Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Ahad, 20 Februari 2011
Sejarah asal usul sambutan maulidur rasul dan hukum menyambutnya
Pada 15/Feb/2011, umat Islam menyambut hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Walaupun ada yang kata tak payah sambut (bidaah) tapi ramai juga yang mempertahankan sambutan hari kelahiran baginda SAW ini.
Terpulanglah pada anda semua. Yang pasti, pokok pangkalnya, saya dan anda semua WAJIB KENAL, CINTA/SAYANG dan IKUT semua suruhan Nabi SAW. Setuju?
Sebut pasal maulidur rasul ini, saya tertanya-tanya juga. Dari manakah asal usul dan sejarah sambutan maulidur rasul ini?
Ada ramai juga kawan-kawan yang bertanya meminta kepastian. Apakah hukum menyambut maulidur rasul ini?
Saya telah buat sedikit semakan berkenaan dengan perkara tersebut. Berikut adalah apa yang saya jumpa.
Siapakah orang yang pertama menyambut maulid Nabi???
Sambutan peringatan Maulid Nabi pertama kali dilakukan oleh Raja Irbil (wilayah Iraq sekarang), bernama Muzhaffaruddin al-Kaukabri.
Sejak bilakah sambutan maulidur rasul ini diadakan?
Ia dimulakan oleh Sultan Muzhaffaruddin pada awal abad ke 7 hijriyah.
Ibn Katsir dalam kitab Tarikh berkata:
“Sultan Muzhaffar mengadakan peringatan maulid Nabi pada bulan Rabi’ul Awwal. Beliau merayakannya secara besar-besaran. Beliau adalah seorang yang berani, pahlawan,` alim dan seorang yang adil -semoga Allah merahmatinya-”.
Dijelaskan oleh Sibth (cucu) Ibn al-Jauzi bahawa, dalam peringatan tersebut, Sultan al-Muzhaffar mengundang seluruh rakyatnya dan seluruh para ulama’ dari berbagai disiplin ilmu, baik ulama’ dalam bidang ilmu fiqh, ulama’ hadits, ulama’ dalam bidang ilmu kalam, ulama’ usul, para ahli tasawwuf dan lainnya untuk meraikannya.
Selama tiga hari, sebelum hari pelaksanaan mawlid Nabi, beliau telah melakukan berbagai persiapan. Ribuan kambing dan unta disembelih untuk hidangan para hadirin yang akan hadir dalam perayaan Maulid Nabi tersebut.
Segenap para ulama’ saat itu membenarkan dan menyetujui apa yang dilakukan oleh Sultan al-Muzhaffar tersebut. Mereka semua menganggap baik perayaan maulid Nabi yang dibuat untuk pertama kalinya itu.
Ibn Khallikan dalam kitab Wafayat al-A`yan menceritakan bahawa al-Imam al-Hafizh Ibn Dihyah datang dari Moroco menuju Syam dan seterusnya ke menuju Iraq, ketika melintasi daerah Irbil pada tahun 604 Hijrah, beliau mendapati Sultan al-Muzhaffar, raja Irbil tersebut sangat besar perhatiannya terhadap perayaan Maulid Nabi. Oleh kerana itu, al-Hafzih Ibn Dihyah kemudian menulis sebuah buku tentang Maulid Nabi yang diberi judul “al-Tanwir Fi Maulid al-Basyir an-Nadzir”. Karya ini kemudian beliau hadiahkan kepada Sultan al-Muzhaffar.
Para ulama’, semenjak zaman Sultan al-Muzhaffar dan zaman selepasnya hingga sampai sekarang ini menganggap bahawa perayaan maulid Nabi adalah sesuatu yang baik.
Para ulama terkemuka dan Huffazh al-Hadits telah menyatakan demikian. Di antara mereka seperti ;
al-Hafizh Ibn Dihyah (abad 7 H)
al-Hafizh al-’Iraqi (W. 806 H)
Al-Hafizh Ibn Hajar al-`Asqalani (W. 852 H)
al-Hafizh as-Suyuthi (W. 911 H)
al-Hafizh aL-Sakhawi (W. 902 H)
SyeIkh Ibn Hajar al-Haitami (W. 974 H)
al-Imam al-Nawawi (W. 676 H)
al-Imam al-`Izz ibn `Abd al-Salam (W. 660 H)
mantan mufti Mesir iaitu Syeikh Muhammad Bakhit al-Muthi’i (W. 1354 H)
Mantan Mufti Beirut Lubnan iaitu Syeikh Mushthafa Naja (W. 1351 H)
dan terdapat banyak lagi para ulama’ besar yang lainnya.
Bahkan al-Imam al-Suyuthi menulis karya khusus tentang maulid yang berjudul “Husn al-Maqsid Fi ‘Amal al-Maulid”. Karena itu perayaan maulid Nabi, yang biasa dirayakan di bulan Rabi’ul Awwal menjadi tradisi ummat Islam di seluruh dunia, dari masa ke masa dan dalam setiap generasi ke generasi.
Apakah hukum menyambut Maulid Nabi?
Peringatan Maulid Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam yang dirayakan dengan membaca sebagian ayat-ayat al-Qur’an dan menyebutkan sebagian sifat-sifat nabi SAW yang mulia, ini adalah perkara yang penuh dengan berkah dan kebaikan kebaikan yang agung. Tentunya perayaan tersebut terhindar dari bid`ah-bid`ah sayyi-ah yang dicela oleh syara’.
Sebagaimana dijelaskan di atas, perayaan Maulid Nabi mulai dilakukan pada permulaan abad ke 7 Hijrah. Ini bererti perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, para sahabat dan generasi Salaf.
Namun demikian, ini tidak bererti hukum perayaan Maulid Nabi dilarang atau sesuatu yang haram. Kerana segala sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam atau tidak pernah dilakukan oleh para sahabatnya belum tentu bertentangan dengan ajaran Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam sendiri.
Para ulama’ menyatakan bahawa perayaan Maulid Nabi adalah sebahagian daripada bid`ah hasanah (yang baik). Ertinya bahawa perayaan Maulid Nabi ini merupakan perkara baru tetapi ia selari dengan al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi dan sama sekali tidak bertentangan dengan keduanya.
Sumber rujukan : Pondok Habib
Maka, bersempena sambutan Maulidur Rasul ini, diseru kepada anda semua untuk kita menyambutnya dengan hati yang benar-benar insaf dan ikhlas.
Mari kita berazam sungguh-sungguh untuk mengamalkan sunnah-sunnah baginda SAW sedaya yang mungkin.
Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas baginda SAW, bukan hanya pada hari maulid saja, tetapi juga setiap masa dan ketika insyaAllah.
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan