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat, si peniaga yang teringatkan tipu helahnya dalam melariskan jualan, si anak mengimbau dosa-dosa terhadap kedua ibu bapanya dan pelbagai situasi lagi yang akhirnya menyebabkan mutiara-mutiara jernih mengalir di pipi, semata-mata kerana Allah.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

1 ulasan: