Isnin, 7 November 2011

Kaffarah Menzihar Isteri


Gambar cuma hiasan sahaja.

SAYA ada sedikit kekeliruan tentang hukum Zihar. Situasi saya begini:

Saya sedang berbual-bual dengan isteri mengenai satu gambar lama yang saya simpan. Dalam gambar itu ada tiga orang sedang tidur terlangkup iaitu isteri saya, anak lelaki saya dan adik perempuan saya.

Lalu saya berkata secara spontan kepada isteri, "Sudah tengok gambar tu? Ada tiga punggung, besar! Sama je tiga-tiga." Kami pun tertawa kerana menganggap ia lucu. Selepas itu saya tersentak kerana secara tidak sengaja telah berkata demikian.


Soalan-soalan saya:

1. Adakah jatuh zihar terhadap isteri walaupun saya tidak sengaja kerana ia adalah anggota yang boleh menimbulkan syahwat.

2. Adakah saya perlu berpuasa dua bulan berturut-turut? Bagaimana jika di pertengahan puasa tersebut terdapat hari yang diharamkan berpuasa seperti hari raya haji?

3. Atau bolehkan saya terus membayar kaffarah memberi makan kepada 60 fakir miskin dengan membayar nilai wang yang sama di pusat zakat?


Jawapan:

Terlebih dahulu elok kita memahami apakah zihar. Mengapa ia diharamkan dan apa syarat-syarat berlakunya zihar, rukun serta bentuk ungkapan zihar. Dalam ruang yang cukup terhad ini saya akan cuba menjelaskan sekadar yang termampu.

Dalam al-Quran, surah Mujadalah atau dinamakan juga dengan Mujadilah membicarakan secara khusus mengenai persoalan zihar.

Di zaman jahiliah zihar adalah jalan untuk menceraikan isteri. Kerana pada zaman jahiliah apabila seorang suami tidak mahu kepada si isterinya, maka jalan untuk menyelesaikannya adalah dengan menzihar isterinya dengan ibunya.

Hal ini maklum di zaman jahiliah. Zihar pada budaya arab adalah menyamakan isteri dengan punggung emak lelaki tersebut dengan tujuan menghinanya dan merendah-rendahkannya dan juga mengimplikasikan zihar. Tetapi gurauan dan sendaan yang tidak keterlaluan dan tidak mempunyai niat tersebut tidak membawa kepada zihar.

Rupanya ada di antara kaum muslimin yang masih terpengaruh dengan adat dan kebiasaan masyarakat jahiliah. Lagipun pada ketika Khaulah binti Tha'labah diziharkan oleh suaminya Aus bin Samit belum ada hukum daripada syariah mengenai zihar.

Sebab itulah apabila dizihar oleh suaminya, Khaulah segera bertemu Rasulullah SAW untuk mendapatkan penjelasan. Kebanyakan kitab tafsir menukilkan riwayat dari Aisyah yang bermaksud: "Maha Suci Tuhan Yang Maha luas pendengarannya akan segala sesuatu, sesungguhnya aku telah mendengar pengaduan Khaulah binti Tha'labah, aku hanya dapat dengar sebahagiannya sahaja dari pengaduan Khaulah mengenai suaminya kepada Rasulullah saw. Khaulah berkata: "Wahai Rasulullah telah ku habiskan usia mudaku untuknya (Aus bin Samit), perutku telah mengandungkan zuriatnya, namun apabila aku telah menjangkau usia tua diziharnya aku. Sesungguhnya aku mengadu kepadamu wahai Rasulullah. Tidak lama kemudian, mengikut beberapa riwayat turun ayat mengenai hukum zihar sebelum subuh keesokan harinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. Orang-orang yang "ziharkan" isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. Dan orang-orang yang 'ziharkan' isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan rasul-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi adat jahiliah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (al-Mujadalah: 1-4)


Definisi zihar

Zihar berasal daripada perkataan zahr, yang bererti belakang. Apabila seorang suami mengatakan bahawa isterinya seperti belakang ibunya, maka berlakulah zihar. Dalam konteks zihar, dua aspek utama yang menjadi perhatian.

Pertama, perkataan belakang hanya sebagai kiasan sahaja, sedangkan secara hakikatnya ia merangkumi semua anggota tubuh badan kecuali mata kerana ia bukan zihar yang jelas.

Oleh itu, jika diniatkan sebagai suatu penghormatan maka tidak menjadi zihar. Sebaliknya jika diniatkan talak maka jadi zihar. Kedua, wanita yang menjadi perbandingan ialah wanita yang haram dikahwini oleh suami.

Jika kita telitikan apa yang dimaksudkan oleh zihar mengikut Imam Syafie: "Lafaz suami menyamakan mana-mana anggota zahir isteri dengan mana-mana anggota wanita yang haram ke atasnya sampai bila-bila (haram muabbad) bagi suami.

"Lafaz zihar mestilah jelas mengandungi perkataan yang menyamakan mana-mana anggota zahir isteri dengan mana-mana anggota wanita haram muabbad (kekal haram dikahwini)."


Kaffarah zihar

Selepas si suami menziharkan isterinya dan mahu kembali bersamanya maka hendaklah melangsaikan kaffarah yang dinyatakan dalam al-Quran seperti berikut.

Kaffarah zihar ialah membebaskan hamba, jika tidak mampu hendaklah memberi makan atau pakaian kepada 60 fakir miskin.

Jika itu masih lagi tidak mampu maka hendaklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Suami yang melakukan zihar mesti membayar kaffarah sebelum melakukan perhubungan kelamin dengan isterinya. Perbuatan zihar mungkin berlaku jika suami jahil tentang hukum-hakam.

Berdasarkan kepada lafaz saudara apabila melihat gambar isteri, anak dan adik perempuan bahawa ketiga-tiga punggung adalah sama, maka zihar itu berlaku. Sebabnya, lafaz yang saudara ungkapkan jelas.

Keduanya, menyamakan salah satu anggota tubuh orang yang haram dikahwini untuk selama-lamanya iaitu adik perempuan.

Sekiranya saudara ingin kembali bersama isteri maka saudara dituntut melangsaikan salah satu jenis kaffarah yang termampu.

Dalam memilih kaffarah zihar saya pulangkan kepada saudara, buat yang mana terdaya dan termampu. Sesungguhnya Allah SWT tidak membebankan hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukan olehnya.

Sekiranya memilih untuk berpuasa dua bulan berturut-turut maka hari raya tidak memungkinkan saudara berbuka, kerana suruhan berpuasa dua bulan berturut-turut adalah perintah dari al-Quran. Manakala tegahan berpuasa adalah daripada hadis dan hadis Rasulullah adalah bagi keadaan biasa, bukan untuk diaplikasi kepada orang yang menjalani hukuman zihar.

Yang demikian itu juga adalah pandangan al-Marhum Sheikh al-Azhar, Sayyid Muhammad Tantawi.

Namun, ada juga pandangan ulama yang terpilih bahawa dalam tempoh puasa dua bulan berturut-turut sekiranya berlaku hari raya, hari tasyrik, maka tidak berpuasa pada hari-hari tersebut tidak memutuskan puasa dua bulan berturut-turut.

Begitu juga sekiranya ketika sedang berpuasa ditimpa sakit, maka dibenarkan tidak berpuasa sehingga sembuh, setelah sembuh puasa itu disambung kembali.

Jika saudara memilih untuk memberi makan kepada 60 miskin juga pilihan yang terbaik, kerana memberi orang miskin makan ada dua kelebihan. Yang pertama, mengeluarkan sebahagian harta ke jalan Allah SWT.

Keduanya, memberi fakir miskin makan. Saya kurang pasti sama ada terdapat khidmat kaffarah di kaunter-kaunter zakat, mungkin saudara boleh bertanya. Kalau tidak silap saya fikir ada khidmat bayar kaffarah zihar dan ada perkiraannya.

kredit: KedahLaNie


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan