Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Ahad, 8 April 2012
Himpunan Nasihat Luqman Hakim
Alkisah dalam satu riwayat menceritakan bagaimana pada suatu hari Luqman Hakim telah memasuki sebuah pasar dengan menaiki seekor baghal, manakala anaknya pula mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu,sesetengah orang yang berdiri di pinggir jalan pun berkata, 'Lihat orang tua itu yang tidak bertimbang rasa. Dia sedap-sedap duduk menaiki baghalnya sedangkan anaknya pula dibiarkan berjalan kaki."
Setelah mendengarkan kata-kata yang kurang sedap dari orang ramai maka Luqman pun turun dari baghalnya itu lalu diletakkan anaknya di atas baghal itu, dan kembali berjalan. Melihat yang demikian, maka sesetengah orang di pasar itu berkata pula, "Sungguh biadap budak itu. Orang tuanya dibiarkan berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki baghal itu."
Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang baghal itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian sesetengah orang ramai pula berkata lagi, "Lihat dua orang itu menunggang seekor baghal,alangkah siksanya baghal itu membawa beban yang berganda."
Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari baghal itu dan menyambungkan perjalanannya, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Ada baghal tetapi tuannya berjalan kaki. Alangkah bodohnya!"
Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya,"Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya,
"Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMANdan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.02 - Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, makadirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalahmenerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga".
"Wahai anakku! Apabila perutmu penuh dengan makanan (kenyang) maka akan matilah fikiran dan hikmah kebijaksanaanmu. Semua anggota badanmu akan menjadi malas untuk melakukan ibadah dan akan hilanglah kebersihan hati dan kehalusannya, di mana hati yang bersih itu hanya akan tercapai dengan kelazatan bermunajat (mengadap Allah) dan manfaat berzikir (ingat kepada Allah)"
"Wahai anakku! Kalau sewaktu kecil engkau rajin belajar dengan tekun menuntut ilmu sebanyak-banyaknya, maka apabila kamu dewasa kelak kamu akan memetik buahnya dan kamu akan menikmatinya."
"Wahai anakku! Kamu ikutlah ketika orang membawa jenazah, dan janganlah kamu mengikuti jamuan perkahwinan. Kerana jenazah itu dapat mengingatkan engkau akan kesudahan dari hidupmu di dunia yang fana ini. Sementara majlis perkahwinan akan membangkitkan nafsu berahimu dan ini akan membuat kamu merasa bahawa senang dengan kehidupan dunia."
"Wahai anakku! aku sudah memikul batu-batu yang besar, aku juga sudah mengangkat besi-besi berat. Tetapi aku tidak pernah merasakan sesuatu yang lebih berat daripada tangan yang buruk perangainya."
"Wahai anakku! Aku sudah merasakan segala benda-benda yang pahit,tetapi aku belum pernah merasakan sesuatu yang lebih pahit dari kemiskinan dan kehinaan."
"Wahai anakku! Aku sudah pernah mengalami penderitaan dan bermacam-macam kesusahan dan kepayahan, tetapi aku belum pernah mengalami penderitaan yang lebih susah dan lebih payah dari menanggung hutang."
kredit: Nasihat Luqman Hakim
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan