Rabu, 31 Ogos 2011

Pengembaraan ke Dalam Surah


“Sekiranya Kami turunkan Al Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau akan melihat gunung itu khusyuk serta terpecah-belah kerana takut kepada Allah. Dan misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.” (Surah al-Hasyr: 21)

Allah minta kita berfikir tentang perbandingan ini. Berapa ramai orang yang mengajak kita untuk berfikir tentang ayat-ayat al Quran? Sudah berapa ramai pula orang yang kita ajak untuk berfikrir tentang ayat-ayat al-Quran?



Satu renungan yang bermanafaat untuk kita semua.


Apa yang boleh kita fikirkan? Antaranya ialah keteguhan Nabi Muhammad saw menerima wahyu. Alangkah hebatnya Penghulu kita itu! Apa yang tidak mampu ditanggung oleh gunung–ganang berjaya ditanggung oleh baginda sepanjang lebih-kurang 23 tahun, padahal tubuh badannya kecil berbanding gunung. Tetapi pernahkah kita menyahut seruan Allah untuk berfikir dan mengambil pengajaran daripada perbandingan di atas?


Kita menghayati ayat dan perbandingan ini sebagai mengenang susah payah Penghulu Kita Nabi Muhammad saw menerima wahyu untuk disebarkan kepada kita. Semoga kita dapat berkongsi serba-sedikit apa yang baginda lalui dan seterusnya meningkatkan rasa kasih sayang kita kepadanya. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.




Dari Aisyah Ummul Mukminin katanya;

Wahyu yang mula-mula turun kepada Rasulullah saw ialah berupa mimpi baik sewaktu dia tidur. Biasanya mimpi itu ternampak jelas olehnya seperti jelasnya cuaca pagi. Sejak itu hatinya tertarik untuk mengasingkan diri ke Gua Hira’. Di sana beliau beribadat beberapa malam, tidak pulang ke rumah isterinya.
(Bukhari)



Dalam perjalanan baginda untuk menerima wahyu-wahyu terawal, sudah nampak pengorbanan baginda. Baginda mengasingkan diri ke tempat sunyi, beruzlah (bab uzlah akan diperkatakan di bawah nanti), berkhalwat, jauh daripada keseronokan dunia dan orang ramai. Bolehkah kita mengorbankan sedikit daripada keseronokan dunia kita untuk menggerakkan agama Allah? Bolehkah kita mengorbankan banyak keseronokan dunia untuk menggerakkan agama Allah?



Sabda Rasulullah saw:


“Kadang-kadang wahyu datang kepadaku seperti bunyi loceng. Itulah yang sangat berat bagiku. Setelah bunyi itu berhenti, lalu aku mengerti apa yang dikatakannya. Kadang-kadang malaikat menjelma seperti seorang lelaki datang kepadaku. Dia berbicara kepadaku dan aku mengerti apa yang dikatakannya.”

(Bukhari)



Kata Aisyah:


“Aku pernah melihat sewaktu wahyu turun kepadanya pada suatu hari yang sangat dingin. Selepas wahyu itu berhenti turun, kelihatan dahinya bersimbah peluh.”

(Bukhari)



Sabda baginda saw:


“Pada suatu ketika sedang aku berjalan-jalan tiba-tiba kedengaran olehku satu suara dari langit. Maka kuangkat pandanganku ke arah datangnya suara itu. Kelihatan olehku malaikat yang pernah datang kepadaku di gua Hira’ dulu. Dia berada di kursi antara langit dan bumi. Aku terperanjat kerananya dan terus pulang. Aku berkata kepada Khadijah: “Selimutkan aku.”

(Bukhari)



Rupa-rupanya bukanlah senang bagi seseorang bertaraf Nabi malahan Rasul untuk menerima wahyu. Ada kalanya ia memberatkan minda dan melemahkan anggota tubuh. Apa yang dikesalkan, sikap sebahagian umat yang mengaku Islam hari ini mengabaikan al-Quran dengan mudah-mudah sahaja sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Ini bermakna mereka tidak menghargai susah-payah Rasulullah saw.



Berkaitan uzlah, banyak juga manusia yang mengetahuinya tetapi kurang yang mempraktikkannya. Terdapat tiga jenis uzlah:



1. UZLAH JASMANI - seperti mengasingkan diri ke tempat-tempat yang jauh daripada hiruk-pikuk manusia namun fikiran atau hatinya masih bersama hal-hal yang tidak bersangkutan dengan hal ehwal uzlah. Badan jauh tetapi hatinya masih dekat dengan keduniaan. Uzlah jenis ini hampir-hampir tiada berkesan.



2. UZLAH JASMANI DAN ROHANI- seperti mengasingkan diri ke tempat-tempat yang terhindar daripada hiruk-pikuk manusia dan hatinya khusyuk dengan hal ehwal uzlah tersebut. Uzlah jenis ini memang berkesan.




3. UZLAH ROHANI- dia berada di tengah-tengah manusia dan keduniaan tetapi hatinya tidak terpengaruh dengan semua itu bahkan keadaannya tak ubah seperti hati orang yang sedang menjalani uzlah jenis kedua tadi. Inilah uzlah tertinggi, sangat sukar untuk menguasainya.






“BerTuhankan Allah, Bersyariatkan Syariat Muhammad saw”




Bacaan surah al-Hasyr ayat 19-24. Pembacanya merasai kehebatan Allah SWT sehingga menangis.




"Dan dari orang-orang yang telah Kami beri petunjuk dan telah Kami pilih, apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka tersungkur sujud dan MENANGIS." (Maryam: 58)




"Tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah; ...(salah satunya ialah) seseorang yang berzikir (ingat) kepada Allah secara kesendirian lalu mengalirlah air matanya." (Bukhari, Muslim )




"Barangsiapa yang mengingati Allah lalu dia menangis sehingga air matanya mengalir jatuh ke bumi nescaya dia tidak akan diazab pada hari Kiamat kelak." (Al-Hakim)




"Semua mata (manusia & jin) pada hari Kiamat akan menangis kecuali mata yang terjaga daripada hal-hal yang diharamkan Allah, mata yang digunakan untuk berjaga pada jalan Allah, mata yang menangis karana takut kepada Allah walaupun (air mata yang keluar itu) hanya sekecil kepala seekor lalat" Asbahani)




"Diharamkan neraka membakar tiga golongan manusia disebabkan matanya (mereka), mata yang menangis karana takut kepada Allah, mata yang digunakan untuk berjaga pada jalan Allah, mata yang terpelihara daripaa hal-hal yang diharamkan Allah." (Tabrani)




kredit: Abu Zulfiqar





Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan