Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Rabu, 13 April 2011
Teori Ibnu Khaldun - Hubungan Agama Dalam Politik
Nama Ibnu Khaldun kurang diketahui berbanding dengan Imam Al-Ghazali atau Imam al-Shafie. Dua nama ini sudah begitu lumrah di dunia Melayu. Al-Ghazali diketahui kehebatannya dalam agama seperti yang tertera dalam kitabnya 'Ihya Ulumuddin'. Apabila disebut hal agama dan pendidikan, nama al-Ghazali sering dirujuk.
Sementara Imam al-Shafie pula terkenal dalam mazhab fiqh. Masyarakat Islam Nusantara cukup arif dengan al-Shafie kerana mazhab Shafie menjadi pegangan mereka dalam persoalan fiqh. Kedua-dua ulama ini sering dirujuk atau dibaca kitab mereka di masjid-masjid, di surau-surau dan di sekolah-sekolah. Tetapi nama Ibnu Khaldun (1332 - 1406M), pemikir Islam Tunisia ini, jarang-jarang dapat diikuti. Kalau ada pun hanya dibaca dan dirujuk di institusi-institusi pengajian tinggi atau menengah. Itu pun apabila pelajar mengkaji topik seperti tamadun pada abad Pertengahan Islam. Memang banyak tokoh lain dalam pelbagai bidang ilmu pada abad ini. Tetapi topik-topik berkenaan tamadun dan kemasyarakatan Islam pada abad itu, hanya Ibnu Khaldun sahaja yang sering dibahaskan.
Berbeza di Barat, nama Ibnu Khaldun diketahui dan diiktiraf hebat. Misalnya, James K. Feibleman dalam bukunya 'Understanding Civilization: The Shape of History" (1975) telah menyenaraikan ramai tokoh dalam bidang tamadun ini. Tetapi tokoh dari Timur Tengah hanya Ibnu Khaldun sahaja yang diketengahkan dalam bukunya. Selain Feibleman, ramai lagi sarjana Barat yang turut kagum dengan Ibnu Khaldun. Franz Rosenthal umpamanya telah menterjemah 'Al-Muqaddimah' dalam tiga jilid. Terjemahan itu kemudiannya dibaca secara meluas di pusat-pusat pengajian tinggi. Kebesaran seseorang ahli fikir dapat dilihat daripada kepakaran dan keluasan ilmunya. Maka bagi Ibnu Khaldun karya 'Al-Muqaddimah' itu telah berjaya membuktikan bahawa beliau jelas seorang tokoh terbilang dalam dunia ilmu pengetahuan.
Menurut Abdul Malik al-Sayed, Ibnu Khaldun telah membincangkan persoalan organisasi sosial primitif, sifat kepimpinan, perhubungan masyarakat manusia primitif sesama manusia, dan hubungan mereka dengan pelbagai bentuk masyarakat yang lebih tinggi. Selepas itu Ibnu Khaldun beralih kepada kehidupan kota sebagai satu bentuk persatuan dan peradaban manusia yang ideal. Akhirnya beliau menumpukan perhatian kepada bidang peradaban yang lebih tinggi seperti perdagangan, seni kemahiran dan sains.
Semua hal di atas disempurnakan dalam enam bab utama iaitu:
1. Pembangunan umat manusia secara umum.
2. Pembangunan masyarakat primitif dan bangsa-bangsa biadab.
3. Negara, khalifah, kerajaan dan struktur kekuasaan.
4. Pembangunan masyarakat bandar, negeri dan kota-kota.
5. Perindustrian, kehidupan, pendapat dan punca pendapatan.
6. Ilmu pengetahuan, cara-cara mendapat ilmu dan pengajaran ilmu pengetahuan.
Dalam analisis Ibnu Khaldun, beliau menyebut bahawa agama sangat penting untuk negara dan kemajuan masyarakat. Fungsi agama sangat efektif terutamanya menyentuh soal kesatuan umat. Dan untuk memantapkan negara, agama juga perlu di samping elemen lain. Ibnu Khaldun memerhatikan sendiri perkembangan atau kemunduran satu-satu kaum pada zamannya dan dibincangkan dalam karya-karyanya.
Semangat keagamaan dapat menghapuskan sifat persaingan dan iri hati yang dirasakan oleh satu golongan dengan golongan lain serta membawa mereka ke arah kebenaran. Apabila perhatian mereka telah diarahkan kepada kebenaran, maka tidak ada suatu yang dapat menghalangnya, kerana pendapat dan hasrat mereka sama dan rela menghadapi cabaran. Sebaliknya, rakyat dan negara boleh ditakluki jika mereka tidak bersatu demi agama dan bersedia untuk melarikan diri apabila diserang. Golongan seperti ini memang senang untuk diserang. Manakala golongan mewah pula suka menindas golongan susah dalam negara sendiri.
Ibnu Khaldun menganggap agama sebagai salah satu daripada faktor-faktor kestabilan dan keamanan dalam kehidupan masyarakat dan individu. Agama membantu mereka untuk mengharungi ranjau-ranjau dan bekerja untuk mengilap pandangan umum. Seterusnya agama turut membantu proses pendidikan akhlak sehingga menyebabkan setiap jiwa menjadi lembut dan hilang daripadanya sifat hasad dengki dan berpecah belah antara individu.
Agama menghasilkan kekuatan dan ketahanan. Hal ini sangat diyakini oleh Ibnu Khaldun. Kerana agama itu akan menghilangkan pertumbuhan hasad dengki yang terdapat pada diri mereka yang tebal dengan semangat kesukuan. Agama juga akan membimbing penganutnya ke arah kebenaran.
Selanjutnya dalam analisis teorinya, Ibnu Khaldun mengemukakan hubungan antara kuasa politik dengan Assabiyah dan pertolongan Tuhan. Kuasa ini boleh didapati dengan perantaraan dominasi. Dan dominasi itu pula boleh dicapai dengan adanya perpaduan yang disebut 'Assabiyah' bersama-sama dengan kesatuan arah tuju serta kesatuan tekad. Semua perkara ini hanya dapat dicapai dengan pertolongan Allah s.w.t.
Ibnu Khaldun berpegang teguh pada firman Allah yang bermaksud: "Walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang ada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati-hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati-hati mereka." (Surah al-Anfal : 63)
Sebaliknya apabila agama dan semangat agama sudah mulai lemah, maka agama tidak dapat dipertahankan lagi sebagai landasan atau asas bernegara. Agama juga tidak lagi berfungsi dalam mengatur urusan negara. Maka akibatnya negara menjadi lemah. Dalam keadaan ini pengaruh dan dominasi akan ditentukan oleh orang-orang yang memiliki perpaduan yang lebih kukuh dan lebih besar. Oleh yang demikian, agama perlu diperkukuhkan dalam politik dan pentadbiran negara. Lemah agama lemahlah satu daripada asas kekuatan negara.
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan