Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Rabu, 16 Mac 2011
Anugerah Cinta Terindah
Night club itu masih meriah sepeti biasa. Seperti dulu-dulu. Sejak dari pembukaan sampai hari ini masih sama kondisinya. Tiada perubahan. Pengunjung pun masih ramai yang datang.
Rata-rata mereka yang mengunjungi serambi neraka ini adalah orang-orang yang hebat. Hebat-hebat belaka. Lidah fasih melafazkan dua kalimah agung. Bertuhankan Tuhan Ibrahim dan Muhammad saw. Berkitabkan Al-Quranul Karim. Bermazhabkan Shafie. Tapi lagaknya seperti iblis laknatullah adalah sembahan mereka. Bila ditanya adakah betul tindakan mereka itu, mereka menjawab, “Demi mencapai kemajuan, kita harus menjadi manusia yang versatil. Lihat tamadun barat, mereka tahu semua benda. Mereka bijak. Mereka pintar. Mereka harus dijadikan role model. Kita harus menyanjungi mereka. Hidup barat! Hidup barat!” Aaaaahhhhh! Persetankan barat. Ikut barat bererti terjun dari titian sirat. Ikut barat umpama mengupah tukang rumah membina kediaman di tapak Al-Jahanam. Ikut barat sama seperti menempah tiket ke Sakar.
Ya Allah, janganlah Engkau hukum mereka ketika mereka lalai dan lupa. Jangan sesekali Ya Allah. Namun, apabila mereka telah melampaui batas, haramkan kaki mereka dari menginjak tanah Ad-din. Haramkan hidung mereka dari mencium wangi Jannatul Makwa!
Disudut kiri night club itu, kelihatan seorang lelaki duduk berseorang di kerusi bar sambil menekup muka. Rambutnya kusut. Sekusut fikirannya kini.
“Kamu telah bunuh Nadia. Kamu bunuh anak aunty. Kamu pembunuh!”.
“Kak Nadia dah tak ada. Kenapa abang tak selamatkan kakak? Kenapa?”
Suara-suara itu menghantui fikirannya lagi. Dan bayangan seorang wanita bermain di kotak mindanya. Darah berlumuran di kepala. Dia masih ingat, yang dia mengangkat perempuan itu ke dalam ambulans. Dia juga turut serta menaiki ambulans itu. Dia masih ingat segala-galanya. Setahun yang lalu. Hari Sabtu…
“Hamim, thanks for the present. I love it my dear”. Nadia senyum selepas menghabiskan
kata-katanya.
Hamim pun turut senyum. Hatinya cair melihat senyuman manis tunangnya. Baginya tiada perkara yang lebih indah melainkan senyuman Nadia. Kasih sayangnya hanya tertumpah kepada gadis kacukan Melayu-Arab itu. Nadia adalah jiwanya dan jiwanya adalah Nadia. Kereta yang dipandu diberhentikan di bahu jalan.
“Sayang, I nak beli drinks. You nak air apa?”.
“Belikan I mango juice ya”.
Hamim senyum. Dia terus melangkah masuk ke dalam supermarket yang dibuka 24 jam itu. Dia ambil sebotol jus manga untuk Nadia dan sebotol jus oren untuk dirinya.
Booooommmmmm!
Satu dentuman yang maha kuat kedengaran di luar sebaik sahaja jurujual itu menghulurkan wang baki. Hamim terkejut. Sama seperti jurujual itu. Dia cepat-cepat melangkah keluar. Dia sudah rasa tidak sedap hati apabila ramai orang berkumpul di satu tempat. Dan plastik berisi minuman yang dipegangnya jatuh dengan serta merta apabila melihat kereta Honda Civicnya sudah remuk bersama sebuah kereta yang lain. Dia terus meluru kearah keretanya.
“Telefon ambulans. Cepat!”, suara seorang lelaki kedengaran dari kelompok orang ramai itu.
Hamim terus mengangkat Nadia keluar dari kereta yang telah remuk bahagian belakangnya itu. Kepala tunangnya berlumuran darah. Beberapa orang pemuda turut kelihatan membantu mangsa yang lain. Hamim memangku kepala Nadia. Seluarnya dibasahi darah yang mengalir dari kepala Nadia. Hamim sebak. Air matanya mula bercucuran. Ambulans sampai. Dua buah. Dia mengangkat Nadia masuk ke dalam salah satu ambulans itu.
“Bro, lu nampak macam ada problem je”.
Hamim terkejut seraya memandang ke belakang apabila bahunya ditepuk dari belakang. Lamunannya terhenti. Seorang lelaki yang berkumis tebal senyum lebar kearahnya. Dia langsung tidak mengenali lelaki tersebut.
“Lu try barang ni. Gua bagi free. Telan dua biji terus ok”, tambah lelaki itu sebelum dia berlalu pergi meninggalkan Hamim keseorangan.
Dua biji pil warna biru muda di atas meja bar itu ditatapnya. Hamim ambil sebiji pil itu. Ditenungnya dekat-dekat dan dia telan kedua-dua pil itu satu persatu disulami dengan tegukan coke yang dipesannya tadi. Hamim mula rasa lain macam. Dia jatuh terjelopok di atas sofa biru berhampiran dengan meja bar. Kepalanya terasa amat berat. Namun itu hanya seketika. Kini dia rasa sangat tenang. Sangat aman. Dia bagaikan ada di sebuah taman bunga. Sangat indah pemandangan. Dan dia lihat seekor rama-rama terbang dan hinggap di pergelangan tangannya. Dia rasa seronok apabila seekor lagi rama hinggap di kepalanya. Dia bagaikan berada di syurga. Tiba-tiba dua ekor rama-rama tadi terbang.
Dia kejar rama-rama itu seboleh-bolehnya. Tidak lama selepas itu, dia nampak rama-rama tadi hinggap di atas kepala seorang wanita. Hamim senyum. Dia kenal sangat dengan wanita itu. Dibelai rambut wanita itu sehingga rama-rama yang hinggap terbang entah kemana. Hamim senyum lagi. Wanita tadi perlahan-lahan memalingkan mukanya kearah Hamim. Tapi apa yang mengejutkan adalah muka wanita itu berlumuran dengan darah! Hamim ingin lari tapi kakinya seakan-akan lumpuh. Wanita itu ingin menerkamnya. Hamim pejam mata rapat-rapat. Tiba-tiba imej wanita tadi bertukar menjadi Aunty Zara, ibu Nadia.
“Kamu pembunuh! Kamu pembunuh! Nadia mati sebab kamu”, Aunty Zara jerit kuat-kuat kepadanya.
Hamim cuba untuk bersuara namun lidahnya bagaikan disimen. Kelu. Kemudian imej Aunty Zara perlahan-lahan bertukar menjadi imej Najja, adik Nadia. Najja menangis. Mukanya merah.
“Abang Hamim sanggup buat macam ni kat Najja. Kak Nadia satu-satunya kakak Najja. Kenapa abang tak selamatkan kakak? Kenapa? Najja tak pernah sakitkan hati abang. Kenapa abang sanggup lukakan hati Najja? Kenapa?”
“Woi, nak tidur balik rumah la!”, satu suara parau menusuk gegendang telinganya.
Hamim tersentak. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Dia lihat seorang lelaki Melayu di hadapannya. Muda lagi. Sebelah kirinya terdapat seorang wanita Cina berpakaian blaus dan skirt sendat warna merah tersenyum kepadanya.
“Tunggu apa lagi! Blah la! Orang lain pun nak duduk”, marah lelaki tersebut.
Hamim terus angkat kaki. Kepalanya masih terasa berat. Namun dihiraukannya.Dia mengeluarkan kunci kereta dari poket seluar belah kiri. Masuk sahaja ke dalam kereta, dia terus menghidupkan enjin dan berlalu pergi meninggalkan night club yang masih penuh dengan manusia-manusia yang sedang berpesta sakan.
Panahan sang suria menyilaukan matanya. Hamim bingkas bangun dari pembaringan. Dilihatnya jam di dinding tepat pukul sembilan pagi. Dia menggeliat kemudian terus mencapai tuala. Habis sahaja mandi, dia bersiap-siap untuk sarapan. Biasanya dia akan bersarapan di luar. Begitulah rutin hariannya sebagai anak tunggal yang telah kehilangan segala-galanya. Ibu bapanya telah meninggal dalam satu kemalangan tragis sejak dia berumur 10 tahun lagi. Sejak dari itu, dia tinggal dengan datuknya. Dan nama Hamim juga diilhamkan oleh datuknya. Kata datuk, namanya diambil dari ayat pertama Suratul Fussyilat. Surah kegemaran datuk. Hamim selalu dengar datuk baca surah ini. Hamim sangat rapat dengan datuk sehinggakan semua aset datuk yang bernilai lebih dari sejuta diletakkan di atas namanya. Datuk sangat sayang pada Hamim. Ketika datuk sedang menghadapi sakaratul maut, nama Hamim yang disebut selalu. Tapi apakan daya, ketika itu Hamim berada di kampus Ipwich, Universiti Queensland. Hanya doa ! yang dapat disedekahkan Hamim ketika itu. Pertemuan dengan Nadia di kampus itu juga menjadi penawar dukanya. Tapi cinta sucinya hancur lebur apabila Nadia turut dijemput Izrail untuk bertemu dengan Allah.
“Semuanya sembilan ringgit lima belas sen”, ucap gadis cashier itu sambil tersenyum manis.
“Terima kasih”, ucap gadis itu lagi selepas menerima wang bayaran.
“Sama-sama”, balas Hamim, lemah.
Hamim mengangkat dulang plastik berisi burger, french fries dan jus oren. Dibawanya ke meja paling hujung. Habis burger, dijamahnya pula french fries. Sedang dia asyik menikmati sarapan, matanya
tertancap pada satu figura yang sangat dikenali. Nadia! Nadia berdiri di hadapan pintu utama restoran makanan segera itu. Hamim terlopong. Matanya tidak berkelip. Dia bingkas bangun. Nadia lari. Hamim terus mengejar Nadia semahu-mahunya. Namun Nadia hilang dari pandangan. Hamim sedikit hampa. Matanya melilau mencari kelibat tunangnya. Tiba-tiba dia lihat Nadia sedang melintas jalan untuk ke seberang sana. Dia pun ikut sama. Ketika jasad lelaki itu berada di tengah-tengah jalan, sebuah kereta meluru ke arahnya! Hamim tergamam. Hon berbunyi kuat.
“Alhamdulillah, kamu sudah sedar”, satu suara yang tidak dikenali menerjah telinganya.
Hamim buka mata perlahan-lahan. Dilihatnya seorang lelaki separuh abad tersenyum kearahnya. Mata Hamim melilau ke kiri dan ke kanan.
“Saya dimana”, tanya Hamim, sedikit cemas.
“Tenang aja. Kamu berada di rumahku. Siang tadi pak hampir-hampir menabrak kamu. Mujur kamu pengsan aja. Syukur”, jawab lelaki itu. Dialek Indonesia jelas kedengaran
“Er, saya dekat Indonesia ke sekarang?”
“Waduh,waduh! Kamu ini ada-ada aja. Kamu berada dirumahku. Di Taman Tun Ismail. Pak memang asalnya orang Indonesia, tapi menetap di sini. Nama pak Haji Hilmi. Haji Hilmi bin Mehmet Farabi. Panggil aja Pak Haji”.
Hamim angguk. Otaknya ligat berfikir tentang perkara yang telah berlaku tadi. Dia ingat kembali. Ketika itu dia sedang mengejar seseorang. Dan ketika dia sedang mengejar, sebuah kereta hampir-hampir melanggarnya. Dia pengsan saat itu juga. Namun dia masih tidak dapat mengagak siapakah yang dikejarnya.
“Jemput minum ya”, seorang wanita, lingkungan 40-an membawa dulang berisi teh panas serta kuih karipap.
“Ya, ya. Terima kasih”, ucap Hamim, sedikit terkejut.
Haji Hilmi tersenyum melihat gelagatnya.
“Itu isteri pak, Hajjah Fatmawati”, jelas Haji Hilmi.
Hamim mengangguk. Haji Hilmi masih tersenyum.
“Oh ya! Apa nama kamu?”
“Hamim”, jawabnya ringkas.
“Siang tadi kamu umpama sedang mengejar sesuatu. Apa yang dikejarnya?”, Haji Hilmi merancakkan bicara.
Hamim tersentak. Dia teringat tentang bayangan Nadia yang dikejarnya. Hamim menjelaskan segala-galanya kepada Haji Hilmi. Bermula dengan kematian kedua ibu bapanya, kematian datuknya, pertemuan dengan Nadia serta kemalangan yang menimpa Nadia. Hajjah Fatmawati yang baru duduk di sisi suaminya sebentar tadi turut mendengar dengan khusyuk. Air matanya hampir-hampir mengalir. Sudah pasti wanita berketurunan Cina itu tersentuh mendengar kisah Hamim yang penuh duka. Hamim turut menceritakan tekanan yang dihadapinya kini. Tekanan dari Aunty Zara serta tekanan dari Najja. Dia ceritakan segala-galanya. Dia sedikit pun tidak berselindung. Baginya, Haji Hilmi adalah manusia yang paling sesuai untuk berkongsi masalah dengannya. Dia tidak punyai darah daging yang lain. Dia tidak punyai teman yang sangat rapat untuk berkongsi segala masalah. Walaupun dia ada Zam, Fatin, Fahmi, Aina serta Naqib, tapi dia tidak rasa teman-teman sekerjanya itu dapat membantunya. Entah mengapa apabila bertem! u dengan Haji Hilmi, hatinya terbuka untuk meluahkan segala-galanya.
“Kamu harus sabar. Itu semua dugaan dari Ilahi. Kamu mesti tabah menghadapinya. Allah tidak suka akan orang yang berputus asa dan sentiasa keluh-kesah. Ingat, Allah telah berfirman dalam Suratul Al-Ma’arij ayat 19 hingga 22,
Sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat keluh kesah dan kikir sifatnya. Apabila ditimpa kesusahan ia gelisah. Dan apabila ia mendapat kebaikan, ia kikir selalu. Kecuali mereka yang mengerjakan salat.
Oleh itu, seharusnya kamu menjaga salat. Salat adalah tiang agama dan pendinding dari godaan syaitan”, nasihat Haji Hilmi.
“Pak Haji, selepas kejadian yang menimpa tunang saya, saya sudah tak kenal sejadah”, Hamim berterus terang. Air mata keinsafan mula belinangan di kelopak matanya.“Astargfirullahalajim! Sampai begitu sekali”, Haji Hilmi mengeleng-gelengkan kepalanya.
“Tidak mengapa Hamim. Mulai saat ini, kamu mulakan hidup baru. Lupakan segala duka. Kembalilah pada jalan yang mustaqim. Pak yakin, Allah akan sentiasa bersama kamu” tambah Haji Hilmi lagi.
“Ya, Pak Haji. Terima kasih”, jawab Hamim lantas menyeka air mata.
“Ya udah. Jemput minum. Sudah sejuk teh itu”, Haji Hilmi menghulurkan secawan teh kepada Hamim.
Hamim ambil. Diteguknya sedikit demi sedikit. Haji Hilmi mula menceritakan sedikit sebanyak tentang dirinya kepada Hamim. Dia merupakan lulusan dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Begitu juga dengan Hajjah Fatmawati. Mereka bernikah di sana.Haji Hilmi berketurunan Turki manakala Hajjah Fatmawati berdarah Cina-Bugis. Rumah tangga mereka dikurniai dua puteri. Yang sulung namanya Nur Aisya dan yang bongsunya bernama Nur Anisa. Aisya adalah lulusan Universiti Cairo manakala Anisa sedang belajar di UIA. Disebabkan tidak mahu berpisah dengan anak bongsu kesayangannya itu, Haji Hilmi sanggup berpindah ke Kuala Lumpur. Sedang mereka rancak berbicara, suara beberapa orang kanak-kanak lelaki memberi salam kedengaran di luar rumah. Haji Hilmi menjawab salam mereka dan disuruhnya tiga kanak-kanak itu pergi ke bilik bacaan yang disediakan khusus untuk kelas mengaji Al-Quran.
“Hari ini Pak Haji ada tetamu. Jadi Pak tak bisa ajarkan kamu baca Quran. Kamu mengaji dengan Akak Aisya ya”,
Kanak-kanak bertiga itu mengangguk serentak. Mereka tidak membantah. Laju saja kaki mereka melangkah ke bilik bacaan. Pintu bilik diketuk perlahan. Haji Hilmi, Hajjah Fatmawati serta Hamim tersenyum melihat gelagat kanak-kanak itu.
“Itu semua anak jiran-jiran Pak. Mereka selalu datang mengaji Quran disini”, jelas Haji Hilmi.
Hamim angguk. Tidak berapa lama selepas itu, suara seorang wanita melafazkan kalimah-kalimah Al-Quran dari Suratul Fussyilat kedengaran. Lantunan suara itu begitu merdu. Hamim bagaikan terpukau apabila suara lunak itu menggegarkan gegendang telinganya. Tidak pernah dia mendengar suara nan indah seperti itu sebelum ini!
Azan zuhur berkumandang. Hamim bingkas bangun dari tidur. Dia terlelap di sofa di ruang tamu sejak pulang dari rumah Haji Hilmi. Dia bangun dan terus masuk ke dalam biliknya. Tingkap yang masih terkatup dibukanya. Kemudian, dia terus merebahkan tubuhnya ke atas katil. Hamim terkenang kembali peristiwa yang berlaku pagi tadi. Dan paling dia tidak lupakan apabila terpandang buat pertama kali wajah manis Aisya. Ketika Haji Hilmi ingin menghantarnya pulang ke rumah, Aisya cepat-cepat keluar dari bilik bacaan untuk menyuruh abinya membeli sampul surat. Saat matanya bertemu denganmata Aisya, dia bagaikan dipukau. Namun dialihkan matanya cepat-cepat. Jiwanya lemah longlai apabila gadis sulung Haji Hilmi itu tersenyum kearahnya. Hamim tersenyum sendirian. Dia memandang sejadah yang terlipat di dalam almari yang terbuka itu. Hamim bingkas bangun dan terus berwuduk!
Tiga bulan telah berlalu. Kini Hamim semakin rapat dengan keluarga Haji Hilmi. Pernah satu hari ketika ketiadaan Haji Hilmi di rumah, Hajjah Fatmawati meminta bantuan Hamim untuk mengambil Anisa dari UIA. Ibu kepada dua puteri itu tidak kisah kerana dia yakin dengan budi pekerti anak muda itu. Anisa pun sudah mengenali Hamim. Dia sudah menganggap Hamim sebagai abangnya sendiri. Dia sendiri memanggil Hamim dengan panggilan ‘Kang Hamim’. Lelaki itu tidak kisah kerana dirinya sendiri pun tidak punyai adik. Lagipun Hamim sangat menyenangi sikap Anisa yang peramah dan murah dengan senyuman.
“ Anisa, kalau senyum batu kerikil pun boleh cair. Manis sangat”, Hamim menyakat Anisa.
“Tapi tidak semanis senyuman Mbak Aisya kan?”, balas Anisa.
Hamim tersipu-sipu. Haji Hilmi, Hajjah Fatmawati dan Anisa tergelak melihat Hamim yang sudah merah pipinya. Tiga beranak itu seakan-akan mengetahui isi hati Hamim. Mujurlah petang itu Aisya tiada di rumah kerana menemani Kak Murni, jiran sebelah rumah bershopping di Suria KLCC. Kalau tidak pasti di’gulai’nya Anisa. Sekitar pukul lima petang, Hamim meminta diri. Tiga beranak itu mengiringi Hamim sehingga ke pintu besar. Hamim bersalaman dengan Haji Hilmi sebelum melangkah keluar.
“Abi, Anisa tengok Kang Hamim tu baik banget ya”, Anisa senyum, menampakkan lesung pipit di sebelah kiri pipinya.
Haji Hilmi mengangguk.
“Ya, memang dia seorang anak muda yang baik. Kenapa? Kamu suka sama Hamim?”, Haji Hilmi mengusik.
“ Bukan suka sama dia. Tapi suka kalau dia dijadikan suami Mbak Aisya”, Anisa senyum lagi.
Dalam masa yang sama, Aisya telah pulang. Dia memberi salam lantas masuk ke dalam rumah sambil membawa dua beg plastik berisi pakaian. Haji Hilmi, Hajjah Fatmawati dan Anisa ketawa apabila melihat Aisya yang baru pulang dari bershopping itu. Aisya hairan melihat gelagat keluarganya.
“Apa yang lucunya?”
Sesudah solat subuh, Hamim duduk di atas katil. Dia beristighfar. Mimpinya malam tadi mengganggunya untuk khusyuk dalam solat subuh.Ketika itu, dia sedang berada di dalam sebuah masjid. Masjid itu sunyi sepi tanpa sesiapapun. Mungkin manusia lain masih lena dibuai mimpi indah. Dia berdoa kepada Allah selepas solat tahajjud. Dia berdoa kepada Allah agar ditetapkan hatinya dalam Islam. Diampunkan segala dosanya, baik dosa yang lepas, dosa akan datang, dosa yang yang dilakukan dalam keadaan sedar serta dosa yang dilakukan ketika lalai. Dia juga tidak lupa untuk mendoakan kesejahteraan roh ayah, ibu, datuk serta Nadia. Dia berharap sangat agar mereka diletakkanNya dalam golongan muslimin dan muslimat serta dijauhi dari azab kubur. Amiinn!
Habis sahaja doa, dia bangkit dari duduknya. Dia berjalan keluar dari masjid yang sepi itu. Tiba-tiba dia didatangi oleh seorang lelaki yang berjubah hitam. Lelaki itu memanggilnya. Hamim menghampiri lelaki itu. Sebaik sahaja Hamim berada di hadapan lelaki itu, sebilah pisau menembusi dada dan tepat menikam jantungnya. Hamim menggelupur di lantai berjubin putih itu.“Ikutilah aku jika kamu inginkan kehidupan kedua”, kata lelaki itu.
Hamim menggeleng dan menyatakan dia tidak mahu. Sebaik sahaja dia menghabiskan kata-kata, sebilah pisau yang sebesar lengan menusuk perutnya pula. Hamim meraung!
Deringan handphone menghapuskan lamunannya. Hamim beristighfar panjang. Dia tahu mimpi itu datang dari syaitan laknatullah! Diambil handphone yang terletakkan diatas meja bulat disebelah katilnya. Mesej dari Anisa.
( Salam. Abi nak ajak Kang Hamim ke Gombak. Ada ceramah katanya. Kang Hamim mau ikut?)
Jarinya pantas menekan kekunci handphone.
(Boleh saja. Anisa ikut tak?)
(Tidak. Anisa ada kuliah jam 9:30 nanti)
(Siapa hantar?)
(Abi. Kang Hamim mau hantarkah? Lagipun tempat ceramah dekat dengan UIA)
(Boleh)
(Ma kasih ya. Okla Anisa nak siap-siap. Salam)
Hamim meletakkan kembali handphonenya di atas meja bulat. Dia terus mandi dan bersiap-siap. Tepat pukul lapan pagi kereta Honda CRV milik Hamim sudah berada di hadapan rumah Haji Hilmi. Salam diberi. Haji Hilmi menyambutnya.
“Waalaikummussalam. Sudah sampainya. Ayo, makan pagi dulu” jemput Haji Hilmi
Hamim mengekori Haji Hilmi ke dapur. Sampai di meja, dia duduk bersebelahan dengan Haji Hilmi. Di dapur, hanya Hajjah Fatmawati yang kelihatan.
“Mana Aisya dan Anisa?” tanya Hamim selepas meneguk teh.
“Itu. Baru siap” Haji Hilimi menjuihkan mulutnya ke arah puteri-puterinya.
“Assalamualaikum Kang Hamim” Anisa memberi salam.
“Waalaikummussalam”, balasnya.
Aisya hanya senyum. Hamim balas senyuman manis itu. Mereka berkudapan bersama-sama bagaikan sebuah keluarga. Siap kudapan, Haji Hilmi, Hamim serta Anisa terus berangkat. Empat puluh minit kemudian, kereta Volvo milik Haji Hilmi yang dipandu Hamim sampai di Masjid An-Nur. Sebelum itu, mereka singgah sebentar di UIA untuk menghantar Anisa. Ceramah belum bermula. Mereka sampai awal setengah jam. Mereka berbual-bual sementara menunggu ceramah bermula. Hamim banyak bertanya tentang Aisya. Dia nekad. Dia akan menyatakan hasratnya untuk menyunting Aisya kepada Haji Hilimi.
“Hamim. Pak ingin mohon ampun. Sebenarnya Aisya sudah bertunang dengan laki-laki pilihannya” kata-kata Haji Hilmi bagaikan curahan asid yang dituang ke dalam telinganya.
Hamim mengeluh. Dari riak wajahnya jelas menampakkan dia kecewa. Dia sendiri tidak menyangka Aisya sudah berpunya sedangkan melalui Anisa, dia tahu Aisya belum punyai sesiapa di hatinya.
“Sabarlah Hamim. Dunia ini memang penuh dengan dugaan. Lagipun bunga bukan sekuntum”, Haji Hilmi menenangkan Hamim.
“Tapi Pak Haji, jujurnya saya telah jatuh cinta dengan Aisya sejak pertama kali saya mendengar suaranya melantunkan ayat-ayat suci dari Suratul Fussyilat tempoh hari. Saya sangat menyintai Aisya. Saya janji akan menjaganya sebaik mungkn”, Hamim membuat pengakuan jujur.
“ Pak faham perasaan kamu. Bersabarlah. Hamim, adakah kamu berubah dari kejahilan disebabkan Aisya?”, Haji Hilmi menduga.
“Tidak Pak Haji. Itu semua kerana Allah. Hidayah dari Allah. Tapi saya yakin, Aisya adalah pengantaranya”, balas Hamim, tenang.
“Adakah selepas ini kamu akan kembali kepada kejahilan?” Haji Hilmi menduga lagi.
“Tidak Pak Haji. Tidak sama sekali”, lantang suara Hamim.
“Kamu pasti?”, Haji Hilmi bagaikan ingin jawapan yang lebih kukuh.
“Demi Allah. Saya akan terus berada di jalan yang mustaqim. Jalan yang diredhaiNya”, Hamim menjawab dengan yakin.
“Alhamdulillah. Pak bangga dengan kamu. Dan Pak sangat berbangga kerana Pak akan bermenantukan laki-laki yang punyai keyakinan yang kuat seperti kamu”.
Hamim terlopong!
kredit: Aqwalinaris
Salam Ukhuwah..~
setiap kesabaran dibalas dgn kebaikan dr Allah..
BalasPadam