Allah ta'ala telah meletakkan kejayaan dunia dan akhirat dalam agama. Lailaha ilallah..~
Jumaat, 30 April 2010
Hasad Yang Dibenarkan
Hazrat 'Abdullah bin 'Umar r.anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
"Tidak dibenarkan sebarang hasad kecuali terhadap dua jenis orang. Seseorang yang Allah subhanahua ta'ala telah merahmatinya dengan pembacaan al Quran maka dia berada dalam keadaan demikian siang dan malam dan seseorang yang dikurniakan harta dan dia membelanjakan harta itu (dijalan Allah subhanahua ta'ala) siang dan malam."
Hadith riwayat Bukhari, Tirmizi dan Nasai
Keterangan
Daripada ayat-ayat al Quran dan hadith-hadith dapatlah diketahui bahawa hasad (dengki) adalah satu perkara yang keji dan diharamkan secara mutlak. Sebaliknya hadith ini membenarkan hasad itu kepada dua jenis orang. Oleh kerana hadith yang mengharamkan hasad itu lebih banyak dan lebih masyur maka para ulama telah menerangkan hadith diatas dengan dua cara.
Pertama, hasad yang terdapat dalam hadith ini difahami dengan makna 'bercita-cita untuk mendapatkan sesuatu daripada orang lain tanpa ada perasaan dengki.' Sifat ini disebut dalam bahasa 'Arab sebagai 'ghibtah'. Perbezaan antara hasad dan 'ghibtah' adalah, hasad merupakan keadaan seseorang yang apabila melihat sebarang nikmat yang ada pada seseorang yang lain maka dia mahukan nikmat itu hilang daripada orang tersebut, tidak kira sama ada nikmat itu diperolehinya ataupun tidak. Sementara 'ghibtah' pula ialah keinginan secara umum supaya nikmat seperti itu yang ada pada orang lain diperolehinya tidak kira sama ada nikmat itu hilang daripada orang itu atau tidak. Oleh kerana hasad adalah haram secara ijmak maka para ulama telah menggunakan lafaz hasad dalam hadith ini secara kiasan dengan makna 'ghibtah'.
'Ghibtah' dibenarkan dalam hal-hal keduniaan dan digalakkan dalam hal-hal agama.
Makna kedua ialah, mungkin juga perkataan itu digunakan secara andaian iaitu kalaulah hasad dibenarkan maka kebenaran itu hanyalah terbatas kepada dua perkara tersebut sahaja.
kredit; Fadzilat Amal
Salam Ukhuwah..~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan