Khamis, 22 Disember 2011

Kerana Sahabat, Ahli Syurga Enggan Masuk Syurga


Dalam sebuah hadis menerangkan bahawa pada hari kiamat nanti Allah memerintahkan dua orang hamba hadir mengadapNya. Seorang adalah hamba yang taat kepada perintah Allah dan seorang lagi hamba yang derhaka kepada Allah. Kedua-duanya mati dalam keadaan beriman. Lalu Allah menyuruh malaikat Ridhwan membawa orang yang taat itu ke syurga dan memuliakannya dengan firman Allah, “Aku merelakan dia”.

Kemudian Allah memerintahkan kepada malaikat Zabaniyah membawa yang seorang lagi ke neraka dan Allah memerintahkannya disiksa dengan siksaan yang amat pedih. Firman Allah, “Sesungguhnya orang ini adalah peminum arak”.

Orang yang taat kepada Allah sangat gembira kerana dia telah dapat masuk ke syurga dengan rahmat Allah. Apabila orang itu hendak menjejakkan kakinya ke pintu syurga maka dia mendengar suara sahabatnya yang diheret ke neraka itu berkata, “Wahai sahabatku, wahai temanku, kasihanilah aku dan berikanlah aku pertolongan”.

Apabila orang itu mendengar rayuan sahabatnya, maka dia tidak mahu masuk ke dalam syurga. Malaikat Ridhwan berkata kepadanya, “Masuklah ke syurga dengan rahmat Allah”. Orang itu berkata, “Aku tak mahu masuk ke syurga, bawalah aku ke neraka”. Malaikat Ridhwan menjawab, “Aku tak dapat membawa kamu ke neraka sebab Allah telah memerintahkan aku membawa kamu ke syurga dan melayani kamu”.

Orang itu tetap berdegil dan berkata, “Aku tak mahu masuk ke syurga dan tak mahu juga layananmu”. Setelah itu kedengaran suara yang berkata, “Wahai Ridhwan, Aku maha mengetahui apa-apa yang ada di dalam hatinya, namun demikian tanyalah kepadanya sendiri dan kamu akan mengetahui sebabnya”. Lalu malaikat Ridhwan bertanya, “Kenapakah kamu tidak mahu masuk ke syurga dan mengapakah kamu ingin ke neraka”?

Orang itu menjawab, “Aku tak mahu ke syurga sebab orang yang derhaka kepada Allah itu telah diputuskan masuk ke neraka. Dahulunya aku dan dia bersahabat baik di dunia dan dia telah meminta pertolongan dariku supaya selamatkannya dari api neraka. Oleh kerana aku tiada kuasa untuk berbuat demikian, maka aku fikir lebih baik aku juga masuk ke neraka supaya sama-sama disiksa di dalamnya”.

Kemudian kedengaran seruan Allah yang maha memberi rahmat berfirman, “Wahai hambaKu, kamu dengan kelemahanmu tidak suka melihat sahabatmu itu masuk ke neraka kerana dia telah berkenalan denganmu di dunia hanya sebentar dan dia mengetahuimu dan menemanimu hanya beberapa hari saja. Maka bagaimanakah Aku merelakan kamu masuk ke neraka sedangkan kamu telah mengetahui Aku selama umurmu dan telah menjadikan Aku sebagai tuhanmu selama 70 tahun. Oleh itu pergilah kamu ke dalam syurga bersama sahabatmu itu dan Aku telah mengampuninya dan Aku serahkan dia kepada kamu”.

kredit: khalifahalhidayah


Salam Ukhuwah..~

1 ulasan: