Sebenarnya dari dalam rumah kita, kita sedang menyembelih Sunnah tanpa kita sedar. Sebenarnya juga dari dalam rumah kita kita sedang membina kebathilan untuk di tiru oleh anak-anak kita. Jadi apabila mereka besar (dewasa) mereka juga akan beramal apa-apa yang kita amalkan sejak mereka kecil kerana mereka memerhatikan apa yang kita buat.
Kita yang belikan pakaian untuk anak-anak kita semasa mereka masih kecil lagi dan apabila mereka meningkat remaja kita beri kebebasan untuk mereka memilih sendiri pakaian yang mereka suka lalu mereka memilih pakaian yang kita kemukakan. Lalu mereka lebih gemar pakai 'T' shirt dengan seluar jeans. Kita pun memang sejak muda suka pakai seluar jeans dan 'T' shirt yang memang bukan pakaian sunnah.
Sewaktu kita bawa balik nasi lemak kita pun cari sudu untuk makan nasi lemak sedangkan Nabi kita ajar makan pakai tangan. Lalu anak kita pun cari sudu ikut kita. Kita yang ajar anak kita makan seperti itu. Jikalau kita makan pakai tangan maka sudah pasti anak kita pun makan pakai tangan.
Ketika balik kerja badan leteh kita solat di rumah dan menjauhkan masjid dalam kehidupan kita. Anak kita memerhatikan kita dan dia pun menjauhkan masjid dari kehidupannya. Sekali apabila kita sudah jadi jenazah anak kita hantar kita ke masjid untuk dimandikan dan di khafankan oleh orang masjid sedangkan anak kita maseh di luar masjid sedang sibuk dengan WhatsApp. Bukankah kita yang ajar anak kita cara begitu.
Kata Abu Hurairah r.anhu, beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,'Di dalam zaman kerusakan ummat barang siapa dapat menghidupkan satu Sunnahku maka ganjarannya adalah pahala syahid. Hadith riwayat Tirmidzi. Tapi kebanyakkan kita bukan menghidupkan sunnah bahkan kita menyembelih sunnah dalam rumah kita.
Marilah kita usahakan agar dapat menghidupkan sunnah Baginda s.a.w. dalam setiap kehidupan kita baik waktu makan ikut cara Rasulullah s.a.w, tidur, berjalan dan cara berfikir juga cara Rasulullah s.a.w.
'Barangsiapa mencintai sunnahku berarti dia mencintaiku, dan barangsiapa mencintaiku dia akan bersamaku dalam syurga.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~
Ujian pertama yang Allah s.w.t. berikan kepada makhluknya yang berakal ialah ta'at. Apabila Iblis meninggalkan keta'atannya kepada Allah s.w.t. Allah telah batalkan seluruh pengurbanan serta ibadah yang sudah dilakukannya selama 80 ribu. Semua kebaikannya musnah.
Setelah Iblis meninggalkan keta'atannya terhadap Allah, Allah ta'ala telah menterbalikkan hatinya, jika sebelum itu Iblis ta'at kepada Allah maka kini Iblis berazam untuk haling manusia dan jinn dari mendekati Allah s.w.t.
Bagi manusia dan jinn pula selepas mereka meninggalkan keta'atan mereka kepada Allah maka akan terasa semua kelebihan yang selama ini Allah berikan kepada mereka tercabut sendirinya. Antara kelebihan tersebut ialah rezeki mencukupi (berkat), ketenangan (sakinah) dan banyak lagi. Ini yang dinamakan nikmat iman.
Kelebihan ini yang berada dalam diri kita sebenarnya adalah pinjaman terbaik dari Allah dan kita wajib pelihara bahkan sempurnakan sepanjang masa hayat didunia untuk memperbaikinya. Memperbaiki disini ialah memperelokkan iman kita sendiri.
Memperbaiki apa yang Allah kurniakan kepada kita ialah dengan cara turut perintah yang Allah sebut dalam al Quran, Allah Tanya dalam al Quran. Perintah agar kita memelihara solat serta zakat dan menyampaikan pesanan yang haq. Pertanyaan siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada kebaikan dan banyak lagi.
Marilah kita teruskan keta'atan kita kepada Allah ta'ala mudah-mudahan kita mendapat petunjuk.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~
Jangan rasa selesa dengan amal ibadah yang telah kita mampu lakukan secara istiqamah. Diri rasa sudah selesa sebab sejak 20 tahun yang lampau kita belum pernah terlepas hadir solat berjemaah dimasjid sewaktu solat fardhu. Sedarlah ada orang lain yang sejak akal baligh belum pernah tinggal takbiratul ula 5 kali sehari dimasjid.
Ada kita yang rasa cukup selesa sebab seawal 5.30 pagi sudah bangun untuk solat tahajud. Jangan lupa ada orang lain bangun 3.30 pagi lengkap 12 rakaat solat tahajud, 4 rakaat solat taubat, 4 rakaat solat syukur dan 3 rakaat solat witir.
Jangan rasa selesa kalau satu malam kita dapat baca Quran sebanyak 4 muka surat yang dalam masa setahun kita dapat khatam 2 kali, sebab ada orang sudah baca 1 juzu' hanya satu malam dan ada yang sudah khatam dalam satu malam saja.
Begitu juga dengan puasa kita, sedekah kita, haji kita yang masuk tahun ini dah kali ketiga. Ingatlah, amal yang banyak bukan jaminan untuk masuk syurga. Kita lupa melihat jiran-jiran kita. Kita lupa yang suatu masa dulu kita pernah melukakan hati mak ayah kita menyebabkan mereka tidak redha keatas kita. Begitu anak siteri yang tidak redha atas kita menyebabkan perjalanan kesyurga tergendala umpama sekeping cek yang bernilai berjuta-juta tapi disebabkan tarikh tidak betul atau tanda-tangan mengelirukan maka tiada tunai di kaunter. Kita akan kecewa yang tiada kesudahan, Abadan abada.
Agar tidak berlaku kecelaruan di kaunter maka kita kena periksa semula hubungan kita sesama mereka. Memang hubungan kita dengan Allah cukup bagus. Setiap 5 waktu solat datang kemasjid lengkap pakaian sunnah, berserban jubbah bagai, bawa isteri sentiasa namun seorang penduduk kampong bagitau ayahnya kata dia lebih zalim dari setan sebab sejak 20 tahun tak pernah bertegur sapa dengan ayahnya sendiri walhal rumahnya dibina diatas tanah ayahnya dan bersebelahan dengan rumah ayahnya. Lalu bagaimana orang yang pergi haji namun jirannya tiada makanan dirumah.
Sebenarnya masuk syurga bukan dengan amal yang banyak tapi dengan Rahmat Allah. Marilah kita usahakan agar hubungan kita dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan kita dengan semua makhluk (hablumminannas) termasuk burung dan kucing sentiasa baik dan terpelihara.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~
Dalam kehidupan seharian kita akan banyak menghadapi masalah, rintangan dan cobaan yang Allah datangkan sebagai mujahadah hidup di dunia dengan tujuan Allah nak tengok apa yang kita nak buat bila trekena musibah atau masalah yang demikian.
Samaada kita jenis orang yang ta'at pada perintah Allah atau tidak ta'at pasti perkara itu di datangkan. Apakah tujuannya dan bagaimana menghadapi (bukan mengatasi) perkara tersebut.
Caranya ialah dengan banyak mengingati Allah. Bagaimana mengingati Allah? Allah ta'ala sebut banyak kali dalam al Quran yang mulia, 'Ingatlah Aku pagi dan petang dalam duduk atau baring'. Pagi dan petang pula maksudnya ialah selepas solat suboh jagalah mulut jangan bercakap perkara sia-sia sebaik-baiknya zikirlah, tasbihat 100, selawat kepada Nabi s.a.w. 100 dan istighfar 100. Itu zikir bagi orang awam, kalau ulamak, ahlullah dan mereka yang seumpama dengannya banyaklah lagi zikir mereka.
Manakala petang pula bermaksud selepas asar, lakukanlah jumlah yang sama. Dalam tasbihat ada 4 kalimah termasuk 'La illaha ilallah', jikalau pagi ada 100 petang ada 100 bermakna sudah ada 200 setiap hari. Dalam sebulan sudah ada enam ribu, dalam setahun sudah ada 72 ribu sedangkan himpunan kalimah 'La illaha ilallah' sebanyak 70 ribu mampu menyelamatkan seseorang dari azab api neraka. Lakukanlah sedemikian sebanyak mana yang kita hendak sampai sakratul maut.
Bila ada ayah atau ibu atau saudara kesayangan kita yang sudah meninggal dan kita sedar arwah semasa hidup tidak cukup bekal untuk masuk kubur waktu itu kita boleh hadiahkan himpunan 70 ribu dari berjuta-juta milik kita mudah2an arwah terselamat dari azab disana.
Namun begitu ada lagi zikir yang boleh mencapai sehingga 2 juta ganjaran seperti yang di paparkan dalam gambar di atas. Ada zikir yang cuma di baca 3 kali setiap lepas solat suboh fadzilatnya tak akan terkena penyakit sopak, gila dan penyakit-penyakit pelik yang Allah datangkan untuk umat akhir zaman ini.
Begitu juga dengan solat2 sunat, kebanyakan kita solat dhuha cuma 2 atau 4 rakaat sedangkan ada orang lain yang dengan 12 rakaat dhuha dapat menyelesaikan masalah ekonomi. Dengan memberi salam disertai selawat dan bacaan surah al Ikhlas saja masalah rumah tangga selesai. Cuma kita tak amalkan apa yang telah disebut oleh Rasulullah s.a.w. Sedangkan kesemua hadith Baginda s.a.w. adalah untuk kita sebagai umatnya untuk di amalkan dalam kehidupan.
Hari ini kehidupan kita tidak banyak mengikut cara hidup Rasulullah s.a.w. sebaliknya kita banyak ikut cara yang di pengaruhkan kepada kita melalui media. Cara makan kita, cara tidur kita cara perniagaan kita dan cara solat kita.
Marilah kita sama-sama memperbaiki amal ibadah kita dalam kehidupan seharian kita mudah2an kita mendapat keredhaan Allah s.w.t. Inilah perkara paling bernilai dalam kehidupan di sini dan di sana.
.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~