Isnin, 6 Jun 2011

Terjemah Al Quran Kepada Tingkah-laku



UMAT Islam perlu mendekati al-Quran bagi mempertajamkan minda dan memperkuatkan peribadi iaitu dengan cara memperbanyakkan membacanya, mendengarnya, memahami isi kandungannya serta menjadikannya sebagai sumber hukum.

Al-Quran adalah sumber rujukan terbaik dalam kehidupan. Dalam kekalutan manusia hidup tanpa panduan, al-Quran datang dan mengajar manusia bagaimana hendak mengurus kehidupan.

Segala-galanya terdapat di dalam al-Quran. Ada secara terperinci dan ada secara umum, yang diperjelaskan hadis. Al-Quran kitab suci yang tetap akan terpelihara daripada sebarang gangguan dan campur tangan manusia.

Ini ditegaskan Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang akan menjaganya.” (Surah al-Hijr ayat 9).

Kandungan al-Quran yang sama seperti dulu sepatutnya dihayati generasi kini agar jenis manusia serupa dilahirkan, iaitu manusia generasi al-Quran.

Inilah kejayaan utama Rasulullah iaitu menterjemahkan al-Quran daripada ayat yang dibaca kepada perbuatan dan tingkah laku. Lahirlah generasi al-Quran yang bergerak dan berada di mana-mana.

Allah menurunkan Al-Quran kepada Nabi Muhammad dan memeliharanya dengan baik. Sejak diturunkan tidak ada satu perkataan atau ayat yang berubah dan ia kekal terpelihara sehingga ke hari kiamat.

Setiap ayat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad akan disampaikan kepada sahabatnya. Ramai di kalangan sahabat yang terus menghafalnya.

Selain itu, baginda menyuruh menulis setiap ayat di atas pelepah kurma, batu atau tulang.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman barulah al-Quran dikumpul dan ditulis semula dalam bentuk buku yang dinamakan mushaf yang kita pusakai sehingga ke hari ini.

Oleh itu al-Quran selayaknya mendapat layanan istimewa iaitu berupa penghayatan berkenaan melakukan suruhannya serta menjauhi larangannya.

Membaca al-Quran bukan hanya untuk panduan hukum agama saja, malah menjadikannya sebagai buku panduan hidup. Seperkara yang perlu diketahui ialah penemuan baru yang selari dengan penyataan al-Quran malah ia telah lama dinyatakan di dalam al-Quran.

Kalau kita boleh berbangga dengan penemuan sains semestinya kita perlu lebih takjub dengan kecanggihan al-Quran yang mendahului zaman.

Al-Quran menyatakan pengembangan alam yang berkaitan dengan bidang sains.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan langit kami bangunkan dengan kekuasaan kami sesungguhnya kami benar-benar meluaskannya.”

Ayat berkenaan menceritakan mengenai pengembangan alam, di mana Allah sebut ribuan tahun dahulu.

Teori Big Bang contohnya sudah lama disentuh di dalam al-Quran.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Apakah orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya bercantum satu kemudian Kami pisahkan (letupkan) antara kedua-duanya”. (Surah al-Anbia’ ayat 30).

Cuba bayangkan hakikat yang ditemui pada abad 20 ini sudah dijelaskan oleh al-Quran sejak 1400 tahun dulu. Segala penemuan ini selari dengan penyataan ayat al-Quran.

Tidak hairanlah sekiranya orang Islam mendahului bangsa lain dari sudut ketamadunan. Ini kerana al-Quran berada di hati mereka untuk memakmurkan alam ini.

Hasil kehebatan al-Quran itulah terbentuknya tamadun di Sepanyol, Turki, Iraq, India, Afrika manakala Barat mempelajari daripada Islam seterusnya mengembangkannya mengikut acuan mereka.

kredit: Ustaz Mohd.Zawawi Yusoh



Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan