Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Ahad, 12 Februari 2012
Kesah Lima Jari
Dah petang2 begini lepas solat asar kalau tak pekena kopi 'O' barang secawan memang seperti ada yang tak kena. Ada juga kawan2 tok ajak ke kedai mamak pekena nescafe tarik kurang manis sorang secawan tapi teringat lima jari teringat pula pesanan hati kepada diri sendiri,'Alahai...setakat nak minum kopi 'O' tu buat sendiri pun boleh, duduk di kedai kopi sudah pasti hati seriau, sudah pasti mata banyak melilau, sudah pasti masa banyak tersasau. Hati pun akan bertaambah risau. Jadi tok ambil keputusan 'korunk pergilah'. Biar aku bersendiri.
Petang nie tok nak cerita pasal 5 jari yang terdapat pada tangan kita yang Allah swt beri kepada kita. Tapi nak cerita hal jari ni tok kena pula related dengan satu peristiwa pada suatu subuh...okey..??
Pada suatu pagi sewaktu azan subuh belum lagi berkumandang maka kelihatan se susuk tubuh siap bersongkok sedang berjalan hendak menuju ke masjid. Niatnya untuk berjema'ah di masjid, berjema'ah solat suboh. Lelaki muda ini pasti bahawa perjalanannya memang itulah setiap pagi, sunyi, cuma sesekali ada sebuah atau dua buah kereta melintasi gelap pagi. Nak kata ada orang lain yang berjalan bersama-sama dengannya mesti takkan pernah ada. Lelaki ini yakin hanya dia seorang sahaja berada di jalan menuju masjid setiap pagi termasuk pagi pada hari dimana kejadian ini berlaku.
Tiba-tiba terasa seperti ada seseorang berjalan hampir di belakangnya. Lelaki ini menoleh ke kanan,'Assalamualaikum wbt' , begitu dia menoleh begitu laju salam yang lengkap dengan Rahmat Allah swt sekali terpacul dari mulut lelaki di sebelahnya itu. Lelaki dalam peringkat umur dewasa berserban putih mempunyai janggut putih serta jubah putih. Walau sudah tua namun cara langkahnya seperti dia masih muda perkasa.
'Wa 'alaikum salam wbt', jawab lelaki muda ini tanpa menampakkan rasa terkejutnya. Lelaki tua yang baru muncul entah dari mana itu cuma tersenyum. Tersenyum seperti teramat gembira.
'Rumah kat mana?', tanya lelaki yang berserban itu kepada lelaki yang muda.
'Kat lorong 4/1A' tu. Kata lelaki yang muda sambil tangan seperti menunjuk arah. 'Pakcik pula rumah kat mana?'. Tanya lelaki yang muda kepada lelaki itu sambil menghulurkan salam. Salam berbalas.
'Saya kat belakang bangunan menara tu, baru semalam pindah kemari dari Telok Intan.' Katanya ringkas sambil melangkah bersaing dengan lelaki muda. Mereka berdua berjalan beriringan menuju masjid. Memang masih jauh perjalanan untuk sampai ke masjid.
'Pagi2 macam gini payah nak jumpa orang muda macam awak berjalan kaki sorang-sorang pergi masjid.' Kata lelaki yang baru muncul itu tanpa memandang lelaki muda.
'Biasalah tu Pakcik, manusia tak nampak banyak perkara. Kalau nampak gerenti penuh masjid pagi hari ni.' Jawab lelaki muda.
'Awak ni boleh di katakan bagus juga sebab sanggup berjalan pagi2 hari semata-mata hendak berjemaah subuh kat masjid. Biasanya orang muda macam awak ni liat nak bangun pagi.' Kata lelaki itu.
'Takder lah Pakcik...ini cuma kewajipan saja. Kita sorang-sorang kat dalam bilik dapat pahala sikit. Kalau buat ramai-ramai kat masjid dapat berganda pahala.' Kata lelaki muda sambil tersengeh.
'Macam ni lah nak. Pakcik nak bagitau kat awak satu hal yang berkait dengan jari kita ni.' Kata lelaki itu sambil menunjukkan lima jari tangan yang di bukanya dan menunjukkan ke arah lelaki muda seolah-olah nak tengok naseb kat tapak tangan.
'Jari kita ini ada lima kesemuanya, yang membawa maksud kehidupan kita ada lima persinggahan. Jari yang paling kecil ini.' Sambil menunjukkan jari kelingking. 'Ia menceritakan persinggahan kita di alam roh, yakni alam sebelum kita berada di dalam perut mak kita selama 9 bulan. Semasa kita berada di alam roh dulu sebenarnya roh kita sudah berjanji kepada ar Rab untuk bersetuju menjadi manusia lelaki atau perempuan, setuju untuk menjadi anak Melayu atau anak India, setuju untuk menjadi anak orang miskin atau anak orang kaya, setuju untuk menjadi menggunakan wajah yang menarik atau wajah yang hodoh.' Kata lelaki itu dengan begitu tekun. Lelaki muda hanya mendengar dan mengangguk sahaja.
'Ketika kita redha dengan bakal lahir lelaki dari orang Melayu dan tidak kaya sebenarnya kita sudah ada sasaran bagi memperjuangkan Hak Allah swt. Kita pernah berjanji untuk menegakkan kalimah Allah. Dan bila bakal lahir kita dari perempuan yang cantik, orang Melayu serta kaya kita sebenarnya telah berjanji akan menggunakan kecantikan yang kita ada itu untuk membawa manusia yang tertarik sebab kecantikan yang Allah swt berikan kepada kita itu ke jalanNya. Dan kekayaan yang Allah swt berikan dari kelahiran keluarga kita itu akan kita gunakan pada jalan Allah swt. Namun hakikatnya apabila lahir kita ke dunia ini dan bila kita sedar kita sudah punya akal maka kita lupa segala janji kita semassa di alam roh dulu'. Kata lekaki itu bersungguh-sungguh.
'Kemudian jari kedua yang ini', sambil menunjukkan jari manisnya. 'Ia adalah persinggahan kita di dalam perut mak kita dulu, dan persinggahan kita itu kita tahu selama 9 bulan 10 hari. Kita tak tahu, tak ingat apa yang berlaku semasa kita di dalam perut mak kita. Namun sebenarnya kita mendengar segala pertuturan emak kita dengan orang di sekelilingnya. Kita sedar perbuatan2 mak yang bertentangan dengan perintah Allah swt yang perlukan pembetulan dari kita. Tapi sebaik lahir dan melihat dahsyatnya dunia ini kita rasa seperti nak masuk semula ke dalam perut mak kita dan nak kembali semula ke alam pertama tadi. Walau bagaimana pun setiap kelahiran sudah di janjikan, kita harus menurut setiap perkara yang sudah di tentukan oleh Allah swt.'
'Jari yang tengah ini ialah persinggahan kita sekarang ini, di atas dunia ini selepas kita keluar dari perut mak kita. Jari ini berada di tengah-tengah antara semua jari dan jari ini adalah lebih panjang dari jari yang lain membuktikan persinggahan kita di sini sangat bermakna untuk kehidupan kita di persinggahan yang akan datang.'
'Jari yang ini pula,' kata lelaki tua irtu sambil menunjuk jari telunjuk. ' Selalu kita gunakan untuk tunjuk kat situ atau tunjuk kat sini. Jari ini juga kita gunakan untuk menyoal orang lain atau untuk meperingati orang lain, contoh untuk memberi amaran kepada anak kita. Begitu juga keadaan persinggahan kita yang ke empat yakni di alam kubur. Kita akan di soal tentang itu, tentang ini. Semasa persinggahan ke 4 ini mungkin akal dan roh dapat melihat semula perkara-perkara itu dan ini yang pernah kita lalui dalam setiap persinggahan yang telah kita lalui sebelumnya.'
'Jadi semasa berada di persinggahan ketiga ini', kata lelaki itu sambil menunjuk semula jari tengah. 'Kita mesti gunakan peluang yang ada, peluang untuk berbuat amal kebaikan. Manusia sering berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan akan berbahagia bila sampai di perssinghan seterusnya. Kalimah “Hayya Ala Falah” yang bermaksud marilah menuju ke arah kejayaan yang dilaungkan sejak hari kelahiran memberi satu semangat untuk kita berjaya dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Seolah hati tidak puas sehinggalah mencapai kejayaan yang tertinggi dalam hidup ini.'
'Persinggahan terakhir kita ialah di alam kekal yakni alam akhirat, jari ini.' sambil menunjukkan ibu jari. Kalau dalam persinggahan ke 3 itu bagus dan di alam kubur juga bagus maka ibujari ini akan naik ke atas. Sebaliknya jika persinggahan ke 3 itu tak bagus maka ibujari akan pergi ke bawah. Ia antara GOOD atau NO GOOD'. Kata Pakcik itu. Fulamakkk, cakap orang puteh juga Pakcik ni.
Tetiba terdengar ucapan 'Suhanallah walham dulillah wa Laillahailallah wallahu akbar. Allahumma solli ala Saidina Muhammad, wa ala alihi wasohbihi wabarik ya Karim', dari corong pembesar suara di masjid yang sudah hampir dengan kami. Suara ini menandakan sebentar saja lagi Bilal akan meemperdengarkan azan suboh.
'Dah dekat nak azan dah ni Pakcik'. kata lelaki muda kepada lelaki yang di sebelahnya sambil memandang ke arah lelaki tersebut. Tapi lelaki yang berjalan di sebelahnya sejak tadi sudah tidak ada. Dia memandang keliling namun tidak nampak. Dia yakin lelaki yang berserban putih itu sudah hilang. Siapakah dia? Hanya Allah swt yang tahu siapakah dia.
Yang pasti lelaki yang muncul itu bukannya setan. Dia pasti dari kalangan hamba-hamba Allah swt yang ta'at kepada perintah Allah swt. Kehadirannya yang cuma sekejap cukup berkesan bagi kehidupan di persinggahan yang akan datang.
Kejayaan sebenar adalah suatu kejayaan dalam setiap persinggahan, bukannya destinasi. Ini kerana di dalam setiap fasa pengembaraan dan persinggahan kita perlukan kepada kejayaan. Mungkin ada yang mengatakan apabila seseorang itu berada dia sudah mencapai hasrat yang ditujuinya. Tetapi ternyata ianya adalah salah sama sekali.
Seorang yang berjaya di dalam bidang perniagaan, belum tentu dia akan berjaya selama-lamanya. Ada ahli perniagaan yang kaya-raya, akhirnya menjadi papa kedana apabila kemelesetan ekonomi berlaku. Ada juga yang sudah berjaya di tahap yang tertinggi dalam kariernya, tetapi akhirnya jatuh terjelepuk di dalam penjara akibat salah laku rasuah yang di lakukannya.
Bahkan Firaun yang telah berjaya membina sebuah tamadun yang hebat, akhirnya tersungkur dengan kuasa Allah SWT. Malah peninggalannya seperti piramid dan spinx masih kekal sehingga kini untuk menjadi peringatan buat orang yang masih melata diatas muka bumi.
Akhir sekali marilah kita ambil ikhtibar dari setiap persinggahan kita ini bagi menjamin persinggahan di hadapan kita akan lebih baik, dan jika persinggahan terakhir juga baik sudah pasti kita akan di berikan syafa'at untuk membantu saudara-saudara kita yang kita kasehi di persinggahan ke tiga ini.
Salam Ukhuwah..~
shukran tok Wan...
BalasPadamwahhh~ bagusnya info ni..
BalasPadam