Isnin, 16 Januari 2012

Ratu Belanda


Orang Islam khususnya bertaraf VVIP di Malaysia dan dunia amnya dan seluruh umat Islam patut rasa malu kepada Ratu Belanda, Beatrix yang menutup aurat sepenuhnya dengan berjubah, bersarung tangan dan kaki dan kepalanya sehelai rambut pun tak terjelir keluar ketika melakukan lawatan di sebuah masjid di sebuah negara Teluk.

Baginda memberitahu wartawan, baginda berterampilan demikian kerana semata-mata menghormati agama Islam.

Baginda juga menyelar pemimpin di negaranya yang bersifat anti-Islam.


Berita lanjut dibawah ini...


AMSTERDAM: Ratu Belanda, Beatrix, menghentam pemimpin parti anti-Muslim negaranya, Geert Wilders, dengan menyifatkan kata-katanya sebagai ‘mengarut’ mengenai tindakan ketua diraja itu memakai tudung kepala ketika melakukan lawatan di sebuah masjid di sebuah negara Teluk.

Kenyataan beliau dianggap luar biasa kepada wartawan Belanda yang mengiringinya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman, baru-baru ini.

Beatrix memberitahu wartawan, beliau memakai tudung kepala berkenaan ketika di UAE dan sekali lagi sewaktu mengunjungi Masjid Besar Sultan Qaboos, sebagai menghormati agama Islam.

Ratu Belanda berkenaan menjawab pertanyaan wartawan berhubung soalan yang dikemukakan di Parlimen yang dikemukakan oleh Wilders, pemimpin Parti Kebebasan (PVV) yang menuduh keputusan ketua diraja itu menutup kepala ketika mengunjungi masjid di Abu Dhabi, Ahad lalu, sebagai mengesahkan penindasan wanita.

Wartawan yang mengiringi ratu Belanda itu di Muscat pada Khamis lalu melaporkan Beatrix menarik nafas panjang sambil berkata beliau tidak terkejut dengan apa yang disuarakan oleh Wilders.

Puteri Maxima juga menolak tuduhan Wilders dengan menyatakan bahawa dua pertiga pelajar di Abu Dhabi adalah wanita, lapor media Belanda.

Media Eropah menyifatkan kata-kata yang diluahkan secara terus terang oleh Beatrix itu sebagai luar biasa kerana ia jarang disuarakan terhadap parti politik Belanda sendiri.

Wilders berpendirian menentang pemakaian tudung termasuk burqa bagi wanita. Malah, kerajaan Belanda sendiri sudah mengumumkan rancangan mengharamkan burqa.

Di Belanda, orang Islam meliputi satu juta daripada 16.7 juta penduduk negara berkenaan, kebanyakannya imigran dari Turki dan Maghribi.

Sementara itu, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte pula mempertahankan tindakan Beatrix.

“Apabila beliau mengunjungi rumah ibadat, sudah semetinya beliau menghormati adab berpakaian,” kata Rutte dalam jawapan bertulis kepada soalan Wilders di Parlimen.

kredit: Agensi berita


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan