Sabtu, 12 Februari 2011

Melihat kebaikan dalam segala perkara


Hamdi rasa sangat sedih dan kesal. Peristiwa yang sudah berlalu beberapa bulan. itu sentiasa menghantui dirinya. Peristiwa itu menjadi igauan paling ngeri pernah dialami dalam hidupnya.

Ketika pulang dari kelas tuisyen pada suatu malam, Hamdi terlihat adiknya Amri berada bersama sekumpulan mat rempit yang sedang bersiap sedia untuk memulakan aksi mereka. Melihat keadaan itu, darah Hamdi menggelegak. Amri yang selama ini disangka pergi ke rumah gurunya untuk belajar tambahan, rupa rupanya menipu. Amri yang bersopan santun dan sentiasa mendengar kata, rupa-rupanya hanya bersandiwara.

Sampai di rumah, Hamdi tidak terus masuk ke dalam rumah tapi menunggu kepulangan Amri dengan rasa marah yang tidak surut-surut. Sebagai anak sulung, dia perlu mengambil berat terhadap adik-adiknya. Tapi dia tidak tahu apa yang hendak dibuatnya pada Amri nanti. Hamdi tidak dapat berfikir dengan waras kerana dirinya sedang dikuasai oleh emosi marah yang meluap-luap. Dia berjalan mundar-mandir di pekarangan rumahnya, menunggu kepulangan Amri.
Apabila melihat Amri pulang, Hamdi tidak buang masa segera menerpa ke pintu pagar. Tanga sedar, Hamdi mengambil sebatang kayu yang ada di halaman rumahnya lalu bertindak memukul Amri. Amri terjatuh tapi kemudian bangkit dan segera melarikan diri ke jalan raya.

Malang... sebuah kereta yang sedang bergerak laju menghentam tubuhnya. Hamdi terperanjat. Dia hanya mampu meraung sambil memegang jasad adiknya yang terkulai tidak bernyawa.

Melihat kejadian ini, rasa seperti amat sukar untuk kita memaafkan Hamdi, yang menjadi penyebab kepada kematian adiknya. Bahkan mungkin Hamdi sendiri pun tidak mahu memaafkan dirinya sendiri. Apatah lagi apabila guru-guru memberitahu. Amri seorang pelajar yang pintar di sekolah dan mempunyai ramai kawan. Kita mungkin berkata, kenapalah Hamdi terlalu mengikutkan nafsu amarahnya dengan menyerang Amri sedemikian rupa? Kenapalah Hamdi tidak dapat bersabar sedikit dengan menunggu adiknya itu masuk ke dalam rumah terlebih dahulu sebelum menghukumnya? Kalaulah Hamdi dapat bersabar sedikit, tidaklah akan berlaku kejadian yang menyayat hati ini.

Peristiwa ini hanya sekelumit dari pelbagai jenis peristiwa yang kita alami dalam kehidupan sehari-hari. Ada peristiwa yang menyedihkan, ada yang menggembirakan, ada yang membahagiakan, ada peristiwa yang membuat kita marah, kecewa, bangga, putus asa dan sebagainya.

Bagi orang beriman, bagaimanakah mereka menanggani setiap peristiwa yang berlaku terhadap diri dan di sekeliling mereka? Bagaimanakah orang beriman menanggapi peristiwa yang terjadi seperti di atas? Adakah mereka juga akan berasa marah dan kesal jika semua itu terjadi atas kelalaian dan kebodohan diri mereka sendiri?

Tentang sifat orang yang beriman ini, Nabi saw bersabda yang bermaksud: "Aku mengagumi seorang mukmin kerana selalu ada kebaikan dalam setiap urusannya. Jika ia mendapatkan kesenangan, ia bersyukur (kepada Allah) sehingga di dalamnya ada kebaikan. Jika ditimpa musibah, ia berserah diri (dan menjalankannya dengan sabar) bahawa di dalamnya ada kebaikan pula.
(Riwayat Muslim)

Inilah sifat orang beriman. Mereka menerima apa jua yang menimpa diri mereka dengan meyakini bahawa ada kebaikan dalam setiap kejadian yang berlaku walaupun perkara itu nampak seperti merugikan, menyusahkan atau mendatangkan keburukan. Semua itu dapat dilakukan melalui pemahaman akan kebesaran dan keagungan Allah.

Orang beriman menyedari bahawa sejak matanya terbuka melihat dunia yang luas terbentang ini, Allahlah yang menetapkan setiap peristiwa yang terjadi dalam kehidupannya. Allah Maha Kuasa, Maha Bijaksana dan Maha Adil. Semua kejadian dicipta oleh Allah dalam rangka memenuhi rencana-Nya menurut ukuran yang telah ditetapkan.

Mungkin kita sering menyebut di sebalik sesuatu peristiwa itu ada hikmah yang tersembunyi yang hanya Allah mengetahuinya. Tapi seringkali kita menyebutnya sekadar menghilangkan rasa bersalah, susah hati atau marah terhadap peristiwa itu. Kadangkadang kita menyebutnya sekadar untuk menyenangkan hati sendiri. Kita menyebutnya kerana la sudah menjadi tradisi dalam masyarakat kita.

Apabila basikal atau motor kita rosak di tengah jalan sehingga lewat ke sekolah atau tidak dapat bertemu dengan rakan-rakan, kita jadi marah-marah. Apabila kita gagal dalam temuduga, kita menyalahkan pihak yang menemuduga kerana tidak adil. Apabila duit kita hilang, kita mulai keluh-kesah sehingga apa saja yang dibuat serba tak kena. Kita terlupa menyandarkannya kepada Allah dan Allah menyuruh manusia berikhtiar melalui akal yang telah dikurniakanNya bagi mengelak sebarang musibah. Sebaliknya kita tertanya-tanya, kenapa kita yang mengalami nasib seperti itu? Sedangkan perkara-perkara itu sangat menyusahkan dan membebankan kita.

Apa pula yang kita katakan jika kakak atau adik perempuan kita diragut sehingga menyebabkannya cedera parah, atau dilanggar oleh mat rempit yang sedang berlumba? Mudah-mudahan Allah memelihara kita daripada keburukan seperti itu, tetapi kita boleh mengelak kalau kita menggunakan ikhtiar kerana Allah melarang manusia mendedahkan dirinya kepada kebinasaan. Apa yang akan kita fikirkan? Sememangnya situasi itu akan menguji keimanan kita. Mungkin secara spontan saja kita menyalahkan si peragut dan mat rempit yang sungguh tidak bertimbang rasa itu. Terlupa kita akan kuasa Yang Maha Kuasa yang telah menetapkan perkara itu. Terlupa kita untuk memikirkan bahawa di sebalik peristiwa itu ada hikmah atau kebaikan yang tersembunyi.

Maha Suci Allah, sesungguhnya Allah terpelihara daripada bersifat zalim. Bahkan Allah sangat menyayangi hamba hambanya. Dalam situasi seperti ini, dapatlah diukur sejauh mana iman kita kepada Allah SWT.

Orang beriman tidak akan kecewa terhadap apa yang terjadi ke atas diri mereka. Mereka memahami bahawa setiap peristiwa yang menyusahkan atau menyakitkan itu, akhirnya akan memberi kebaikan kepada dirinya. Mereka berusaha melihat kebaikan dan maksud Allah menjadikan setiap peristiwa itu. Jika ia tidak nampak sebarang kebaikan di dunia ini, ia tetap yakin ada kebaikan di akhirat nanti - sehingga dengan itu ia dapat menerima setiap peristiwa yang berlaku itu dengan lapang dada.

Untuk melihat kebaikan dalam setiap perkara yang berlaku hendaklah kita benar-benar yakin bahawa perkara yang berlaku itu telah ditakdirkan oleh Allah. Tidak ada satu pun perkara yang terjadi secara kebetulan walaupun perkara kecil seperti digigit serangga atau jatuhnya sehelai daun, semua itu terjadi dalam rangka memenuhi takdir Allah.

Yakinlah bahawa ada kebaikan dalam peristiwa yang kita rasakan buruk. Hanya Allah yang mengetahui peristiwa-peristiwa yang baik dan yang buruk, kerana kebijaksanaan-Nya yang tidak terbatas. Sedangkan pengetahuan kita sangat terbatas dan hanya mampu melihat sesuatu peristiwa itu dari kulitnya saja. Firman Allah: "...boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui. " [al-Baqarah: 216]

Percayalah bahawa Allah tidak membebankan kita melebihi kemampuan yang ada pada diri kita. Kerana itu ujian yang ditimpakan kepada seseorang berbeza dengan orang lain. Ini sesuai dengan firman Allah: "Kami tiada membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya..." [al-Mu'minun : 62]

"Dan orang yang beriman dan mengerjakan aural-aural yang soleh, Kami tidak memikulkan kewajiban kepada diri seseorang melainkan sekadar kesanggupannya, mereka itulah penghuni-penghuni syurga; mereka kekal di dalamnya. " [al-A'raaf : 42]

Kita hendaklah tetap ingat ada kebaikan dalam setiap peristiwa yang berlaku, kerana itu tidak wajar untuk kita rasa marah atau memberontak. Perasaan itu jika terlintas di hati kita hanyalah tipu daya syaitan yang dihembuskan ke dalam hati kita. Semua itu hanya membawa kepada kemurkaan Allah. Firman-Nya: dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya, tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir. " [Yusuf: 87]

Pada dasarnya, apa yang harus kita dilakukan ialah beriman kepada takdir yang telah ditetapkan oleh penciptanya. Sekiranya yang kita alami adalah kesusahan dan kesakitan, ingatlah firman Allah bahawa selepas kesusahan itu ada kesenangan. Firman-Nya: "Sesungguhnya pada setiap kesusahan itu ada kesenangan. Maka pada setiap kesusahan itu ada kebaikan. " [al-Insyirah 5-6]

Orang yang benar keimanannya menggunakan setiap detik kehidupan mereka dengan mengakui bahawa apa pun yang terjadi, semuanya merupakan takdir yang telah direncanakan oleh Allah dengan maksud-maksud tertentu. Mereka terus mengambil manfaat dari pandangan yang positif ini. Mereka tahu bahawa menyesal dan memberontak tidak akan mengubah apa pun dalam takdir yang telah ditetapkan itu.


kredit utk Cahaya

Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan