Selasa, 9 Ogos 2011

Mengumpat Secara Berjemaah_Sekadar Mendapat Lapar Dahaga Sahaja


Aktiviti mengumpat secara berjemaah harus dihentikan:


Ramadhan. Suatu bulan yang mempunyai kelebihan yang cukup banyak. Gandaan pahala amalan yang tidak diperolehi di bulan-bulan biasa. Banyak bonus yang Allah sediakan dalam bulan Ramadhan, termasuklah suatu malam yang dinamakan sebagai Lailatul Qadr ; malam yang digambarkan oleh Allah di dalam Al-Quran sebagai lebih baik daripada seribu bulan.

Sabda Nabi s.a.w di dalam sebuah hadith yang masyhur:

” Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu “

Sudah tentu apabila kita berpuasa, dengan menahan lapar dan dahaga di siang hari, apa yang paling kita harapkan adalah ganjaran pahala daripada Allah. Kita mahukan keredhaan Allah di atas pengabdian kita kepadaNya.

Orang yang benar-benar beriman dan sedar akan hikmah besar di sebalik berpuasa, tidak akan hanya sekadar menahan dirinya daripada makan dan minum ataupun perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Sebaliknya mereka akan bersungguh-sungguh menjaga pahala ataupun ‘nilai’ puasa tersebut daripada berkurang ataupun terhapus.

Ini kerana mereka sedar, bahawa sahnya puasa tidak semestinya bermakna pahala penuh sudah diperolehi. Apalah gunanya berpuasa jika sekadar mahu melaksanakan rukun Islam semata-mata. Bahasa mudahnya, buat ala kadar dan sekadar ambil syarat. Janji puasa itu sah.

Samalah juga dengan solat. Seorang yang solat dengan penuh kesedaran bahawa itu adalah tanggungjawabnya sebagai hamba, dilaksanakan pula dengan penuh khusyuk dan penghayatan, sudah tentu tidak akan sama dengan orang yang bersolat dengan tergesa-gesa, tidak khusyuk dan mahu lekas habis. Dalam solat macam-macam yang difikir. Apa yang penting, dia sudah pun menunaikan solat. Soal ‘nilai’ di sebalik ibadah solat sudah tidak difikirkan. Maka sebenarnya, apalah ertinya bersolat jika langsung tidak ada kualiti ibadah?



MENJAGA KUALITI IBADAH

Islam bukan hanya menggariskan supaya menunaikan ibadah wajib umpama solat dan puasa, bahkan juga turut menyediakan panduan tertentu bagi memastikan kualiti ibadah tersebut terjaga dan kekal pada tahap yang sepatutnya. Ini kerana ibadah tersebut akan dibawa menghadap Allah oleh para Malaikat. Apakah Allah akan memperkenankan ibadah yang tidak berkualiti daripada kita dan kita pula tidak segan mengharap ganjaran yang besar daripada Allah?

Maka Islam bukan hanya mengajar kepada kita tentang yang wajib sahaja, sebaliknya turut diajar tentang perkara sunat dan makruh. Ini bagi memastikan ibadah yang kita lakukan itu benar-benar menepati standard yang dikehendaki.

Dalam kita berpuasa, kita bukan hanya ditegah daripada makan dan minum sahaja, bahkan turut ditegah daripada melakukan perkara-perkara yang makruh dan haram. Umpamanya mengumpat, mencela, mengadu domba, mencaci maki, mendengar nyanyian yang melalaikan dan sebagainya.

Ini disebut di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w :

” Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan beramal dengannya, maka Allah tidak memerlukan orang tersebut untuk meninggalkan makan dan minumnya ” [ Bukhari & Muslim ]

Bermaksud, jika seseorang itu berpuasa dengan hanya menahan diri dari makan dan minum, tetapi masih mengumpat, berbohong, mengeji dan lain-lain, maka puasanya itu ibarat suatu yang sia-sia. Ini kerana Allah sama sekali tidak menerima amalan bersalut mazmumah seperti itu.

Sabda Nabi s.a.w di dalam sebuah hadith yang lain :

” Betapa ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak memperolehi apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga “

Justeru puasa bukan hanya soal memastikan sah atau tidak di sisi syarak sahaja, sebaliknya juga memastikan ibadah puasa itu benar-benar berkualiti ataupun tidak sebelum dipersembahkan kepada Allah.



MEDAN MELATIH DIRI

Madrasah Ramadhan tidak hadir hanya untuk melatih kita merasa penat kerana tidak makan dan tidak minum, tetapi ia hadir sebagai medan tarbiyah diri yang cukup hebat untuk kita menyingkirkan tabiat-tabiat buruk yang ada dalam diri kita. Ini termasuklah kebiasaan mengumpat dan mengata orang. Lidah yang sudah terbiasa dengan menyebut keburukan-keburukan orang dan menjaja cerita ke hulu dan ke hilir harus dikekang sedaya upaya dari tabiat tersebut. Gantikan kebiasaan tersebut dengan membiasakan lidah membaca Al-Quran dan berzikir.

Hari ini, masyarakat kita tidak merasa bahawa meninggalkan maksiat lisan itu sebagai suatu perkara yang wajib dan melakukannya pula suatu yang mengaibkan, lebih-lebih lagi di bulan puasa. Ini kerana mereka tidak merasakan bahawa meninggalkan maksiat lisan itu juga sebahagian daripada tuntutan puasa.

Berbeza dengan seorang yang curi-curi makan ketika bulan puasa. Ketika tertangkap dia akan merasa amat malu kepada semua orang. Namun orang yang mengumpat, mengeji dan mengata di sana sini meskipun di bulan puasa tidak pula merasa sedemikian.

kredit: Abd_Rahim



Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan