Ahad, 1 Julai 2012

Cerita Alas Kepala_songkok, ketayap, serban dll.



Gambar Tok Wan dengan salah seorang sahabat semenjak bangku sekolah Mazlan Saad dalam majlis perkahwinan anak adiknya Rohana Saad di Kampong Pandan baru-baru ini.

Hari ini ahad 11 Sya'aban 1433 tok nak bercerita berkenaan 'Alas Kepala', samaada songkok, ketayap, serban, tarbus atau apa saja yang menjadi penutup kepala. Tapi nak memudahkan cerita elok tok sebut songkok sahaja kerana lazimnya kita sebagai orang Melayu akan memakai songkok baik waktu sembahyang, waktu ziarah kematian atau ziarah orang kenduri kawen dsbnya.

Sebenarnya banyak petua lama yang kita sudah mula lupakan sekarang termasuk petua menutup kepala dengan apa-apa benda baik songkok atau kain sahaja.

Yang paling ketara ialah bila masuk ketandas. Orang tua-tua dulu ada memberi pesan untuk kita supaya menutup kepaala bila masuk ke tandas. Tapi hari ini kita dapat jumpa orang yang lazimnya memakai songkok ataupun ketayap akan membuka alas kepalanya itu kerana sebab nak masuk ke tandas. Konon nak menjaga kesucian songkon atau ketayap atau serbannya itu. Sebenarnya cara itu salah. Kita wajib tutup kepala kita ketika masuk ke tandas sebab dalam tandas merupakan rumah-tangga jin kafir serta syaitan. Bila kita ada urusan transaksi dalam tandas tanpa menutup kepala maka syaitan dan jin kafir akan mengambil najis kita itu dan melumurkannya keatas kepala kita.

Kalau anda masih ingat lagi dikampong-kampong pendalamaan dimana tandas berada diluar rumah maka kita akan melihat lelaki atau perempuan yang hendak ke tandas akan menutup kepala mereka dengan kain pelekat atau kain batik. Dan sewaktu mereka keluar dari tandas kita dapati mereka masih menutup kepala mereka dengan kain tersebut.

Jadi mulai hari ini tok nak menyeru kepada anda yang memang telah sedia memakai songkok atau ketayap atau serban jangan tanggalkan alas kepala itu sewaktu urusan transaksi dalam tandas. Boleh tanggalkan alas kepala itu cuma waktu mengambil wuduk sahaja sebab ada bahagian yang perlu dibasahkan sedikit waktu wuduk, lepas tu pakailah semula.

Sewaktu bukan dalam tandas pun ada lebih baik kita terus menutup kepala kita dengan sesuatu benda lain samaada selendang, serban atau apa sahaja asalkan bukan 'cap', sebab ada ulamak yang kata 'cap' itu seolah-olah lidah anjing. Nak pakai 'berri' yang macam Mahar Zain pakai tu pun boleh asalkan bila bawa sembahyang terbalikkanlah bahagian depan tu ke belakang takut dahi kita tak dapat mencecah lantai sewaktu kita sujud.

Mari kita melihat kenapa kebanyakan bangsa-bangsa didunia mempunyai alat berbagai-bagai jenis jenis untuk menutup kepala. Selain dari menahan pancaran matahari dari terus menuju kepala dimana otak kita berada ia juga dapat menghalang kita dari di singgahi oleh makhluk jahat seperti jin kafir serta syaitan. Sebab itu juga minuman yang dihidangkan biasanya mempunyai penutup. Kalau nak berhenti minum tutup semula dan bila nak sambung minum buka sekejap, sebab selain dapat menjaga dari dimasuki habuk ia juga dapat mengelak dari di kencing oleh jin kafir serta syaitan.

Sekitar tahun 90'an dulu sewaktu tok tinggal di Bandar Tun Razak ada seorang pemuda yang selalu sangat bertanyakan hal-hal yang berkaitan agama kepada tok. Satu hari dia bercerita waktu azan maghrib dia turun dari tingkat 14 rumahnya dan waktu sampai dibawah azan maghrib disurau berhampiran sudah habis berkumandang. Tetiba kawan-kawannya memanggil namanya dan dia menoleh kearah kawannya itu. Dilihatnya tiga orang kawannya berada disuatu tembok sedang memegang minuman dalam tin dan dilihatnya seekor jin sedang kencing dalam tin minuman yang dipegang oleh rakan tersebut. Pada waktu yang sama juga seorang lagi kawannya yang tidak memegang apa-apa sedang dikencing oleh jin tanah yang baru keluar dari dalam tanah sebaik-baik selesai azan serta kencing diatas kepalanya.

Rasa takut melihat kejadian itu ia tak jadi menghampiri rakan-rakannya dan ia terus lari menuju gerai makan, kawan-kawannya menjerit memanggil dia dalam keadaan terpinga-pinga. Di gerai makan milik emaknya dia membancuh teh tarik dalam koleh besar dan duduk bermenung selepas minum sedikit. Minuman yang belum habis dalam koleh tersebut ditutup dengan tapak tangan takut dikencing oleh jin kafir tadi. Emaknya nampak kelakuan anaknya yang pelik malam itu. Emaknya menghampirinya dan cuba menjengok ada apa dalam koleh itu yang cuba disorokkan. Dia menutup kemas mulut koleh itu dan emaknya cuba mengalihkan tangannya untuk melihat apa ada dalam koleh tersebut namun dia memperkuatkan tenaganya supaya tidak terbuka. Lama selepas itu baru dia menceritakan hal tersebut kepada emaknya. Barulah emaknya faham apa sebenarnya yang terjadi.

Bila dia menceritakan semula kapada tok, tok bagitau dia bahawa jin kafir dan syaitan itu keluar bila habis azan dan bila orang di surau iqamat untuk memulakan solat maghrib mereka ini akan lari semula masuk kedalam longkang, lubang tandas dan tanah yang mana sempat sebab takut mendengar nama Allah disebutkan. Itulah sebabnya Allah mewajibkan kita solat berjemaah pada waktu matahari mula terbenam. Dan pada waktu-waktu lain seperti waktu matahari nak keluar (suboh), waktu matahari tengah kepala (zohor)dan waktu matahari masuk habis (waktu Isyak). Tapi ramai antara kita tak ambil peduli akan waktu itu.

Ramai antara kita yang tak peduli waktu itu maka mereka meneruskan apa yang mereka fikir sesuai untuk mereka dan bila berlaku kemalangan kecil atau besar sudah pasti mudaratnya melebihi waktu-waktu lain. Disini kita belajar menghormati waktu solat serta waktu azan berkumandang. Buatlah seperti kita mendengar lagu 'Negaraku', cuma 4 atau 5 minit sahaja.

Dalam erti kata lain bukan kepala kita sahaja yang kita wajib tutup tapi makanan serta minuman kita juga harus ditutup. Kalau perkaraa-perkara yang tok sebutkan itu terdedah sudah pasti kita mendedahkan diri kita dari ancaman jin kafir serta syaitan. Dalam zaman yang kita sebut akhir zaman ini peluang mereka untuk bersekongkol dengan Iblis laknatullah untuk menghasut kita sudah semakin sempit, jadi mereka harus bekerja keras untuk mempastikan kita ini sebagai anak-cucu Adam akan dapat mereka sesatkan.

Dengan melapik kepala kita dengan sesuatu, sudah pasti risiko dilakukan khianat oleh mahkluk jahat ini berkurangan. Makhluk-makhluk jahat ini tahu dikepala kita ini ada otak dan ada akal. Allah tidak meletakkan akal dibahu kita tapi didalam kepala. Kalau otak dapat kita lihat melalui pembedahan tapi akal tidak dapat kita lihat, ia adalah sesuatu yang unik yang hebat yang Allah cipta untuk kita.

Suatu waktu bilamana Allah telah mencipta akal lalu Allah ta'ala perlihatkan kepada para Malaikat lalu Maalaikat memuji-muji kecantikan, keunikan serta kelebihan akal yang baru diciptakan itu. Lalu salah satu Malaikat bertanya kepada Allah ta'ala 'Dimakah benda yang indah ini hendak diletakkan?' lalu Allah berFirman.'Aku hendak letakkannya pada manusia'. Lalu Malaikat berkaaa.'Maha suci Engkau Ya Allah, Hanya Engkau sahajalah Yang Maha Mengetahui'.

Jadi akal adalah sesuatu yang unik yang canggeh yang special yang Allah cipta dan kini berada pada diri manusia. Jikalau manusia tidak dapat memepergunakan akalnya dengan baik, sudah pasti kita akan mendengar orang lain berkata, 'Macam orang tak berakal'. Jadi akal adalah suatu benda yang kita mesti pelihara, ia terletak dikepala kita dan kita perlu tutup dan perlu disujudkan kepada arah Qiblat setiap hari sebanyak lima kali. Dan bila dalam keadaan sujud dahi kita mesti kena lantai tempat kita sujud, bahkan bukan dahi sahaja tetapi keseluruhan muka termasuk hidung. Pada dahi kita pula ada urat-urat halus yang seperti kena cas bila dalam waktu sujud urat tersebut kena tekan dan otak mengingatkan Allah ta'ala, sementara hati sepenuhnya memberikan tumpuan kepada Allah. Disitulah datangnya akal yang sempurna yang tidak memilih dunia secara berlebihan sehingga melupakan akhirat atau memilih akhirat berlebihan sehingga melupakan dunia.

Anugerah Allah kepada manusia tidak dapat manusia gunakan sepenuhnya. Begitu juga bagaimana menghubungi Allah. Adakah benar Allah pernah menghubungi kita? Benar.... Allah ta'ala sentiasa menghubungi kita bila kita menghubungiNya dalam solat ataupun bukan dalam solat.

Allah ta'ala ingat kepada kita bilamana kita ingat akan Dia. Ia tidak seperti orang yang sedang alam bercinta, 'bila rindu sebutlah namaku pasti aku akan berada disisimu' Tetapi hubungan Allah dengan kita lebih dahsyat lagi tapi tak semua kita yang memahami hal-hal begini kecuali kita mengikut segala pesan yang baik-baik yang Nabi Muhammad s.a.w. tinggalkan untuk kita. Turutilah segala amalan sunnah Nabi kita, Penghulu kita, Nabi Muhammad s.a.w. kerana dalam banyak perkara yang kita tidak tahu dari semulanya kita akan tahu akhirnya. Jangan banyak berdaleh kononnya itu tak lojik tak masuk akal sebab akal kita bukan perfect, akal kita ada tahap yang cuma kita boleh kawal dan ada tahap yang kita tak boleh kawal. Namun ia adalah tahap yang manusia mampu menahan doz tertentu yang Allah ta'ala berikan.

Kalau nak menulis tentang alas kepala ini memang panjang lagi tapi untuk kali ini cukuplah setakat ini, kita jumpa lagi dalam lain tajuk dilain masa. Sebelum menutup artikel ini tik nak pesan juga lagi sekali jika tidak ada apa-apa bahan hendak menutup kepala semasa berada dalam tandas memadailah menutup dengan telapak tangan kanan. Dan jika urusan transaksinya agak besar sila gunakan tangan kiri untuk menekan perut. Segala yang baik datangnya dari Allah ta'ala dan segala kesilapan itu datangnya dari Tok Wan juga.


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan