Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Khamis, 14 April 2011
Hidup Adalah Ujian Membuat Pilihan
“Saya hanya menjalankan apa yang telah Allah tetapkan ke atas saya” kata seorang anak muda.
“Kamu kata Allah yang tetapkan kamu buat dosa itu?” saya bertanya.
Beliau memandang saya. Seperti tidak mampu untuk berkata dengan yakin. Namun masih ‘berani’.
“Ya!” jawab beliau perlahan.
Saya menjegil mata.
“Adoi!” beliau kesakitan.
Pedih dengan cubitan tebal saya di lengannya. Tidak bertanya ‘mengapa’ kerana jelas sekali apa yang bakal saya kata.
“Saya hanya menjalankan ketetapan Allah bahawa saya mencubit kamu!” saya mengulas.
“Cubitlah lagi!” katanya bernada gurau.
“Kali ini saya memilih untuk tidak mencubit. Saya bebas memilih sama ada hendak mencubit atau tidak mencubit” saya membalas.
“Tetapi bukankah di dalam Islam, kita belajar bahawa semua perbuatan kita berada di dalam ilmu Allah?” beliau kebingungan.
“Mungkin inilah akibatnya, tatkala kita terperangkap dalam kekakuan terjemahan. Hingga menimbulkan salah faham yang serius” saya mengulas.
Salah faham tentang Qadha’ dan Qadar, banyak membelenggu kehidupan kita hari ini. Tatkala bertanya akan hal ini kepada tuan guru, katanya Qadha’ dan Qadar itu seperti matahari. Makin direnung dengan mata, makin kabur pandangan dibuatnya. Membiarkan soal Qadha’ dan Qadar ini tidak berjawab ke tahap yang boleh dipegang sebagai suatu keyakinan, adalah musibah yang besar kepada kehidupan seorang Muslim.
Salah satu rukun imannya rapuh. Menunggu rebah.
Kita sering keliru di antara ketetapan Allah ke atas sebab musabbab, dengan ketetapan Allah ke atas perbuatan kita yang merupakan sebuah pilihan.
Renungkan sabda Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
Daripada Abu al-’Abbas, Abdullah ibn Abbas radhiyallahu anhuma beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya). [Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi nombor 2516. Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan Sahih]
Apa yang telah ditetapkan oleh Allah itu adalah apa yang dikenali sebagai Sunnatullah.
Ia bermaksud, segala peraturan sebab musabbab yang menjadi sendi kehidupan di alam ini. Buat ini jadi ini, buat itu jadi itu. Perbuatan dan kesan perbuatan, peraturannya semua telah ditentukan oleh Allah. Itulah yang dikatakan sebagai ILMU ALLAH. Ilmu yang Maha Luas.
ILMU ALLAH ini, yakni Sunnatullah, telah disempurnakan manualnya. Demikianlah ia diungkapkan di dalam Hadith itu sebagai “Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya)“.
Ini juga merupakan maksud firman Allah:
“Maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi Sunnatullah dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan Sunnatullah itu”
[Fathir 35:43]
“Tapi mengapa ada orang makan namun masih tidak kenyang? Atau makan ubat tetapi tidak sembuh?” tanya anak muda itu.
“Ilmu manusia sedikit. Kalau makan ubat, betul dos, maka ilmunya kata dia sepatutnya sembuh. Tetapi ada atau tidak variables lain yang melintasi sebab musabbab makan ubat itu tadi? Misalnya, dia memang makan ubat, tetapi mungkin tahap serapan ubat di dalam perut beliau tidak sama dengan orang lain. Atau dia ada makan sesuatu yang kesannya ‘menawarkan’ kesan ubat yang dimakan. Atau pun dia ada sakit lain yang kontra kepada rawatannya kepada sakit yang satu itu. Ada banyak ‘atau’ di situ yang mungkin tidak mampu dihitung manusia, tetapi SEMUANYA sudah tetap di dalam ILMU ALLAH” saya mengulas panjang.
“Sebab itulah kan, walau sehebat mana sekali pun kita sudah menghitung kebarangkalian, mengenal pasti risiko dan merancang sebaik mungkin, kita masih kena sebut Insya Allah?” tanya beliau meminta kepastian.
“Benar. Sebab ilmu Allah itu luas. Kita hanya nampak seribu cause and effect dan cuba untuk menguasainya. Sedangkan seribu itu hanya secebis daripada lautan cause and effect di dalam ilmu Allah yang telah ditetapkan-Nya. Apa-apa sahaja boleh berlaku. Pilihan kita mungkin terganggu oleh pilihan orang lain yang tiada di dalam ilmu kita. Tetapi macam mana sekali pun bentuk akibat pertembungan pilihan kita dengan pilihan orang lain itu, ia masih dalam kerangka cause and effectyang telah ditetapkan Allah sebagai hukum alam” saya menyambung cerita.
BELAJAR TENTANG SUNNATULLAH
“Macam mana kita nak belajar tentang Sunnatullah itu?” soal beliau.
“Sunnatullah ini ada yang alam dengan alam. Ada yang alam dengan manusia. Ada yang manusia dengan manusia. Ada yang seorang manusia dengan dirinya sendiri. Jadi sebahagian daripada Sunnatullah ini kita belajar di dalam biologi, fizik, kimia, geografi, matematik, malah juga sejarah, psikologi, komunikasi dan sebagainya” saya cuba menjawab dan menjelaskan fikiran saya sendiri, yang turut dikongsi bersama rakan ini.
“Habis tu, kalau semua Sunnatullah itu kita belajar dalam Sains serta cabang-cabangnya, ilmu agama pula untuk apa?” tanya anak muda itu lagi.
“Maksud anta, Syariatullah?” saya meminta kepastian.
“Ya. Syariatullah. Yang ustaz selalu sebut dalam ceramah itu” tegas beliau.
BELAJAR TENTANG SYARIATULLAH
“Kita dituntut belajar tentang Sunnatullah supaya kita faham bagaimana Allah mensistemkan alam dan kehidupan ini. Dari situlah kita dituntut supaya hidup dengan mematuhi sistem Allah ke atas alam dan kehidupan ini. Itulah ujian kehidupan. Kita diuji, sama ada nak susun hidup ikut peraturan kehidupan yang Allah telah tetapkan atau tidak. Dan oleh kerana cause and effect atau Sunnatullah yang Allah tetapkan itu Maha Luas hingga banyak yang tidak sampai di akal manusia, apakah akibatnya jika memilih satu-satu pilihan dalam hidup ini, maka di situlah peranan Syariatullah. Peraturan yang disebut sebagai peraturan agama, diberikan oleh Allah sebagai pembimbing kepada manusia untuk membuat pilihan yang betul” saya menyambung.
“Agama menampung kejahilan manusia tentang akibat pilihan yang salah?” tanya beliau.
“Benar. Ada sesetengah perintah, kita tahu kesan baik buruknya. Disebut sebagai hikmah kepada perbuatan, jika di dalam bahasa ilmu agama. Tetapi banyak juga benda yang kita belum jelas akibatnya. Misalnya bab makan babi. Lebih mudah dan kuat jika kita patuh kepada perintah Allah yang melarang babi itu tanpa pening nak fikir kenapa. Tetapi dengan kajian-kajian manusia, semakin banyaklah nampak keburukan memakan babi tersebut. Sama juga dengan riba. Awal-awal mungkin tak nampak mudarat riba, dek lemahnya ilmu manusia yang hanya nampak apa yang mampu dicapai oleh pancaindera. Tetapi sebagai orang yang patuh Syariat Allah, kita menolak riba sebelum dapat dilihat mudarat riba sebab kita yakin, apabila melalui wahyu Allah mengharamkan sesuatu, pasti ia haram kerana akibatnya adalah buruk dan mudarat ke atas manusia. Dan dengan kajian demi kajian, semakin jelas mengapa riba itu haram” saya menambah.
Beliau termenung.
MAKSIAT PILIHAN SIAPA?
“Jadi, maksiat yang anta buat tu, anta buat ke atau Allah buat? Adakah Allah yang gerakkan tangan anta untuk buat maksiat atau anta yang memilih untuk menggerakkan tangan anta ke arah maksiat?” saya berpatah balik ke persoalan asal.
“Ia pilihan saya. Saya yang bersalah!” katanya lemah.
“Maknanya Allah tak tahu ke apa yang saya bakal pilih?” soal beliau. Terbeliak matanya.
“Soalnya bukan Allah tahu atau tidak tahu sebab pilihan anta belum wujud. Anta belum mewujudkannya dengan pilihan anta sendiri. Tetapi apa sahaja yang bakal anta pilih, ia tidak dapat lari daripada cause and effect yang telah Allah tetapkan. Itu maksudnya apa sahaja pilihan anta, ia tetap di dalam ilmu Allah. Namun apabila anta memilih A, bukanlah Allah yang memilih bagi pihak anta. Anta yang pilih. Anta yang mencipta pilihan itu di dalam lingkungan ilmu Allah, yakni cause and effect yang telah Allah tetapkan. Akibat perbuatan itu mungkin tiada di dalam ilmu anta, tetapi ia sudah ada di dalam variables Qadha’ dan Qadar Allah pada cause and effect yang saya sebutkan tadi” saya cuba melangsaikan perbualan.
“Maknanya, salah sayalah atas semua pilihan yang saya sendiri buat?” tanya beliau, meminta kepastian lagi.
“Ya. Dan itulah hakikat kehidupan ini. Kita diuji dengan pilihan. Syariatullah diberi sebagai panduan untuk memilih pilihan yang betul di dalam lautan Sunnatullah yang telah Allah install di dalam kehidupan ini” saya menutup perbualan.
“Terima kasih ustaz!” balas anak muda tersebut.
“Kepada Allah juga segala puji dan puja” saya bersalam.
Hidup adalah ujian membuat pilihan.
Hidup berpandukan Syariatullah.
Hidup berpandukan Sunnatullah.
Nota: Kisah di atas diolah dan disusun semula hasil perbualan dengan seorang anak muda semasa mengendalikan sebuah program mahasiswa di luar negara
kredit: ABU SAIF
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan