Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Jumaat, 28 Januari 2011
ULAMAK ANJING
“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami, kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dia dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: Dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: Dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka pula berlaku zalim kepada diri mereka sendiri.” (Surah al-‘Aaraaf 7 : 175-177)
Sejarah Anjing
Sepanjang sejarah kejadian manusia dan perkembangan Islam di serata pelosok rantau, para rasul, para nabi dan para alim ulama sentiasa mendapat penentangan daripada golongan aristokrat yang ‘berdarah biru’ dan pemimpin-pemimpin yang berkuasa. Penentangan ini adalah sunah semula jadi yang telah terjadi dan akan terus berlaku. Malangnya di sebalik perbalahan dua penjuru ini, sejarah juga mencatatkan penglibatan golongan ketiga yang dijadikan kambing hitam oleh golongan sesat ini sebagai senjata rahsia menewaskan tentera Allah. Kisah Bala'm bin Baau'ra` seorang alim yang sentiasa dimakbulkan doanya tetapi menjual agamanya dengan menjadi 'anjing' kaumnya dan mendoakan kebinasaan Nabi Musa a.s.
Sejarah juga berulang pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. apabila Umaiyyah bin Abi as-Solat yang diberikan ilmu pengetahuan tinggi dan mengetahui tentang kenabian Muhammad s.a.w. tetapi mati dalam keadaan kufur. Begitu juga dengan Abu ‘Aamir bin al-Nu’maan bin Soifi yang digelar Baginda sebagai seorang yang fasik kerana mengingkari kerasulan Baginda walau pun dia seorang rahib yang mengetahui tentang kedatangan seorang nabi akhir zaman. Tidak cukup dengan itu, dia juga menjadi ‘gunting dalam lipatan’ apabila bekerja sama dengan musuh-musuh Islam untuk menghancurkan orang Mukmin.
Anjing Kurap
Oleh itu, dalam ayat 175 surah al-A’raaf, Allah s.w.t. memerintah kekasihnya Nabi Muhammad s.a.w. agar memberikan peringatan kepada umatnya tentang golongan ketiga yang akan digunakan musuh untuk menjatuhkan mereka. Ini adalah golongan ‘duri dalam daging’ yang sangat berkuasa untuk menjatuhkan gerakan Islam, kerana mereka bukan orang Islam biasa yang bertaklid. Sebaliknya merekalah golongan ulama yang sangat berpengaruh dan menjadi rujukan masyarakat. Mereka adalah bijaksana Islam yang mempunyai Ma dan PhD dalam pelbagai bidang pengajian Islam. Tetapi malangnya segala ilmu agama yang mereka kuasai digadaikan demi mendapatkan harta kekayaan, pangkat kedudukan dan populariti. Oleh itu, apabila mereka dibeli oleh musuh Islam untuk mementang gerakan alim ulama, mereka menjadi senjata sulit paling berbahaya.
Allah s.w.t. mengecam ustaz-ustaz murahan yang melacurkan ilmu mereka dengan sekeras-keras kecaman. Dalam ayat berikutnya, Allah s.w.t. mengumpamakan mereka yang tamak terhadap dunia dan haloba dengan kemasyhuran sebagai anjing yang sentiasa menjelirkan lidahnya. Jika anda perhatikan, anjing sentiasa menjulur-julurkan lidahnya apabila dihalau orang, tetapi jika dibiarkan ia tetap juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah lagak ustaz anjing ini, apabila diberikan habuan, mereka meminta dengan lebih banyak tidak ubah seperti anjing kurap. Sebagaimana tabiat biasa anjing yang suka makan sampah sarap yang kotor dan menjilat punggung anjing lain, demikian juga halnya dengan ustaz-ustaz anjing ini yang lahap terhadap ‘sampah sarap’ yang diberikan penguasa fasik untuk kesenangan dunia. Malah mereka juga tidak segan-segan menjilat kaki pemerintah munafik untuk mengampu bagi mendapatkan kedudukan lebih tinggi.
Anjing Bercawat Ekor
Ini adalah kecaman Allah paling keras dan paling hina ke atas alim ulama. Sememangnya kecaman ini berasas dan tepat kerana fitnah yang ditimbulkan mereka terlalu besar. Bayangkan, ketika ulama lain melaungkan seruan jihad untuk membela agama Allah dan mengimpikan syahid, anjing-anjing ini memutarbelitkan istilah jihad ini dengan skop yang lebih kecil. Dengan itu lahirlah konsep jihad ekonomi, jihad pertanian malah jihad politik dengan mengundi parti yang berasaskan kebangsaan. Tidak cukup dengan itu, mereka juga menggunakan (baca– menyalahgunakan) pelbagai ayat al-Quran dan hadis untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa jihad tidak lagi relevan pada zaman teknologi ini, malah menurut anjing-anjing bercawat ekor ini, jihad melawan nafsu lebih besar! Dengan kekuasaan dan kekayaan yang dimiliki oleh ‘tuan anjing’ ini, anjing-anjing ini diberikan jawatan agama yang tinggi, slot-slot khas dalam televisyen, dilantik menjadi editor dan kolumnis akhbar dan majalah, dan dijadikan pemimpin masyarakat. Dengan segala kemudahan yang disediakan, sudah tentu salakan mereka lebih kuat dan bertambah nyaring. Mereka menyalak begitu kuat dan sumbang sehingga menghalalkan pelacuran kerana darurat, mengharuskan judi atas nama ekonomi, melunakkan istilah rasuah yang jijik dengan nama bunga yang indah, membiarkan perzinaan dan pergaulan bebas dengan meletakkannya sebagai kesalahan ibu bapa atau individu semata-mata.
Anjing Menyalak Bukit
Rentetan itu, masyarakat yang masih lemah dengan al-Quran dan ilmu-ilmu agama, terpinga-pinga dalam kekeliruan dan tidak tahu siapa yang harus diikuti. Maka tidak hairanlah ketika beribu-ribu lepasan agama yang dihasilkan setiap tahun daripada IPT tempatan serta ditambah pula ustaz dan ustazah yang pulang daripada Jordan, Syiria, Madinah dan Mesir, masyarakat Islam Malaysia makin jauh daripada agama yang sebenar.
Kita tertanya-tanya, sebegitu ramai pakar fiqah, pakar hadis, pakar tafsir dan pakar bahasa Arab yang keluar setiap tahun daripada universiti-universiti tersohor dunia, ke manakah mereka? Ke mana perginya rakan-rakan Azhariyun yang suatu masa dahulu pernah menggegarkan piramid dengan seruan jihad? Atau apakah setelah diberikan gaji bulanan selesa dan jawatan berkerusi empuk, lalu seruan yang pernah dilaungkan dahulu menjadi seperti anjing menyalak bukit!
Anjing Jilat Tahi
Pada ayat 177 surah al-‘Araaf, Allah s.w.t. menjelaskan sekali lagi bahawa perumpamaan golongan ilmuwan agama yang bersikap tamak seperti anjing menjelirkan lidahnya adalah seburuk-buruk dan sehina-hina contoh.
Justeru itu, artikel ini ditulis bagi menyahut perintah Allah agar memberikan peringatan kepada golongan ini. Sebagaimana kerasnya amaran Allah dalam ayat-ayat di atas, begitu juga penulis menggunakan uslub yang sama. Ibarat kata pepatah, ‘siapa makan cili dia yang merasa pedas’. Penulis berharap tulisan ini menjadi peringatan tegas kepada rakan-rakan daripada kalangan alim ulama, ustaz-ustaz, tok-tok guru dan para profesor, lebih-lebih lagi kepada diri penulis sendiri, agar mencerminkan diri dan bertanya: “Apakah ana ini seekor ANJING?”
dikutip dari tulisan seseorang yg tidak dikenali.
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan