Sabtu, 24 Mac 2012

Hakim Amerika Pertahan Islam Di Mahkamah


Mungkin agak ganjil mendengar tajuk di atas . Semua orang tahu sikap Amerika terhadap Islam. Bagi Amerika, Islam sering dikaitkan dengan keganasan. Namun ironinya semakin kuat Amerika menentang Islam dilaporkan semakin ramai rakyat di sana makin berminat dengan Islam.

Tragedi 911 telah menyebabkan perkembangan Islam di Amerika berlaku dengan agak pantas. Salah satu indikasi bagi perkara ini adalah selepas serangan 911 Al-Quran menjadi kitab yang paling laris dijual di beberapa wilayah di Amerika bagi tempoh yang agak lama. Minat rakyat Amerika dengan Al-Quran sehingga menyebabkan Penerbit buku yang terkenal , Penguin Books, yang telah menerbitkan Al-Quran dalam bahasa Inggeris melaporkan ia telah mencetak lebih dari 20,000 naskah Al Quran sejurus berlakunya tragedi 911.

Akhbar USA Today melaporkan di dalam artikel bertajuk “"People Want to Know, so Koran is Bestseller," penjualan naskah Al-Quran telah berganda 55 kali selepas 911. Apabila ditanya tentang perkara ini salah seorang sarjana barat yang amat bersimpati dengan Islam, John Esposito menyatakan “ kekuatan Al-Quran adalah mana-mana orang Islam atau sesiapa sahaja membuka mana-mana helaian Al-Quran akan mendapat mesej betapa Islam memandang tinggi tentang nyawa dan kehidupan manusia.”

Kes terbaru yang berlaku di sebuah Mahkamah di Pennsylvania, Amerika juga agak menarik minat saya untuk menulis artikel ini. Ia melibatkan seorang Islam , Talaag Elbayomy yang memukul seorang Atheist, Ernie Perce yang telah menghina Nabi Muhammad s.a.w . Ernie Perce telah memakai pakaian yang menunjukkan kononnya mayat Nabi Muhammad s.a.w. sedang bangun dan berjalan di dalam satu perarakan sempena menyambut hari Halloween. Perbuatan beliau telah mengakibatkan Talaag Elbayomy yang kebetulan bersama keluarganya menyaksikan perarakan tersebut merasa bahawa perbuatan Earnie Perce tersebut menghina Rasulullah s.a.w lalu memukul lelaki athiest tersebut.

Pegawai Polis yang bertugas di perarakan tersebut iaitu Brian Curtis berpendapat tindakan lelaki athies tersebut adalah termasuk di dalam kebebasan bersuara yang dijamin oleh Pindaan Pertama Perlembagan Amerika maka beliau telah menangkap lelaki Islam yang memukul lelaki Athies tersebut. Dipendekkan cerita akhirnya lelaki Islam tersebut telah didakwa atas tuduhan menggangu ( harrassament ) lelaki Athiest tersebut.

Kes tersebut telah dibicarakan dihadapan Hakim Daerah, Mark Martin. Hakim tersebut telah memutuskan lelaki Islam tersebut tidak bersalah dan membebaskan beliau. Apa yang menarik semasa beliau membebaskan lelaki Islam tersebut beliau telah memberi syarahan berikut :-

“Setelah mempunyai peluang tinggal lebih dari dua tahun di negara umat Islam saya rasa saya mempunyai pengetahuan sedikit sebanyak tentang Islam. Hakikatnya saya ada senaskah Al-Quran di sini.. Saya ingin mencabar kamu tuan ( lelaki Athiest tersebut ) tunjukkan kepada saya di mana di dalam Al-Quran yang menyatakan bahawa Muhammad telah bangun dan berjalan bersama orang-orang yang dah mati. Oleh itu sebelum kamu memperolok-olok agama orang Iain kamu sepatutnya berusaha untuk mengetahui agama tersebut.

Di dalam masyarakat kita ( Amerika ) kita mempunyai Perlembagaan yang memberi kita banyak hak khususnya hak di bawah Pindaan Pertama. Amat malang setengah orang menguna Pindaan Pertama tersebut bagi membuat provokasi ke atas orang lain dengan sengaja. Saya tidak fikir itulah yang diniatkan oleh datuk moyang kita terdahulu. Saya rasa datuk moyang kita berniat untuk mengguna Pindaan Pertama tersebut bagi membolehkan kita menyampaikan apa yang ada di minda kita dan bukannya bagi menghina dan mencerca orang lain atau budaya mereka – yang malangnya itulah yang kamu lakukan.”

Hakim itu kemudiannya meneruskan syarahan beliau tentang Islam seperti berikut :-

“ Saya tidak rasa kamu sedar tuan bahawa di sana terdapat perbezan yang besar bagaimana Amerika melaksanakan Kristian – saya faham kamu adalah seorang Athiest ( tidak percaya agama ) – tapi kamu kena faham bahawa Islam bukan sekadar agama. Islam adalah cara hidup dan budaya mereka . Islam adalah segala-galanya bagi mereka ( orang Islam ) . Mereka bersembahyang lima kali sehari dan menghadap Mekah . Untuk menjadi orang Islam yang baik sebelum mati kamu kena pergi ke Mekah menunaikan haji melainkan kamu terlalu sakit atau terlalu tua tetapi kamu kena berusaha untuk melakukan haji. Perjumpaan mereka dimulakan dengan ‘Salam alaikum, wa-laikum as-Salam yang ertinya Salam sejahtera ke atas kamu.

Adalah menjadi kebiasaan dalam percakapan mereka apabila mereka bercakap dengan orang lain mereka akan berkata “ Jika Allah mengkehendaki” (Insya'Allah) ia akan berlaku. Inilah tata cara kehidupan mereka. Apa yang kamu lakukan adalah sama sekali meranapkan apa yang mereka anuti. Saya berpendapat apa yang kamu lakukan adalah sangat sangat biadap dan meskipun kamu ada hak , kamu bagaimanapun telah bertindak melampaui had-had yang ditetapkan oleh Pindaan Pertama Perlembagaan.

Saya telah mengabiskan masa selama tujuh tahun tinggal di negara-negara lain. Apabila kita pergi ke negara lain bukan satu yang luar biasa orang memanggil kita sebagai ‘ugly Americans” ( Amerika yang hodoh ) . Ini kerana kita terlalu mementingkan hak kita tetapi tidak langsung mempedulikan hak-hak orang lain.”

Di dalam satu kes yang lain yang melibatkan seorang yang dibuang kerja kerana tidak diberi alasan seorang Hakim Amerika dengan penuh yakin menyatakan seperti berikut “ Jika Tuhan sendiri memberikan alasan kepada Adam- iaitu Adam dilarang memakan buah yang dilarang- sebelum beliau diperintah keluar dari syurga , siapakah kamu ( majikan ) yang dengan sewenang-wenangnya memecat pekerja kamu tanpa memberi alasan.”

kredit: Mohamed Hanipa Maidin


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan