Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Rabu, 11 Januari 2012
Kisah Nabi Musa dan Isterinya
Tentu para pembaca sekalian kenal akan Nabi Musa ‘alaihi salam. Banyak kisah-kisahnya yang terdapat di dalam al-Qur’an. Sebagai orang-orang yang beriman kepada al-Qur’an, kita beriman serta mempercayai bahawa semua kisah-kisah tersebut adalah benar dan ia mengandungi mesej atau pelajaran yang bermanfaat di sebaliknya.
Perkongsian kali ini adalah satu bab dari kisah Nabi Musa as. Ia merujuk kepada ketika beliau dalam perjalanan dari Madyan ke Mesir bersama isterinya. Al-Qur’an tidak menceritakan nama isteri beliau, bererti ia bukanlah sesuatu yang penting untuk mengetahui namanya.
Di sini para pembaca sekalian perlu berwaspada dengan para penceramah dan penulis buku agama yang suka menokok tambah nama dan kisah-kisah yang tidak terdapat di dalam al-Qur’an. Ini kerana apa yang diterangkan di dalam al-Qur’an sudah mencukupi sebagai pelajaran yang bermanfaat, apa yang tidak diterangkan dalam al-Qur’an bererti ia bukanlah pelajaran yang bermanfaat.
Tatkala Musa Meninggalkan Isterinya…
Apabila dalam perjalanan dari Madyan ke Mesir, Nabi Musa ternampak api atau cahaya di sebalik Gunung Tursina. Lantas beliau berkata kepada isterinya:
"Berhentilah, sesungguhnya aku ada melihat api, semoga aku dapat membawa kepada kamu sesuatu berita dari situ atau sepuntung dari api itu supaya kamu dapat memanaskan diri". [al-Qashash 28:29]
Di sini terdapat sebuah pengajaran bahawa sekali pun Nabi Musa as adalah seorang suami dan pemimpin keluarga, beliau tidak pergi begitu saja meninggalkan isterinya untuk menyiasat api tersebut. Beliau memaklumkan kepada isterinya untuk berhenti. Beliau memaklumkan kepada isterinya sebab untuk berhenti – yakni kerana ada melihat api. Beliau memaklumkan kepada isteri tujuan dia pergi sebentar – yakni untuk mendapatkan berita atau sepuntung api untuk isterinya dapat memanaskan diri.
Demikianlah ciri-ciri seorang suami yang baik. Meski pun suami tidak perlu meminta izin daripada isteri untuk pergi ke mana-mana, merupakan satu etika suami-isteri yang baik apabila suami memaklumkan kepada isteri akan aktivitinya dan sebab di sebalik aktiviti tersebut.
Umpama: “Sayang, hari ini abang menjangka pulang lewat dari pejabat. Ada temujanji dengan pelanggan pukul enam petang. Moga pertemuan ini berjaya dan memberikan kita pendapatan tambahan.”
Atau:
“Ummi, malam nanti abang akan bermain badminton bersama jiran sebelah di kompleks sukan berdekatan. Harapnya dengan senaman yang kerap, abang sentiasa seksi dan menarik kepada ummi.”
Apabila suami mendahului dengan teladan memaklumkan aktiviti serta tujuan di sebaliknya, isteri juga akan mengikuti dengan akhlak baik meminta izin sebelum keluar rumah serta menyatakan tujuan untuk keluar. Apabila suami tidak keluar melainkan dengan tujuan yang baik, isteri juga tidak akan keluar melainkan apabila memiliki tujuan yang baik.
Umpama: “Abang, hari Ahad ini ada kuliah muslimat di masjid berdekatan. Boleh saya menghadirinya, moga-moga mendapat ilmu bermanfaat untuk dikongsi bersama.”
Apabila suami menyatakan tujuannya untuk keluar, isteri dapat memahami apa yang dilakukan oleh suami, dapat memberi sokongan dan mendoakan kejayaan. Kembali kepada contoh di atas berkenaan suami yang pulang lewat dari pejabat, isteri dapat membalas dengan: “Baiklah abang, semoga pertemuan berjalan lancar. Saya akan mendoakan kejayaan abang berurusan dengan pelanggan itu. Nanti balik rumah kita makan malam bersama ya!”
Peranan Seorang Suami.
Sejak sejarah bermula, peranan suami ialah menyediakan perlindungan kepada isteri dan anak-anak. Ini jelas tergambar dalam perkataan Nabi Musa as, apabila beliau ingin pergi melihat api di sebalik Gunung Tursina, agar beliau dapat membawa balik: Sepuntung dari api itu supaya kamu dapat memanaskan diri.
Hampir semua suami mengetahui tanggungjawab mereka ialah melindungi isteri dan anak-anaknya. Melindungi dari cuaca dengan menyediakan rumah, melindungi dari kelaparan dan dahaga dengan menyediakan makanan dan minuman, serta pelbagai lagi. Akan tetapi mengetahui tanggungjawab tidak bererti mengetahui cara melaksanakan tanggungjawab. Apatah lagi dalam suasana kehidupan yang sangat menghimpit zaman kini, kebanyakan suami merasakan diri mereka gagal apabila tidak dapat menyediakan perlindungan yang sebaiknya untuk isteri dan anak-anak.
Berhadapan dengan cabaran ini, isteri dapat membantu dengan berterima kasih kepada suami dengan apa yang dapat beliau sediakan, serta memberi motivasi untuk beliau terus mengusahakan yang terbaik. Turut bekerja tidak semestinya merupakan pilihan yang terbaik, kerana ia sebenarnya mengurangkan peluang pekerjaan kepada para suami, sama ada suami sendiri atau suami-suami kepada isteri yang lain. Akhirnya golongan para suami akan semakin gagal dalam peranan mereka untuk melindungi dan ini lambat laun akan memberi pengaruh negatif kepada keharmonian rumahtangga semua pihak.
Sikit-Sikit, Lama-Lama Jadi Bukit.
Suami memaklumkan kepada isteri, isteri meminta izin suami, masing-masing menyatakan aktiviti dan tujuan di sebaliknya serta masing-masing melazimkan diri mengucapkan terima kasih dan memberi motivasi….semuanya nampak seperti perkara remeh temeh. Di manakah nilainya apabila dibanding dengan suami yang memberikan cincin berlian kepada suami dan isteri yang memberikan jam tangan berjenama kepada suami?
Percayalah, sebenarnya perkara-perkara kecil memiliki peranan yang lebih besar dalam menjaga keharmonian rumahtangga berbanding perkara-perkara yang besar lagi mahal. Betapa banyak suami-isteri yang hidup di rumah yang besar, peralatan yang canggih dan perhiasan diri yang mewah, namun mereka tetap tidak bahagia. Berbeza dengan suami-isteri yang hidup serba sederhana, namun hari-hari mereka dipenuhi dengan komunikasi yang bermanfaat antara satu sama lain. Mereka sentiasa tersenyum kerana memiliki rumahtangga yang bahagia.
Sekali lagi, apabila Allah menceritakan sesuatu kisah di dalam al-Qur’an, tentu ia memiliki pelajaran yang bermanfaat di dalamnya. Allah tidak menceritakan perkara-perkara kecil yang dilakukan oleh Nabi Musa as bersama isterinya, melainkan ia memiliki pelajaran-pelajaran yang besar lagi bermanfaat untuk kita. Bak kata pepatah Inggeris: 'More often than not, it is the small nonmaterial things that count'.
kredit: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan