Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Khamis, 26 Januari 2012
Antara Maruah Dan Gambar Pakwe
gambar hiasan
Pakwe. Boyfriend. Teman lelaki. Marka. Balak.
Namakan apa saja. Ia tetap bukan seorang lelaki yang sah, bergelar suami. Tahap, taraf dan martabatnya seinci pun tidak sampai ke kedudukan itu. Untuk ditaati, dihormati, disayangi, dirindui, langsung tidak berkelayakan. Itu syariatullah yang harus diakui oleh semua orang.
SYARI’ATULLAH
Dikisahkan, wanita itu sifat malunya lebih tebal berbanding lelaki. Fitrah penuh hikmah yang diciptakan Allah. Islam datang mengangkat martabat mereka dengan pelbagai peraturan dalam syariat. Dan Islam terbukti sebagai sistem paling unggul dalam memuliakan wanita.
Ada perintah berhijab, merendahkan suara, menjaga pergaulan dan tutur kata. Secara tersirat, elemen-elemen itulah yang menambahkan lagi harga dan maruah seorang wanita. Mereka menjadi mulia dan mereka dimuliakan.
Tetapi apa akan terjadi, jika kesemua peraturan itu diabaikan?
Analogi yang selalu kita dengar, syariat itu umpama papan tanda di lebuh raya. Bayangkan apa akan terjadi, jika lori balak sama-sama bersaing di laluan kanan bersama motosikal dan kereta? Bayangkan pula, jika semua orang bebas memandu ke arah mana yang mereka suka, tanpa ada lampu isyarat ataupun papan tanda?
Begitu juga. Bayangkan bagaimana jika wanita yang seharusnya lebih mahal dan lebih tinggi sifat malunya, membakulsampahkan kesemua sifat tersebut di hadapan lelaki? Dan situasi ini sebenarnya telah banyak terjadi dan terus terjadi, terutama di kalangan gadis remaja kita.
Gejala mempamerkan wajah sendiri telah banyak diingatkan sebagai membahayakan maruah. Pelbagai bukti printscreen ditunjukkan bagaimana gilanya manusia yang mencuri dan membuat editing pada gambar-gambar kaum hawa. Namun kedegilan yang sama terus dipertahankan. Bahkan bertambah, dengan trend meletakkan bersama gambar teman lelaki masing-masing.
Apakah mereka fikir, itu suatu bentuk kebanggaan?
MARUAH
” Sayang papa sampai mati “
” My beloved one..forever n ever “
” Cayang kamuuu ..”
Ya. Itu antara ayat-ayat cinta ciptaan mereka. Pernah saya cuba menyelidik, adakah si lelaki turut melakukan perkara yang sama. Dan menyedihkan, kerana banyak yang saya lihat, si lelaki tidak pun meletakkan gambar teman wanita mereka bahkan seboleh-bolehnya kelihatan seperti mahu berlagak single dan belum berpunya.
Pernah juga saya lihat di facebook. Gadis muslimah tersebut, beriya-iya menukilkan madah cinta di wall teman lelakinya. Bahkan menggunakan aplikasi tulisan yang pelik-pelik penuh warna warni semata-mata untuk menyatakan ‘ saya sayang pakwe saya ‘. Di wall si lelaki, berderet ucapan yang sama, setiap hari. Tetapi aneh, si lelaki langsung tidak membalas. Si lelaki seolah ‘rimas’ dan seboleh-bolehnya mahu ‘berlepas diri’ dari kesemua perkara tersebut. Hanya post dari rakan-rakannya sahaja yang dibalas dengan ‘rela’.
Saya terfikir, si gadis seperti itu sebenarnya mengapa? Sakit jiwakah dia? Sudah hilang rasa malukah dia?
Oh, gambar profil facebook gaya arab. Pakai niqab hitam. Status-status yang ditulis, mengajak cinta kepada Allah. Ajak berburu Lailatul Qadr. Tetapi dia sanggup menghabiskan masa yang banyak ( pada hemat saya ) untuk membuat editing gambarnya dan dicantum dengan gambar si lelaki. Ditambah dengan pelbagai effect dan tulisan. Berhabis masa pula untuk membuat tulisan kelip-kelip , dedikasi untuk orang yang dia sayang. Apa sebenarnya yang dia cari?
Apa sekalipun rasa hati, mereka yang berada dalam situasi seperti ini harus segera sedar. Anda sedang menjatuhkan maruah diri anda sendiri.
MULIANYA ANDA
Jangan jadi gula-gula yang terdedah tanpa balutan plastik, kerana tiada orang akan memilih gula-gula itu berbanding yang masih tertutup dan tersimpan rapi di dalam bekas. Gula-gula yang terdedah, samalah seperti ucapan dan perbuatan yang menjatuhkan maruah. Pakaian anda, tudung atau jubah, tidak memberi sebarang makna jika anda sanggup merendahkan darjat anda ke tahap itu di alam maya.
Tidak ada sesiapa yang akan berbangga dengan status ‘ in a relationship ‘ anda di facebook, walaupun anda dan dia sudah bertunang. Kalau pertunangan itu pun disuruh rahsiakan, apatah lagi jika anda dan dia langsung tidak ada apa-apa ikatan dan sekadar bermain perasaan?
Menjadi trend, di usia remaja wajib punya pasangan. Seawal tingkatan satu, sudah punya teman istimewa dan diisytihar merata-rata. Bahkan ada juga yang memanggil budak lelaki mereka sebagai ‘hubby‘ atau suami. Kemudian, putus di tengah jalan. Lalu ditulis pula status-status penuh kesedihan.
” Saya relakan awak pergi. Mungkin kita tiada jodoh. Saya redha dengan suratan Ilahi. Kalau kita cintakan seseorang, kita pasti akan sanggup lepaskan dia untuk melihat dia bahagia..”
Gurindam putus cinta dari anak remaja yang baru tingkatan tiga.
Tidak berapa lama, gambar berganti. Dapat pula teman lelaki yang lain. Dapat boyfriend baru. Cinta berputik kembali. Gambar ditayang lagi. Hanyut kembali dalam ombak perasaan yang tidak bertepi.
Muliakah anda dalam situasi itu? Tinggikah nilaian anda dengan melakukan perkara seperti itu? Tenang dan damaikah jiwa anda dengan mainan perasaan seperti itu?
JALAN PULANG
Mungkin masih ramai menganggap, gambar teman lelaki kesayangan mereka itu sumber inspirasi. Dan kisah cinta mereka adalah pencetus motivasi. Tetapi sebenarnya, anda sedang bermain dengan harga diri. Islam mengangkat anda ke tempat yang cukup tinggi semata-mata untuk memuliakan anda sebagai wanita. Islam prihatin dengan sifat malu yang menjadi benteng maruah diri anda.
Jangan biarkan Syaitan terus-terusan menghiasi amalan anda. Hayati kembali keindahan syariat Islam. Perhalusi kembali hikmah di sebalik larangan.
Bercinta dan berhubungan dengan bukan mahram adalah satu dosa, dan mengisytiharkan dosa itu dengan bangga di khalayak ramai menambahkan satu lagi dosa. Di sebaliknya, maruah anda sebagai wanita sedang terhina.
Kembalilah pulang.
Masih belum terlambat untuk beralih memperbaiki kesilapan. Buang lah kesemua gambar teman lelaki anda kerana tidak ada apa yang hendak dibanggakan. Bangga sangatkah mempamerkan perlanggaran hukum Tuhan? Di facebook juga begitu, berhentilah dari status ‘in a relationship ‘ dengan kaum adam yang bukan mahram. Lebih parah jika sampai tahap status ‘ married to ‘ yang tergamak dipaparkan dengan lelaki yang tiada ikatan.
Saya kasihan, kerana saya yakin, dalam diri mereka ada kecintaan kepada Islam. Dan mudah-mudahan, artikel ini mampu menyuntik sedikit kesedaran. Sayangilah diri anda sebagai kaum hawa yang dimuliakan Tuhan. Moga Allah memberi kekuatan untuk melakukan perubahan.
kredit: myilham.com
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan