Khamis, 10 Mei 2012

Hak Jalan Yang Kita Selalu Lupa


SEBAHAGIAN BESAR dari kita mungkin pernah menyaksikan pelbagai aksi demonstrasi jalanan. Siapa yang tidak ingat dengan peristiwa 1998 lalu. Begitu juga dengan peristiwa 9 Julai 2011 dan terbaru 28 April 2012.

Demonstrasi jalanan telah menjadi faktor terganggunya lalu-lintas dan sesaknya jalan-jalan milik awam. Pelbagai lapisan masyarakat yang memiliki urusan di ibukota menjadi panik, gusar, runsing, dan marah kerana pelbagai aktiviti yang telah direncanakan terganggu.

Kita semua maklum bahawa jalan-jalan yang disediakan adalah milik awam. Ia memiliki fungsi khas bersama peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan demi kemaslahatan bersama.

Dalam Islam sendiri jalan-jalan ini memiliki hak-haknya yang perlu ditunaikan.

Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu pernah mengkhabarkan sebuah hadis Nabi berkaitan hak-hak jalan. Kata beliau, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالْجُلُوسَ عَلَى الطُّرُقَاتِ

فَقَالُوا مَا لَنَا بُدٌّ إِنَّمَا هِيَ مَجَالِسُنَا نَتَحَدَّثُ فِيهَا قَالَ فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلَّا الْمَجَالِسَ فَأَعْطُوا الطَّرِيقَ حَقَّهَا قَالُوا وَمَا حَقُّ الطَّرِيقِ

قَالَ غَضُّ الْبَصَرِ وَكَفُّ الْأَذَى وَرَدُّ السَّلَامِ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ


“Janganlah kamu duduk-duduk di atas jalan.”

Maka mereka (para sahabat) berkata, “Sesungguhnya kami perlu duduk-duduk untuk berbincang-bincang.” Nabi saw menjawab, “Jika kamu tidak dapat berganjak melainkan perlu duduk-duduk, maka berikanlah hak-hak jalan tersebut.” Mereka bertanya, “Apa hak-hak jalan tersebut wahai Rasulullah?”

Nabi saw menjawab, “Menundukkan pandangan, tidak mengganggu (atau menyakiti) orang, menjawab salam, dan memerintahkan kepada yang ma’ruf serta mencegah dari kemungkaran.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 8/351, no. 2285)

Kata al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah, “Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam menyebutkan “menundukkan pandangan” adalah bagi mengisyaratkan keselamatan dari fitnah kerana melintasnya para wanita (yang bukan mahram) ataupun selainnya. Menyebutkan “tidak mengganggu (atau menyakiti) orang” untuk mengisyaratkan supaya memelihara diri dari perbuatan menghina, mengata orang lain, atau yang serupa. Menyebutkan perihal “menjawab salam” untuk mengisyaratkan kewajiban memuliakan atau mengormati orang yang melalui jalan tersebut. Menyebutkan perintah amar ma’ruf nahi mungkar bagi mengisyaratkan kewajiban mengamalkan apa yang disyari’atkan dan meninggalkan apa yang tidak disyari’atkan.” (Fathul Bari, 5/135)

Imam an-Nawawi rahimahullah pula menjelaskan, “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengisyaratkan tentang alasan larangan beliau (terhadap perbuatan duduk-duduk di jalanan) bahawa perkara tersebut boleh mencampakkan ke dalam fitnah dan dosa di ketika ada para wanita (yang bukan mahramnya) atau selainnya yang melintasi mereka, sehingga membuatkannya memandang ke arah wanita tersebut (secara bebas), atau membayangkannya, atau berprasangka buruk kepadanya, atau terhadap sesiapa sahaja yang melintas.

Dan di antara bentuk mengganggu (atau menyakiti) manusia adalah dengan menghina (atau mengejek) orang yang melintas, mengumpat, atau selainnya, atau terkadang tidak menjawab salam mereka, tidak melakukan amar ma’ruf nahi mungkar, serta alasan-alasan lainnya yang bila dia berada di rumah dapat selamat dari perbuatan seperti itu. Turut termasuk perbuatan menyakiti orang lain adalah bila menyempitkan jalan orang-orang yang ingin melintas, atau menghalang para wanita, atau selainnya yang ingin keluar menyelesaikan keperluan mereka disebabkan ada orang-orang yang duduk di jalanan.” (Syarah Shahih Muslim, 14/120)

Melalui hadis di atas berserta penjelasannya oleh dua ulama tersebut sepatutnya kita semua dapat mengambil iktibar. Jika duduk-duduk pun ditegur oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka apatah lagi dengan melakukan perbuatan demonstrasi jalanan yang bukan sekadar duduk-duduk dan bincang-bincang! Sebaliknya bertindak membangkitkan emosi rakyat untuk memprotes. Bersama-sama mereka adalah kaum wanita, anak-anak, para gadis, orang-orang kafir, dan seumpamanya. Mereka berhimpun sambil bercampur-baur sesama mereka atas dasar emosi dan semangat memprotes.

Dari sini saja telah dapat kita saksikan hak-hak jalan yang diperingatkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam gagal mereka patuhi. Beberapa perkara boleh kita persoalkan.

Antaranya adakah mereka dapat menundukkan pandangan, sedangkan bersama-sama mereka ada anak-anak gadis dan kaum wanita sama ada yang muslim mahupun yang kafir, yang jahil mahupun yang fasiq. Sama ada yang menutup aurat atau sebaliknya. Di manakah amar ma’ruf nahi mungkar dalam kalangan mereka sendiri? Bagaimanakah mereka mencegah gejala ikhtilath dari berlaku sesama mereka?

Sehingga kita juga akan bertanya, di manakah rasa malu anak-anak gadis ini terutamanya yang muslimat terhadap orang-orang yang saling memandang kepadanya tanpa sebarang keperluan syar’i? Malah gambar-gambar mereka turut dirakam dan tersebar seantero dunia menjadi tatapan jutaan manusia.

Dari sudut ini, urusan mereka sendiri tampak kabur. Walupun demikian, mereka tetap terus sibuk memprotes urusan orang lain dari menyibukkan kekurangan dan kelemahan diri sendiri. Ibarat kuman diseberang laut sibuk diteropong, tetapi gajah di depan mata buat-buat tak nampak.

Demonstrasi jalanan selain mengganggu lalu-lintas, ia juga melanggar peruntukan perundangan jalan-raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa atau pemerintah. Sedangkan hukum mentaati pemerintah dalam urusan ini adalah wajib dan melanggarnya adalah haram.

Kata Imam al-Mubarakfuri rahimahullah, “Apabila seseorang pemimpin memerintahkan sesuatu yang sunnah atau mubah (harus), maka hukumnya menjadi wajib.” (Tuhfatul Ahwadzi, 5/298)

Apabila jalan sesak sebagaimana telah kita saksikan, pihak polis pasti akan dikerahkan bagi mengawal keselamatan dan menghalang dari berlakunya sebarang kemungkinan tidak diingini.

Lebih dari kesesakan dan gangguan lalu-lintas, demonstrasi jalanan juga turut melahirkan rasa takut di kalangan orang awam. Ini dapat dilihat apabila para aktivis demonstrasi yang berhimpun bersama-sama pengikut mereka sehingga ratusan, ribuan, atau mungkin lebih dari itu. Mereka berjalan dengan penuh agresif sambil terjerit-terjerit dan terpekik-terlolong. Bahkan mulut mereka sering tidak lepas dari turut menghamburkan kata-kata caci, maki, provokasi, celaan dan kejian.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengingatkan:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

“Seseorang muslim (yang sempurna keislamannya) adalah bila mana umat Islam lainnya selamat dari lidah dan tangannya.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/149, no. 58)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga telah memberi amaran:

سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

“Mencaci orang muslim adalah perbuatan fasiq dan membunuhnya (tanpa haq) adalah perbuatan kufur.” (Muttafaq ‘alaih)

Dan juga melalui sabdanya:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir (Kiamat), hendaklah ia berkata yang baik-baik atau hendaklah ia diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 20/116, no. 5994)

Selain memenuhi hak-hak jalan, satu lagi perkara penting yang sering diabaikan adalah sunnah menghilangkan gangguan yang ada di jalanan.

Menghilangkan gangguan di jalan-jalan termasuk salah satu tanda iman. Sesiapa yang sengaja menghalang-halang jalan tanpa hak yang benar termasuk dengan mengadakan demonstrasi jalanan yang tidak syar’i, ia sebenarnya telah menzahirkan sikap bertentangan dengan sebahagian ciri-ciri iman.

Sehingga perbuatan mereka tersebut menyebabkan pihak polis terpaksa dikerahkan berkawal di setiap jalan-jalan berkaitan. Rasa takut, bimbang, marah, dan risau menguasai para penguna jalan-raya apabila jalan-jalan ditutup dan banyak sekatan dibuat.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ


“Iman itu tujuh puluh cabang lebih atau enam puluh cabang lebih. Yang paling utama adalah ucapan “Laa ilaaha illallah” dan yang paling rendah adalah menyingkirkan rintangan (gangguan) dari jalanan. Dan rasa malu itu juga termasuk salah satu cabang iman.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/140, no. 51)

Tanyakan khabar iman kita. Sejauh mana rasa malu yang kita miliki ini telah mampu menghalang dari bermaksiat kepada Allah? Adakah iman kita saat ini mengarahkan kita menunaikan hak-hak jalan dan menyingkirkan gangguan di jalanan? Jawab sejujurnya pada diri masing-masing. Kerana apa yang pernah kita saksikan dalam demonstrasi-demonstrasi jalanan lalu, ibukota negara terganggu dengan kesesakan, kacau-bilau, malah hampir lumpuh operasi terutamanya pada 9 Julai 2011 dan siri demonstrasi 1998 termasuk siri terbaru 28 April 2012.

Setakat artikel ini ditulis Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa bahawa hukum orang Islam yang menyertai perhimpunan Bersih 3.0 adalah haram. Majlis Fatwa Kebangsaan adalah di bawah bidang kuasa agama yang melibatkan Raja-raja dan Sultan-sultan. Kerajaan bermaksud Ke Raja an, yakni penambahan kata ke dihadapan kata-nama Raja serta penambahan an dihujungnya bagi memaksudkannya suatu kuasa. Maksud sebenarnya ialah Raja.

Begitu juga dengan Polis Di Raja Malaysia yang bertugas mengawal jalan. Ada ama Raja pada bahu kiri dan kanan mereka serta nama Allah serta Muhammad (saw) sebagai lencana mereka. Amat tidak wajar mereka ini di panggil anjing oleh peserta Bersih 3.0. Marilah kita perbaiki diri kita masing-masing agar setiap perbuatan kita tidak di benci oleh Nabi Junjungan Besar kita semua yakni Nabi Muhammad saw dan usahakanlah sesuatu yang baik yang dapat Allah swt berbangga kepada para Malaikat kerana kebaikan yang kita lakukan di atas muka bumi, dan bukannya kerosakan.

kredit: rakangroup


Salam Ukhuwah..~

1 ulasan:

  1. Salam alaik Tok Wan..

    Sy begitu mengkagumi hasil nukilan2 dr Tok Wan kerana begitu segar menyentuh isu2 brkaitan akidah, semasa atau kkadang ada elemen2 tasauf utk sy muhasabah kn utk diri sy. Akan ttapi isu 'jalanan' yg d bangkit kan diatas.. sy jd 'upset' bila mmbaca kotak pemikiran Tok Wan. Ada beberapa perkara yg sy bersetuju lontaran yg Tok Wan coret kn. Akan ttapi, Tok Wan tidak adil dlm menilai keseluruhan rentetan peristiwa tersebut. Apakah Tok Wan tidak melihat dgn 'mata'.. mndengar dgn 'telinga' atau menyelami dgn 'mata hati' Tok Wan. Pernah kah Tok Wan trpikir mengapa seramai 300 000 org rkyat dr pelbagai lapisan kaum, yg dtg dr ceruk rntau, tnpa di upah & sedar akan risiko mmbahayakan diri mereka, snggup brhimpun utk mnyatakan luahan hati mereka.. UTK APA!!! Adakah suka2 seronok shj?? Tahukah Tok Wan betapa negara kita sekarang ini dlm keadaan yg amat brbahaya akibat tindak tnduk pemerintah yg ingin terus mengekalkn survival politik mereka, meraka sanggup mnggadaikan maruah negara, agama & kedaulatan negara??? Utk adil dlm menilai, Tok Wan kena menyelami sperti apa yg sy coretkan di atas iaitu mata hati & fikiran yg rasional & trbuka.. Sy tidak mngenal Tok Wan secara peribadi (& tk tau apa latar blakang politik Tok Wan). Jujur sy katakan blog ini mmpunyai isi yg berilmiah & menarik. Sy terkilan jika org mcm Tok Wan msih 'tidak nmpak' situasi dlm negara skarang ini kerana Tok Wan sy pkir bknlah individu2 seperti blogger2 Parpukari atau Papagomo yg begitu rendah skali akhlak mereka..

    Maaf sekiranya ada yg terguris..
    Ikhlas dr sy yg hina..

    BalasPadam