Selasa, 22 Februari 2011

Erti Kebahagiaan Hakiki


Kebahagiaan adalah suatu perkataan yang abstrak. Pengertiannya begitu luas dan relatif. Lantaran itu ramai manusia gagal mencari dan mengejar kebahagiaan. Mereka tidak mengerti apa itu bahagia dan di mana adanya bahagia. Keadaan ini menjadikan pentafsiran bahagia berbeza antara seorang dengan seorang yang lain.

Semua orang mengejar kebahagiaan dan selalu bertanya bagaimana dapat menghabiskan waktu dengan penuh bahagia. Mengapa saya tidak bahagia? Namun, tidak seorang pun mencapai kebahagiaan. Seorang fakir akan mengatakan bahawa bahagia itu terletak pada kekayaan. Orang sakit pula akan mengatakan bahagia akan dirasai apabila dia sihat. Orang yang terjerumus ke lembah dosa akan mengatakan berhenti daripada melakukan dosa itulah kebahagiaan. Manakala seorang penganjur kemerdekaan pula berpendapat bahawa kemerdekaan dan kecerdasan umat yang dipimpinnya itulah bahagia.

Seorang penyair atau penulis sajak akan bahagia jika hasil karyanya menjadi hafalan orang. Seorang pengarang buku akan bahagia jika bukunya menjadi tatapan dan buah mulut orang.

Zaid bin Tsabit, ahli syair Rasulullah saw mengatakan jika pagi dan petang seseorang itu berjaya membebaskan diri dan dapat hidup dalam keadaan aman dan sentosa daripada gangguan manusia maka ia boleh dianggap seorang yang bahagia.

Orang yang berpegang teguh kepada agama, kebahagiaan ialah meninggalkan perkara yang dilarang, mengikut yang disuruh, menjauhi yang jahat dan mendekati yang baik. Kebahagiaannya adalah mengerjakan suruhan agama semata-mata.

Ibn Khaldun pula berpendapat bahagia itu ialah tunduk dan patuh mengikut garis ketentuan Allah dan berperikemanusiaan. Imam Al Ghazali berpendapat bahagia dan kelazatan sejati ialah apabila kita dapat mengingati Allah. Manakala kesempurnaan bahagia itu bergantung kepada tiga kekuatan, iaitu kekuatan marah, kekuatan syahwat dan kekuatan ilmu. Tetapi kekuatan itu perlu diawasi agar ia tidak terlalu lebih dan tidak tersangat kurang.

Aristotle berpendapat bahagia bukanlah suatu perolehan untuk semua manusia. Corak kebahagiaan yang diperoleh seseorang pula berbeza-beza dan pelbagai ragam mengikut corak dan ragam orang yang mencarinya.

Kadangkala sesuatu yang dipandang bahagia oleh seseorang itu tidak begitu dipentingkan pihak lain. Mengikut pandangan Aristotle, bahagia ialah suatu kesenangan yang dicapai setiap orang mengikut kehendak masing-masing.

Dari keadaan ini dapatlah dikatakan kemahuan manusia yang tidak sama itulah yang menyebabkan kebahagiaan juga tidak dapat disamakan. Sebab itu adalah satu perbuatan yang boleh dianggap keterlaluan sekiranya kita memaksa seseorang supaya berasa bahagia seperti yang kita rasa bahagia.

Aristotle juga pernah berkata hidup bahagia itu ialah apabila seseorang dapat mempergunakan seluruh bakat dan kebolehan yang ada padanya. Apabila kita berjaya mengisikan masa kita dengan kerja yang wajar sama ada bercucuk tanam, mengarang, menyuap makanan kepada bayi dan sebagainya maka kita akan berasa bahagia selepas melaksanakan kerja itu.

Jadi kebahagiaan adalah hasil daripada adanya aktiviti atau usaha seperti disifatkan Aristotle bahawa kebahagiaan itu laksana kemerahan di wajah yang cukup sihat. Seandainya kita menumpukan seluruh perhatian kepada diri kita sahaja maka kita akan menjadi manusia yang mementingkan diri, fanatik dan selalunya berasa tidak puas hati terhadap hidup. Sebab itu lupakanlah diri kita dan isikan waktu dan aktiviti dengan persoalan orang ramai atau curahkan segala daya usaha kita dalam kerja atau kegiatan yang berbentuk kerjasama dengan rakan.

Dengan perkataan lain, angkatkan diri kita daripada lembah nafsu syahwat dan soal titik bengik. Kemudian letakkan diri dengan kerja yang lebih mulia dan luhur. Ketika itulah kita dapat menoleh ke belakang dan mendapati diri kita bahagia.

Sementara itu amalan suka menangguh kerja hendaklah dielakkan. Setiap orang memerlukan masa releks yang banyak dalam mengharungi liku-liku hidup seharian. Mereka juga akan berasa senang apabila hidupnya tidak dikongkong. Mereka akan berasa bebas dan tidak tertekan sekiranya dapat melakukan kerja mengikut suka hati mereka sahaja.

Sebab itu kita sering mendengar ungkapan tunggu dulu, biarkanlah dahulu, esoklah dan pelbagai lagi yang menggambarkan sikap kerja bertangguh dan tiada kesungguhan bekerja di kalangan masyarakat kita.

Sesungguhnya amalan kerja bertangguh tidak harus ada dalam kotak fikiran orang beriman dan yang ingin maju serta mahu mencapai kebahagiaan baik di dunia lebih-lebih lagi di akhirat .

Kerja bertangguh menggambarkan si pelakunya pemalas dan tidak optimis.

Bidalan Melayu banyak menggambarkan akibat yang menimpa seseorang yang suka menangguhkan kerjanya - tidak mementingkan masa. Di antaranya ialah: Kerja bertangguh tak menjadi, bertangguh itu mencuri masa, masa itu emas, masa itu lebih tajam daripada mata pedang dan lain-lain.

Semua bidalan di atas jelas menggambarkan peri pentingnya masa. Allah juga benci kepada orang yang tidak mahu menggunakan masa dengan sebaik-baiknya. Dalam Surah Al Asr Allah berfirman bermaksud:

'Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berwasiat (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran'.

Daripada firman di atas, kita disuruh melakukan amalan soleh dan nasihat menasihati mengenai kebenaran dan kesabaran. Tetapi sebahagian besar manusia masih lalai dan cuai. Hidup mereka masih bergelumang dengan noda dan dosa. Keadaan ini bukan saja akan merugikan hidup kita di dunia malah di akhirat kelak kita akan menerima azab siksa yang pedih.

kredit: Nina Mazrina


Salam Ukhuwah..~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan