Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Rabu, 1 Jun 2011
Lambat Dapat Zuriat (Jangan Sibuk2 Rumah-tangga Orang)
SETIAP pasangan yang mendirikan rumah tangga mengharapkan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri hidup dan bukti kasih sayang. Paling penting sebagai penyambung zuriat.
Namun tidak semua yang dirancang akan dimakbulkan Allah SWT kerana setiap orang pasti akan diuji dengan pelbagai dugaan. Tidak terkecuali pasangan yang baru menempuh gerbang perkahwinan. Ada pasangan yang cepat dikurniakan zuriat dan ada juga yang bertahun-tahun menunggu tetapi belum diberi rezeki.
Itu semua kerja Tuhan, bukan kerja kita sebagai manusia. Yang penting kita harus terus berusaha dan berdoa. Jangan berputus asa dan kecewa kerana setiap orang ada rezeki yang telah ditentukan oleh Allah Yang Maha Esa.
Begitu mukadimah kisah yang ingin saya paparkan buat renungan pembaca minggu ini. Kisah ini dikirim oleh seorang wanita yang baru setahun bergelar isteri. Mahu dikenali sebagai Maria (bukan nama sebenar), beliau yang berumur 25 tahun melahirkan rasa geram dan marah dengan seorang rakannya yang suka sibuk dengan urusan hidupnya. Si kawan ini, kata Maria selalu membawa cerita tentang dia mandul dan tidak dapat melahirkan anak kerana telah lebih setahun berkahwin tetapi belum nampak tanda-tanda yang dia akan hamil.
Kita ikuti cerita Maria seterusnya:
"Saya baru setahun lebih mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki yang empat tahun lebih tua daripada saya atas dasar suka sama suka. Memang saya berhajat untuk mendapatkan anak secepat mungkin. Sayangnya masih belum ada rezeki.
"Di pejabat saya ada seorang rakan yang suka sibuk menjaga tepi kain orang. Dia yang saya namakan Kak Jee (bukan nama sebenar) memang kami panggil tukang karut sebab suka jaja cerita orang.
"Kalau dia dapat tahu ada kalangan kakitangan yang menghadapi masalah rumah tangga, maka dia akan buat sidang media. Kalau cerita itu ada 10 para, dia akan panjangkan jadi 20 para, begitu seterusnya.
"Seluruh pejabat tahu tentang perangai Kak Jee tetapi tidak siapa berani menegur kerana menghormati usianya yang lebih tua daripada kami. Ertinya kami menghormati dia sebagai senior di pejabat.
"Saya tidak marah dia menjaja cerita orang lain, itu dia punya hal sebab dosa dia yang tanggung. Yang saya marah dan tidak sedap hati sebab dia mula menjaja cerita saya tidak mengandung dan mandul.
"Mana dia dapat cerita saya mandul pun saya tidak tahu, pada hal saya baru setahun berkahwin.
"Paling saya sakit hati apabila dia memegang perut saya tanpa segan silu berkata, bila nak buncit ini?
"Bukankah itu biadab namanya? Sakitnya hati saya! Selama ini, saya menghormati dia sebagai kakak tetapi perbuatannya yang saya anggap biadab itu seperti mencabar kesabaran saya. Dia telah mengaibkan saya di khalayak, di hadapan teman-teman sekerja pula itu.
"Bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu. Malu sehinggakan tidak tahu mana hendak letak muka. Kalau ikutkan hati memang saya hendak tampar muka dia, tapi bila fikirkan dia orang tua saya pendamkan perasaan itu.
"Saya ingin nasihatkan bakal pengantin, ibu-ibu, mentua mahupun makcik-makcik di luar sana, supaya jangan jadikan isu tidak ada anak sebagai masalah besar dalam rumah tangga anak menantu mereka.
"Ini semua bukan urusan manusia, semua kerja Tuhan. Tolong faham perasaan dan hati seorang perempuan yang masih menunggu rezeki Allah. Maksud saya anak.
"Nasihat saya juga kepada semua bakal pengantin supaya bersedia dengan soalan-soalan seperti ini kerana memang akan ada golongan kepoh yang akan bertanyakan soalan ini. Mereka ini bukan tahu menjaga air muka orang, terutama di hadapan orang.
"Kadang-kadang saya kasihan dengan mereka ini, sedih apabila mengenangkan mereka tidak mungkin berubah kerana mulut mereka yang celupar dan suka mengguris perasaan orang. Orang yang bersikap begini bagi saya ada penyakit.
"Sebagai manusia saya juga percaya setiap orang ada hati dan perasaan mereka sendiri. Sebenarnya, bukan soalan yang diajukan menyakitkan hati tetapi bagaimana soalan itu dikemukakan juga satu masalah.
"Apa yang saya pelik, adakah kita ikhlas apabila bertanyakan soalan sensitif seperti itu kepada kawan-kawan, sedangkan mereka menganggapnya sebagai terlalu peribadi.
"Adakah kita ingin menguji mereka? Jika benar kenapa dengan cara yang menyakitkan hati? Saya amat sedih dengan sikap Kak Jee sehingga menyebabkan saya mula renggang dengan dia.
"Saya benar-benar tersinggung dan malu pada rakan lain. Pada hal saya dan suami telah disahkan tidak menghadapi masalah mendapatkan anak. Apabila mengenangkan sikapnya itu saya selalu menangis, sehinggakan suami memujuk dengan berkata, jangan ambil berat akan kata-kata Kak Jee, mungkin dia hanya bergurau.
"Bagi saya bergurau ada batasnya, kalau sampai mengaibkan orang itu bukan lagi bergurau, tetapi biadab!
"Setiap orang berbeza fikiran, terutama wanita. Ada yang suka diperlakukan apa sahaja, ada yang sensitif dan saya termasuk dalam golongan kedua. Saya mahu hak saya dihormati.
"Kepada Kak Jee jika terbaca catatan ini, pesanan saya, tolong hormati rumah tangga orang. Tidak semua orang suka dengan perlakuan anda, belajar menghormati hak orang lain, baru orang akan menghormati hak anda pula.
"Saya berharap, pada semua wanita yang mungkin berada di situasi seperti saya supaya cekalkan hati dengan dugaan orang seperti Kak Jee.
Bagi saya, kalau 10 pertanyaan ditukar kepada 10 doa, alangkah bahagianya!
kredit: Rakan Yahoogroup
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan