Rabu, 2 November 2011

Rebutlah 10 Hari Pertama Zulhijjah


Gambar sekedar hiasan...Musim haji yang panas sudah tidak lagi panas oleh kerana banyaknya pokok yang ditanam dan ada semburan air bercampur angin.

Pada bulan Zulhijjah, terdapat padanya satu ibadah yang sangat besar pahalanya di sisi ALLAH Azza wa Jalla, iaitu ibadah mengerjakan haji bagi sesiapa yang mampu. Ia melengkapkan rukun ISLAM pada diri seseorang Muslim.

Disebut di dalam hadith bahawa ganjaran yang menanti bagi jemaah haji yang memperolehi haji yang mabrur ialah Syurga. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Satu umrah sampai umrah berikutnya adalah kafarat (penebus) dosa-dosa yang terjadi di antara kedua umrah itu. Dan haji yang mabrur tiada balasannya kecuali Syurga” (HR al-Bukhari & Muslim)

Bagi ummat ISLAM yang tidak mempunyai kesempatan untuk mengerjakan ibadah haji, ALLAH ` Azza wa Jalla tetap menyediakan keistimewaan yang besar untuk direbut pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah.


Apakah amalan-amalan itu?

1. Memperbanyakkan amalan kebaikan dan ibadah sunnat sepanjang 10 hari pertama pada bulan Zulhijjah.

Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhu bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih di kasihi ALLAH selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan Zulhijjah).”

Para sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah?”

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: “Walaupun berjihad di jalan ALLAH, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu(syahid).” (HR al-Bukhari)

2. Puasa pada hari `Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah

Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah ditanya tentang puasa hari `Arafah, kemudian Baginda menjawab:

“Puasa itu dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.” (HR Muslim)

3. Solat `Eidul-Adha

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan dua hari istimewa kalian itu dengan dua hari yang lebih istimewa daripadanya, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha” - Hadith riwayat Abu Daud: 1134, al-Albani mensahihkannya di dalam as-Silsilah as-Sahihah: 2021.

“Sesungguhnya sebaik-baik hari di sisi ALLAH adalah Hari Raya Aidiladha.” - Hadith riwayat Abu Daud: 1765, al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih Abu Daud.

4. Menyembelih haiwan korban selepas Solat `Eidul-Adha.

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang sangat disukai ALLAH ialah menyembelih korban. Sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya. Sesungguhnya ALLAH akan menerima penyembelihan korban itu sebelum darahnya tumpah ke bumi. Maka, kamu hendaklah ikhlaskan diri semasa melakukan korban itu.” - Ibn Majah: 3117 dan at-Tirmizi: 1412

Begitulah di antara beberapa amalan yang wajar menjadi rebutan buat kita ummat ISLAM dalam menambah bekalan menuju Hari Akhirat.

Semoga dengan adanya peringatan ini menjadikan kita di kalangan insan yang beruntung dalam mengambil faedah 10 hari-hari terawal bulan Zulhijjah.

kredit: al-bahani


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan