Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Jumaat, 11 Februari 2011
Dugaan mendatang ada hikmah di sebaliknya
ACAP kali berkunjung ke rumah jurulatih sukan sekolahnya selepas tamat latihan bola sepak, Tan Lai Huat selalu melihat Cikgu Alias menunaikan sembahyang.
Hakikatnya, beliau bukan sahaja suka berdampingan dengan keluarga itu, tetapi turut berminat mengetahui agama yang menjadi pegangan hidup mereka.
Mengakui perbuatan gurunya itu agak pelik, tetapi hati kecil beliau tidak berdaya menolak keinginan yang membuak-buak untuk lebih mengetahui.
Apatah lagi, teman-teman di sekolah yang beragama Islam mengatakan bahawa ibadah sembahyang itu adalah tiang agama.
"Saya pernah suarakan keinginan untuk memeluk agama Islam kepada ibu tetapi dibantah keras. Memandangkan usia pada masa itu masih belum cukup umur, jadi saya pendamkan sahaja.
"Selepas itu, langsung tidak timbul tentang pengIslaman. Saya menjalani kehidupan seperti biasa. Namun, masalah kesihatan yang dialami beberapa tahun lalu, mengembalikan semula ingatan saya tentang agama Islam.
"Pada saat itu, saya mula terfikir pasal mati, entah esok entah lusa, banyak perkara yang belum sempat saya lakukan dan kalau boleh saya mahu melaksanakannya selagi masih bernafas," cerita Lai Huat atau nama Islamnya, Muhammad Danial Tan Abdullah, 31 tahun.
Kata anak kelahiran Klang, Selangor ini lagi, sekali lagi beliau memberanikan diri menyuarakan hasratnya untuk bergelar Muslim, tetapi tetap ditolak.
Kali ini, ibu Danial bukan sahaja membantah tetapi turut memberi amaran, sekiranya beliau berkeras dengan keputusan tersebut, dia (ibu) akan membunuh diri.
"Risau juga kalau emak betul-betul melakukannya. Maka saya cuba terangkan kepadanya, bahawa saya sudah dewasa dan tahu apa yang baik dan buruk buat diri. Jadi saya terima penolakan ibu, dengan syarat ibu tidak menghalang kemahuan saya untuk belajar tentang Islam.
"Dalam tempoh belajar, iaitu kira-kira sebulan dua selepas itu, saya cuba pujuk ibu agar merestui hasrat saya itu. Alhamdulillah, dengan bantuan adik perempuan dan nenek, akhirnya ibu bersetuju," kata anak sulung ini yang melafazkan syahadah pada 20 Jun 2002 di Pejabat Agama Islam daerah Klang.
Berita pengIslamannya turut disampaikan ke pengetahuan bapanya yang tinggal di Pulau Pinang. Danial bersyukur apabila bapa merestuinya dan hanya meminta agar beliau dapat mengekalkan nama keluarga.
Kebiasaannya, penentangan keras timbul di kalangan keluarga kandung seseorang mualaf itu, tetapi dalam kisah pengIslaman Danial, saudara mara yang memprotes dengan menuduh beliau anak derhaka dan beranggapan pengIslaman itu bertujuan menjadi Melayu.
"Malah ada juga yang bertanyakan soalan berbau sindiran, iaitu bila saya hendak berkahwin. Saya sekadar tersenyum dan bertekad akan mendalami dahulu agama Islam sebelum memikirkan soal rumah tangga.
"Biarpun, sebenarnya pada masa itu saya sudah berkenalan dengan isteri sewaktu dia bekerja di Pelabuhan Utara.
"Menerusi isterilah, banyak tentang Islam yang saya ketahui, apatah lagi saya memang sedang menuju ke arah itu," kata Danial yang memilih Suraidah Md. Sali, 26, menjadi suri dalam hidupnya.
Tambah Danial, selepas pengIslaman, beliau mempelajari agama Islam secara formal daripada Ustaz Yaakub Alwi di Pejabat Agama Islam daerah Klang.
Kemudian, mengikuti kursus selama lima hari dan pada waktu inilah, Danial menerima ujian yang dikira berat apabila beliau diberhentikan kerja serta merta.
"Bekas majikan saya sebenarnya tidak menyokong dan marah apabila mengetahui saya sudah beragama Islam. Sepanjang bekerja di bawahnya, memang sukar untuk saya menunaikan solat. Semuanya terpaksa dilakukan secara bersembunyi.
"Dugaan ini saya terima dengan tenang dan redha. Hakikatnya, semua itu ada hikmahnya. Pertama, dengan suasana di tempat kerja yang langsung tidak menyokong dan kedua, peluang untuk saya memperoleh ilmu agama.
"Selain itu saya dapat berehat selepas terlalu sibuk bekerja siang dan malam dengan rehat yang amat sedikit. Dalam tempoh tersebut, pelbagai kursus dapat saya ikuti, di antaranya; Kursus Intensif Asas Agama Islam dan Perkaderan Dakwah," kata Danial yang kini merupakan Pegawai Panel Dakwah di Pulau Ketam sejak Mac 2005.
Berkongsi pengalamannya menyampaikan dakwah di penempatan yang mempunyai minoriti orang Islam, akui Danial, biarpun ada cabaran tetapi masih boleh diatasi.
Katanya, satu pengalaman manis ialah sewaktu diadakan program forum perdana yang mendapat kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia atau Macma.
Alhamdulillah, pada majlis itu, kehadiran bukan sahaja di kalangan umat Islam tetapi ada juga wajah-wajah baru yang melapangkan masa mendengar ceramah malam itu. Ini secara tidak langsung, memberi gambaran baik kepada syiar Islam di Pulau Ketam.
Bersempena bulan mulia ini, Danial tidak dapat melupakan bagaimana penyakit gastrik dan ulser yang dialami langsung tidak memberi kesan teruk sepanjang melaksanakan ibadah puasa.
Malah lebih menggembirakannya, apabila turut berjaya melakukan puasa enam pada bulan Syawal. Kata Danial, keyakinan yang tidak berbelah bahagi menerusi doa kepada Allah s.w.t. akan dimakbulkan dan ini terbukti kepada dirinya.
kredit utk Utusanmalaysia
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan