Selasa, 1 Mac 2011

Kematian pak cik sedarkan Nur Darwisyah


SUNGGUHPUN pengetahuannya tentang Islam kosong namun satu perkara mengenai agama itu yang diminatinya ialah azan.

Acap kali bila berkumandang suara lunak bilal melaungkan azan, Yap Foong Ming terpegun meskipun beliau tidak mengetahui maksudnya.

Akui wanita kelahiran Kepong, Kuala Lumpur ini lagi, minatnya kepada azan bukan dibuat-buat tetapi ia lahir secara semula jadi dalam diri.

Foong Ming yang kini menggunakan nama Islam Nur Darwisyah Yap Abdullah, 27, berkata, kecenderungannya menghayati laungan azab bermula semenjak di bangku sekolah rendah. Malah pada waktu itu, ia sekadar suka-suka.

“Saya mengenali Islam kembali apabila mula bekerja pada tahun 1998. Selepas tamat pengajian di sebuah kolej swasta, saya diterima berkhidmat sebagai kerani di sebuah syarikat akauntan milik seorang usahawan yang beragama Islam.

“Boleh dikatakan majoriti kakitangan di pejabat itu beragama Islam. Jadi bermula dari situlah saya mengenali lebih rapat masyarakat Melayu yang beragama Islam. Lama-kelamaan pengetahuan tentang Islam bercambah dan tidak lagi di takuk kosong,” cerita Nur Darwisyah ketika ditemui di ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kata anak sulung daripada dua adik-beradik ini lagi, beliau masih ingat peristiwa sewaktu menerima gaji pertama. Oleh kerana hatinya mendesak agar mencari jawapan kepada kewujudan minat itu, Nur Darwisyah sanggup membelanjakan sebahagian hasil pendapatannya untuk membeli buku-buku agama.

“Semua ini saya lakukan kerana faktor minat dan tertarik dengan ajaran agama Islam. Sehingga satu peringkat, saya sanggup mengenakan baju kurung serta membeli tudung dengan hasrat ingin merasainya.

“Yang pastinya apabila saya cuba sarungkan baju kurang ke badan, saya rasa amat selesa dan kena dengan naluri saya. Apa lagi ia menerima pujian daripada kawan-kawan. Tambah seronok apabila memakainya.

“Alhamdulillah teman-teman di tempat kerja banyak membantu menjelaskan banyak perkara tentang Islam kepada saya. Secara tidak langsung, ia membantu proses pemahaman dan pembelajaran saya selain sokongan daripada buku-buku, kaset dan cakera padat berkaitan agama,” kata Nur Darwisyah yang turut mengambil inisiatif belajar berpuasa wajib dan puasa enam biarpun puasanya sekadar menahan lapar dan dahaga seharian.

*Menyelamatkan rahsia

Tambahnya, pada tahun itu juga beliau mengambil keputusan berhenti memakan daging yang dilarang buat umat Islam iaitu daging babi. Memandangkan pada tahun itu Malaysia dikejutkan dengan wabak Japanese Encephalitis (JE), jadi beliau menggunakan alasan tersebut untuk berhenti daripada memakan daging itu. Keadaan ini juga menyelamatkan rahsia Nur Darwisyah berjinak-jinak dengan agama Islam daripada pengetahuan keluarga.

Tujuh tahun kemudian iaitu pada 10 Mei 2005 barulah beliau mengambil keputusan memeluk agama Islam di ibu pejabat Perkim, Jalan Ipoh. Kata Nur Darwisyah, sebaik sahaja melafazkan kalimah syahadah, ketenangan yang dirasai cukup melegakan.

Ditanyakan mengapa beliau mengambil masa yang agak lama untuk meneruskan pengislaman sedangkan pengetahuan tentang Islam telah kukuh, Nur Darwisyah mengakui tentang hal. Katanya, nur Ilahi tetap singgah di hatinya.

“Kematian salah seorang pak cik saya merupakan titik tolak kepada syahadah saya. Pak cik saya ialah seorang yang baik dan banyak melakukan kebaikan tetapi sayang dia tidak dapat hidayah.

“Dari situ, saya mula terfikir betapa ruginya saya kerana saya tahu tentang kebenaran dan kecantikan Islam tetapi saya tidak cuba menjadikan ia sebagai pegangan akidah dan menjadikannya sebati dalam kehidupan. Lantas tanpa berfikir panjang saya tidak sanggup tunggu lebih lama, takut-takut tidak sempat mati dalam Islam,” katanya yang nekad meskipun ketika itu beliau langsung tidak tahu tentang sembahyang, bacaan surah dan banyak lagi.

Akhirnya Nur Darwisyah secara sendirian memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga kerana beliau tahu keputusannya itu bakal menggamatkan suasana di rumah. Lantaran itu, beliau melakukan pengislaman secara sembunyi-sembunyi.

Katanya, apa yang tidak disangka berlaku iaitu keluarga menerima keputusannya tanpa ada sebarang perbalahan ketara. Malah mereka menghormati keputusan Nur Darwisyah sebaik sahaja diberitahu berita gempar itu selepas sebulan majlis pengislaman.

“Setelah itu, langkah pertama yang saya ambil adalah untuk tinggal berasingan kerana saya tidak mahu menyusahkan mak cik saya. Jadi saya tinggal serumah dengan seorang yang juga mualaf bernama Nuraini Khadijah Tan Abdullah. Bermula sebagai teman serumah akhirnya persahabatan kami semakin akrab sehingga ke hari ini.

“Tinggal dengan Nuraini, banyak yang saya pelajari tentang agama Islam. Malah kami selalu pergi ke kelas-kelas agama anjuran Perkim bersama-sama. Tetapi apabila masing-masing sudah berumah tangga, kami masih bertemu, lebih-lebih lagi pada majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan anjuran Perkim,” kata Nur Darwisyah sambil memperkenalkan penulis kepada Nuraini.

Sebenarnya sebelum ini, penulis pernah menemu ramah Nuraini untuk ruangan ini pada tahun lalu.

*Tidak kekok

Melihat Nur Darwisyah kemas bertudung, penulis sempat menanyakan pengalamannya memakai tudung. Akuinya, bertudung tidaklah terlalu kekok kerana semasa bekerja di syarikat pertama dahulu, beliau sudah belajar memakai tudung daripada teman-teman muslimah. Malah sehari sebelum memeluk Islam beliau sudah memakai tudung.

Nur Darwisyah yang hadir bersama suami pada pertemuan kami petang itu sempat berkongsi kisah pendek perkenalannya dengan suami, Muzho’far Dain, 25 tahun.

“Kami berkenalan semasa sama-sama bergelar teman sekerja. Pada awalnya ia sekadar berkawan biasa tetapi lama-kelamaan hubungan menjadi serius dan masing-masing bersetuju untuk bertunang dan bernikah,” kata Nur Darwisyah yang melangsungkan majlis pernikahan mereka pada 9 Jun lalu. Majlis tersebut yang diadakan sekali dengan beberapa pasangan pengantin saudara baru lain diuruskan pihak Perkim.

Berkongsi cabaran selepas bergelar muslim, kata Nur Darwisyah, pada awal-awal pengislaman beliau banyak mengasingkan diri kerana rasa rendah diri. “Alhamdulillah, Nuraini banyak membantu yang membuatkan saya berani tampil dan menjawab pelbagai persoalan terutama di kalangan teman-teman sekerja di tempat baru,” katanya.

Ilmu pengetahuan yang diperoleh sewaktu mengikuti kelas-kelas agama Perkim rupa-rupanya bukan untuk diri sendiri tetapi satu peluang untuknya berdakwah.

“Dengan pekerjaan baru saya sekarang, saya mempunyai ramai kenalan dan pelanggan terdiri daripada orang bukan Islam. Mereka terkejut apabila mengetahui yang saya dahulunya seagama mereka. Lantas timbul pelbagai persoalan yang dikemukakan kepada saya. Hendak tak hendak terpaksalah saya memperkasakan diri dengan ilmu agama.

“Saya juga berminat dengan dunia pendakwahan, apatah lagi tiada halangan daripada suami. Malah beliau banyak turut serta dengan program-program penganjuran Perkim,” kata Nur Darwisyah yang berhasrat mengikuti kursus perkaderan saudara baru.


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan