Jumaat, 28 Mac 2014

Bagaimana Hendak Meminta Maaf




Memohon maaf merupakan satu perkara yang amat sukar untuk dilakukan namun ia akan menjadi lebih mudah dengan latihan dan disertai dengan pemberian hadiah.

Langkah-langkah:

Fikirkan apa yang telah berlaku dan perbuatan apa yang anda mahu dimaafkan.

Tuliskan perkara tersebut; ini akan membantu anda mengatur idea dan meredakan ketegangan perasaan anda.

Berlatih perkara yang anda hendak cakapkan sehingga anda berasa selesa dengannya.

Nyatakan dengan jelas perbuatan yang anda mahukan kemaafan.

Mengakui perbuatan anda tanpa mengemukakan sebarang alasan.

Berkongsi perasaan anda mengenai apa yang telah terjadi - elakkan daripada menyalahkan orang lain, membesar-besarkan cerita atau menyebut kata-kata yang sia-sia.

Mendengar respon daripada orang berkenaan tanpa mempertahankan diri.

Tawarkan diri untuk memperbaiki keadaan sekiranya sesuai.

Teruskan kehidupan. Apabila anda telah meminta maaf, lupakannya dan biarkan ia berlalu.

Panduan-panduan:

Fikirkan bahawa memohon kemaafan itu sebagai satu komitmen terhadap perubungan dan bukannya satu kelemahan diri.

Ikhlas. Meminta maaf terhadap perkara yang anda benar-benar berasa bertanggungjawab terhadapnya; jangan meminta maaf hanya semata-mata untuk menjernihkan suasana.

Beri masa pada orang berkenaan untuk menenangkan perasaannya - jangan berasa tawar hati sekiranya anda tidak dimaafkan sepenuhnya pada masa anda meminta maaf.


La haula walla quwwata illa billah..~

Jumaat, 21 Mac 2014

5 Panduan Kebahagiaan Dunia Akhirat




Kebahagiaan didunia tidak kekal lama bahkan kebahagian akhirat yang perlu dicarai. Dan bagi mencapai kebahagian dunia dan akhirat ada 5 perkara yang wajib diamalkan.


1. Selalu mengucapkan kalimah tayyibah iaitu “La ilaha illallah muhammadar rasulullah”.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bemaksud: “Banyakkanlah berzikir kepada Allah pada setiap perkara kerana tidak ada amal yang paling dicintai oleh Allah dan tidak ada yang menyelamatkan seorang hamba daripada keburukan di dunia dan akhirat melainkan berzikir kepada Allah.”

2. Apabila ditimpa sesuatu musibah, ucapkanlah “Innalillahi wa-inna-ilaihi-rojiun.”

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Janganlah memperbanyakkan perkataan melainkan zikir kepada Allah.

Sesungguhnya banyak ucapan yang bukan zikir kepada Allah menjadikan hati kesat. Orang yang paling jauh daripada Allah ialah orang yang mempunyai hati yang kesat.” Hadis riwayat at-Tarmizi.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Apakah tiada aku tunjukkan kepadamu kunci untuk membuka pintu daripada pintu-pintu syurga?” Kata sahabat, “Apakah kunci untuk pintu syurga itu?” Jawab Rasulullah s.a.w. “Dengan sentiasa menyebut “Lahaula-wala quwwata-illa billahil ‘aliyi-azim.” Zikir ini bermaksud, “Tiada daya, tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah.” Apabila zikir ini selalu disebut-sebut, insya-Allah seseorang itu akan diberi ketenangan dalam menerima ujian dan keredaan daripada Allah.

3. Apabila dikurniakan nikmat, maka ucapkanlah “Alhamdulillah” sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang diberi oleh Allah.

Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: “Ucapan yang paling disukai oleh Allah ada empat iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, Wa la ilahaillallah, Allahu akbar.” Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “Sekiranya dunia dan seluruh harta kekayaan yang berada di atasnya diserahkan ke tangan seorang daripada umatku, kemudian orang itu berkata Alhamdulillah, maka ucapan Alhamdulillah itu lebih berharga daripada seluruh harta itu. Ini kerana harta dunia akan habis, tetapi ucapan Alhamdulillah
itu akan berkekalan selama-lamanya hingga akhirat.”

4. Ucapkanlah Bismillahir-rohmanir-rahim ketika hendak memulai sesuatu pekerjaan.

Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa setiap pekerjaan baik yang tidak dimulai dengan menyebut nama Allah, maka pekerjaan itu tidak mendapat keberkatan daripada Allah.

5. Ucaplah “Astaghfirullahal-azim wa atubu ilaih” apabila terbuat dosa.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Perlukah aku beritahu kepadamu tentang suatu penyakit dan ubatnya kepada kamu? Sesungguhnya penyakit manusia itu adalah dosa, dan ubatnya adalah istighfar.” Sebagai manusia kita tidak sunyi daripada melakukan salah dan dosa, maka cepat-cepatlah beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Dalam hadis lain Rasulullah bersabda, yang bermaksud, “Barang siapa yang membiasakan dirinya membaca istighfar, Allah akan melepaskannya daripada segala macam kesempitan dan terlepas daripada setiap kesusahan dan Allah memberi rezeki kepadanya dengan tidak disangka-sangka.” Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah.

Mudah-mudahan panduan ini dapat diamalkan untuk mendapatkan kehidupan yang diredai oleh Allah dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.


La haula walla quwwata illa billah..~

Jumaat, 14 Mac 2014

Tabarruj Bahagian Kedua




Mari kita lihat lagi firman Allah:
“Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya, dan hendaklah mereka melepaskan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka..” (al-Nur, ayat 31)

Sebagaimana yang telah disinggung di atas, bahawa para ulamak berselisih pendapat mengenai, apakah muka itu aurat atau bukan. Dan ayat di atas telah menjadi hujah kepada kedua-dua kelompok dengan penafsiran yang berbeda.

Kita ambil sedikit petikan ayat: “…..dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya.”

Terjemahan ayat : “kecuali yang biasa kelihatan padanya..” dapat juga diterjemahkan: “kecuali apa yang zahir” (illa ma zahara). Pada ayat ini Allah Taala melarang wanita mempamirkan perhiasan, kecuali apa yang zahir. Persoalannya di sini ialah, apa maksud perhiasan zahir yang boleh dipamirkan? Jadi, dapat difahami bahawa perhiasan ada dua:


1. Yang zahir/nyata
2. Yang tidak zahir/nyata (batin/dalaman/tersembunyi)

Apakah perhiasan zahir? Apakah pula perhiasan yang tidak nyata? Para ulamak yang mengatakan muka itu adalah aurat, mereka menafsirkan bahawa perhiasan yang zahir itu ialah pakaian itu sendiri. Bila wanita berpakaian, bertudung dan menutup muka, maka itulah dia maksud perhiasan yang zahir. Perhiasan yang tidak nyata pula ialah, rantai leher, gelang, anting-anting dsbnya..

Manakala menurut ulamak yang berpendapat muka itu bukan aurat menafsirkan bahawa maksud perhiasan yang zahir yang boleh diperlihatkan di hadapan lelaki ialah celak dan cincin. Ada yang menambah telapak tangan. Ada yang tambah warna telapak tangan, iaitu pewarna yang dibubuh di telapak tangan (termasuk kuku). Dan, macam-macam lagilah.. tetapi di sekitar itulah. Perhiasan yang tersembunyi pula ialah rantai leher, anting-anting dsbnya.

Kitab-kitab tafsir berikut ada menjelaskan pendapat-pendapat berkenaan: 

1. Jami’ul Bayan – Al-Thabari
2. Ahkamul Quran – AL-Jashas
3. Al-Wajiz fi Tafsiril Quran al-Aziz – Al-Wahidi
4. Ma’alimatut Tanzil – AL-Baghawi
5. Tafsir al-Kasyaf – Al-Zamakhsyari
6. Ahkamul Quran – Ibnul Arabi
7. Al-Muharrir al-Wajiz – Ibnu Athiyah
8. Zadul Masir Fi Ilmit Tafsir – Ibnul Jauzi
9. Al-Tafsir al-Kabir – Al-Fakhrur Razi
10. Al-Jami’ li Ahkamil Quran – Al-Qurthubi
11. Tafsir al-Baidhawi
12. Lubabut Ta’wil Fi Maanit Tanzil – Al-Khazin
Dan banyak lagi……

Pembahasannya lebih kurang sama dalam menafsirkan `perhiasan yang zahir’. Berikut ini adalah apa yang tersebut di dalam Zadul Masir fi Ilmit Tafsir oleh Ibnul Jauzi: 

Maksud `perhiasan yang zahir/apa yang biasa dilihat’, terdapat tujuh pendapat, iaitu: 

1. Ia bermaksud pakaian. Ini adalah riwayat dari Abu Ahwash dari Ibnu Mas’ud.
2. Bererti telapak tangan, cincin dan muka - Dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas
3. Bererti celak dan cincin – Juga dari Said bin Jubair dari Ibnu Abbas.
4. Bererti gelang, cincin dan celak – Al-Misywar bin Mukhrimah.
5. Bererti celak, cincin dan pewarna telapak tangan – Pendapat dari Mujahid.
6. Bererti cincin dan gelang – Dari al-Hasan.
7. Bererti celak, cincin dan pewarna telapak tangan – dari al-Dhahhak.


Itulah pendapat mereka tentang maksud perhiasan zahir yang biasa dilihat. Berdasarkan pendapat Ibnu Abbas, Al-Misywar bin Mukhrimah, Mujahid, dan al-Dhahhak dan al-Hasan dapat kita simpulkan bahawa yang boleh dipamerkan ialah perhiasan yang tidak mungkin diselindung yang memang biasa dipakai oleh para wanita. Kalau perhiasan di muka apa lagi kalau bukan celak. Kalau di telapak tangan apa lagi kalau bukan cincin. Cuma ada beberapa ulamak yang mengatakan bahawa muka itu sendiri adalah perhiasan. Dan telapak tangan itu sendiri adalah perhiasan. Jadi, mereka tidak memasukkan celak dan cincin sebagai perhiasan yang boleh dipamerkan.

Mereka yang memasukkan celak dan pewarna telapak tangan sebagai perhiasan yang boleh dipamerkan di hadapan lelaki ajnabi tidaklah dihadkan terhadap dua perkara itu sahaja. Ia disebutkan hanyalah sebagai wakil dari perhiasan-perhiasan lain yang biasa digunakan pada muka atau telapak tangan. Ia berdasarkan adat, tradisi dan kebiasaan satu-satu kelompok masyarakat. Berikut ini adalah antara perhiasan yang ada dan biasa digunakan oleh para wanita pada zaman Rasulullah s.a.w atau tradisi arab dahulu:
1. Khidhab – Pewarna untuk tangan
2. Shufrah – Pewarna kuning untuk wajah
3. Kalkun – Pewarna untuk memerahkan wajah
4. Isfidaj – Pewarna putih untuk wanita berhias.
5. Celak – Berhias pada mata
(Nanti akan disertakan dalil tentang kewujudan perhiasan ini)


Zaman kita ini sudah tentu yang biasa digunakan sebagai perhiasan muka ialah gincu, bedak, losyen dan juga celak. Jadi, bila celak dan segala macam di atas itu boleh, mengapa tidak gincu? Sebab yang dibenarkan bukanlah diri celak itu secara khusus tetapi sesuatu yang lebih umum iaitu – perhiasan yang biasa dilihat, yang biasa digunakan pada muka. Dan gincu serta bedak adalah termasuk di bawah keumuman ini.

Begitu juga dengan perwarna kuku, ia termasuk di bawah perhiasan yang boleh dipamerkan tetapi hendaklah dari bahan yang tidak menghalang air. Kerana jika air terhalang dari sampai ke kuku akan mengakibatkan wuduk tidak sah.

Berikut ini adalah sebahagian dalil kewujudan perhiasan di atas:

Dari Zainab binti Abu Salamah, dia berkata: Ketika datang berita kematian Abu Sufian dari Syam, Ummu Habibah meminta diberikan wangi-wangian berwarna kuning pada hari yang ketiga. Lalu dia mengusapkannya pada kedua pipinnya dan kedua lengannya. Dia berkata: Sesungguhnya aku benar-benar tidak memerlukan ini, kalaulah bukan kerana aku pernah mendengar Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari kemudian untuk berkabung atas mayat lebih dari tiga hari, kecuali atas suami, maka dia berkabung atasnya empat bulan sepuluh hari. (HR Bukhari & Muslim)

Wangi-wangian di dalam hadis bermaksud pewarna yang menyerlah warnanya dan tersembunyi baunya (tidak menyerlah dan menyemarak). Adakalanya ia disapukan di muka untuk memperelok warna muka atau pada telapak tangan.

Wajib berhias setelah tamat tempoh 3 hari berkabung kerana kematian, kecuali kematian suami yang tempoh perkabungan adalah selama 4 bulan 10 hari. Berhias di sini adalah untuk keluar dari tempoh perkabungan.

Dari Ibnu Abbas r.a., bahawa seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w. untuk berbai’ah kepadanya, tetapi perempuan itu tidak ber –ikhtidab, sehingga baginda tidak mahu membai’ahnya melainkan setelah ber-ikhtidab (HR Abu Daud)

Ikhtidab ialah sejenis pewarna yang biasa digunakan pada telapak tangan pada zaman itu.

Dari Abu Hurairah r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Wangi-wangian lelaki adalah apa yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Dan perhiasan wanita ialah apa yang jelas warnanya dan tersembunyi baunya (HR al-Tarmizi)

Dari Imran bin Husin, bahawa Nabi Allah s.a.w. bersabda: “… ingatlah bahawa wangi-wangian lelaki adalah bau tanpa warna. (HR Abu Daud)

Dari Ummu Athiyah, dia berkata: Adalah kami dilarang untuk berkabung terhadap seorang mayat lebih dari tiga hari, kecuali terhadap suami, maka empat bulan sepuluh hari. Kami tidak boleh bercelak, berwangi-wangian dan memakai pakaian bercelup. (HR Bukhari & Muslim)


Apabila kita menerima hujah yang mengatakan bahawa perhiasan yang zahir atau yang biasa dilihat itu adalah celak, gincu, bedak dan segala suku-sakatnya, maka perlu kita ketahui juga batas-batas yang perlu dipelihara. Iaitu: 

1. Memelihara niat dan tujuan berhias. Tidak bertujuan untuk menarik pandangan dan perhatian lelaki ajnabi.
2. Dari segi praktiknya hendaklah bertepatan dengan niatnya. Iaitu tidak berhias secara berlebih-lebihan hingga atau yang dapat menarik perhatian serta menggugah perasaan lelaki ajnabi. Seperti bercelak dengan cara dan gaya yang dapat menarik perhatian. Atau bergincu dengan warna yang begitu menyerlah – merah menyala-nyala. Atau berbedak dengan bedak yang berwarna warni. Di tambah dengan keharuman yang menyemarak. Atau memanjangkan kuku. Atau sebagainya.
3. Tidak dari bahan yang mengeluarkan bau wangi dan harum menyemarak serta tersebar. Boleh dari bahan yang wangi tetapi yang tersembunyi baunya.

Ya, pokoknya bersoleklah secara sopan, bersahaja dan kemas serta menampilkan ciri-ciri wanita yang baik. Tidak kelihatan seperti wanita yang mahu memikat lelaki atau ciri-ciri wanita fasiq dsbnya. Seperti kita lihat ramai wanita hari ini yang bersolek mengenakan gincu, bedak dan segala macam… Melebihi dari sekadar yang dibenarkan oleh syarak. Mereka ini berhias begini hanya diluar rumah sahaja, sedangkan ketika bersama suami keadaan adalah sebaliknya.

Lebih baik lagi jika diniatkan solekan itu sekadar untuk mengelakkan diri dari kusut masai, berserabut dan tidak terurus. Berginculah sekadar mahu mengelakkan diri dari kelihatan lesu, tak bermaya dan tidak cergas. Berbedak atau berlosyenlah sekadarnya sahaja dengan tujuan mahu menjaga kesihatan kulit muka dsbnya.

Ya.. Kalau bersolek itu tidak boleh, silakan saja. Pergilah ke pejabat atau mengajar ke sekolah, dan jangan bersolek samasekali. Pergilah dalam keadaan kusut masai dengan muka seperti orang yang belum mandi. Kelihatan lesu. Pakaian pula tidak bergosok. Berkedut sana dan sini. Baju bergosok, haram katanya. Ditambah lagi dengan bau peluh yang kurang enak dan menyengat hidung. Pakai wangian walaupun yang baunya tersembunyi utk menghindarkan dari bau peluh, juga haram katanya. Ya.. silakan saja..

Sudah tentu para wanita muslimah dapat menggambarkan bagaimana cara hendak menghindarkan keadaan di atas. Dan.. Kalau sudah dapat menggambarkannya, itulah dia solekkan yang dibenarkan oleh syarak ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi. Sekadar mahu mengelakkan diri dari kusut masai dan nampak tidak terurus.


Saudara yang bertanya berkata: Bagaimana kaedah terbaik untuk menangani masalah tersebut terutama masalah lipstik yang seolah-olah tidak dapat dipisahkan daripada wanita?

Jawab: Bukan sekadar lipstik, malahan umumnya wanita memang tidak dapat dipisahkan dengan bersolek. Sebab sudah memang naluri semulajadi mereka sukakan begitu. Syeikh Athiyah Saqar mengatakan: “Memperelok /menghias diri oleh seseorang manusia secara umumnya mempunyai kepentingan/kebaikan. Dan secara khususnya, menghias diri bagi seorang wanita mengandungi mara bahaya. Kecantikan adalah satu perkara yang disukai oleh jiwa/naluri. Ia mempunyai tempat di dalam agama, di mana ia dituntut secara syarak dengan kadar yang dapat membawa kepada tujuan yang baik darinya, serta terhindar dari perkara-perkara yang diharamkan dari sudut cara, tujuan dan maksud.”


Kesimpulan 

1. Sebahagian ulamak mengatakan muka itu adalah aurat. Sebahagiannya mengatakan muka bukan aurat.
2. Tabarruj jahiliyah yang dilarang di dalam Islam ialah membuka aurat di hadapan meraka yang haram melihatnya.
3. Kebanyakkan ulamak menyatakan bahawa maksud firman Allah: “…kecuali apa yang biasa dilihat.” Adalah sebagai celak dan cincin. Ada yang menambah dengan gelang tangan dan pewarna tangan.
4. Bersolek pada muka dan telapak tangan (termasuk kuku) adalah dibenarkan tetapi dalam batasan-batasan umum yang telah ditetapkan syarak.

Sekian adanya. Wallhu a’lam

Rujukan
1. Al-Quran
2. Ahsanul Kalam – Syeikh Athiyah Sqar
3. Al-Hijab – Al-Maududi
4. Tahrir al-Mar’ah Fi Ashri al-Risalah – Prof. Abdul Halim Muhamad Abu Syuqqah
5. Fatawa Mu’asharah 1 – AL-Qardhawi
6. Fatawa Mu’asharah 2 – AL-Qardhawi.

La haula walla quwwata illa billah..~

Jumaat, 7 Mac 2014

Tabaruj Bahagian Pertama



Mulai bulan mac 2014 ini Tok Wan cuma akan buat posting seminggu sekali sahaja yakni setiap pagi jumaat. Untuk kali ini Tok Wan nak kemukakan hal Tabaruj.



Firman Allah Taala:
"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, supaya mereka mengenakan jilbab ke seluruh badannya, yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal; kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab: 59)

Di dalam surah al-Nur, ayat 31:
"Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya, dan hendaklah mereka melepaskan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka.."


Di atas adalah di antara nash syar'I yang menjadi dasar berpakaian dalam Islam dan berhias (untuk wanita).

Kemudian pada ayat lain Allah berfirman:
"…dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu". (Al-Ahzab:33)

Ayat ini pula menceritakan tentang larangan bertabarruj sebagaimana orang jahiliah dahulu.


Baiklah, berdasarkan seluruh nash-nash mengenai aurat dan berhias, di hadapan kita sekarang ini ada beberapa persoalan yang perlu dipecahkan, antaranya ialah: 


1) Batasan aurat - Anggota asas yang disepakati oleh para ulamak agar ditutup ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua telapak tangan.

2) Apakah muka termasuk aurat - Muka pula telah diperselisihkan di kalangan mereka, ada yang kata ia adalah aurat dan ada yang kata bukan aurat.

Kalau, kita pilih pendapat yang mengatakan bahawa muka adalah aurat… Habis cerita. Soal gincu, bedak, losyen dan celak dsbnya sudah tentu tak timbul. Ia nyata haram dipamerkan di hadapan lelaki ajnabi. Tetapi, bagaimana jika kita memilih bahawa muka itu bukan aurat - kebanyakkan kita memilih pendapat ini -, di mana kedudukan celak, gincu, bedak dan bla.. bla…bla…

Sekarang ini kita pilihlah kononnya bahawa muka itu bukan aurat… Tetapi, sebelum itu lebih baik kita bincangkan dahulu mengenai masalah tabarruj, yang sudah tentu berkaitan dengan soal muka bukan aurat.


Apa itu tabarruj yang di maksudkan di dalam firman Allah:
"…dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu (pertama)". (Al-Ahzab:33)

Ayat di atas sebagai irsyad ( petunjuk/tunjuk ajar) kepada isteri-isteri Nabi s.a.w. agar tetap di rumah dan tidak bertabarruj sebagaimana orang-orang jahiliyah dahulu.

Tabarruj dikatakan sebagai berjalan dengan berlenggang-lenggok atau memperelokkannya. Ada juga yang mengatakan bahawa tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Lagi satu pendapat lain mengatakan, tabarruj ialah memperlihatkan keelokkan/kecantikkannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Tabarruj berasal dari kata BARAJUN, bererti luas. Dan ada yang mengatakan ia berasal dari kata BURJUN yang bererti tinggi.


Selesai mengenai erti tabarruj… Dan, lihat kembali ayat al-Quran: "….orang-orang jahiliyah dahulu."

Tabarruj yang dikaitkan dengan orang-orang jahiliyah dahulu. Siapakah mereka itu? Pada zaman mana orang-orang jahiliyah dahulu berada? Di dalam tafsir al-Qurthubi menyatakan beberapa pendapat mengenainya: 

1. Iaitu masa antara Adam dan Nuh a.s., ini adalah pendapat al-Hakam bin Uyainah.
2. Ibnu Abbas berpendapat: Masa di antara Nuh dan Idris a.s.
3. Al-Kalbi: Masa di antara Nuh dan Ibrahim a.s.
4. Jamaah: Masa di antara Musa dan Isa a.s.
5. Abu Aliyah: Masa di antara Daud dan Sulaiman a.s.
6. Al-Sya'bi: Masa di antara Isa a.s. dan Muhamad s.a.w.

Namun semua pendapat itu tidak disandarkan dengan satu sumber yang kukuh dan sahih. Cuma yang pasti, semua mereka di atas bersepakat mengatakan bahawa jarak masa antaranya dan masa Nabi Muhamad s.a.w. dibangkitkan sebagai Rasul adalah jauh (jangkamasa yang begitu lama). Dan, apabila al-Quran menyebutkan "jahiliyah dahulu" - dahulu/lama/pertama - bermaksud di sana ada yang dikatakan sebagai `jahiliah baru' atau `jahiliyah kedua'.

Bila masa jahiliyah kedua berada? Iaitu selepas jahiliyah pertama dan sedikit masa sebelum kebangkitan Nabi kita Muhammad s.a.w.

Mengapa jahilyah pertama/dahulu ini dikaitkan dengan tabarruj? Buruk sangatkah mereka ini? Hodoh sangatkah perangai depa ni? Ya, gambarannya lebih kurang begini: 

Perempuan-perempuan jahiliyah pertama/awal pakaiannya - memakai baju dari lu'lu', atau baju dari mutiara dan intan yang tidak berjahit kedua belah, dan berpakaian tipis yang menampakkan tubuh badannya. Dengan berpakaian begini, mereka akan berjalan di jalan-jalan mempamerkan diri mereka kepada kaum lelaki. Dan, dapat dirasakan bahawa zaman berkenaan adalah zaman yang penuh dengan kemewahan.

Era jahiliyah kedua yang akan berhubung dengan era kebangkitan Muhammad s.a.w. sebagai rasul tidaklah sampai ke peringkat begitu teruk. Namun ada juga sedikit sebanyak tabarruj yang berlaku, hingga kadangkala sampai ke peringkat telanjang terus. Ini dapat dibuktikan melalui hadis riwayat Muslim, bagaimana kaum wanita zaman itu bertawaf mengililingi Ka'abah dalam keadaan telanjang bulat.

Sekarang ini jelaslah sudah mengapa Allah mengaitkan al-jahiliyah al-`Ula (jahiliyah pertama/dahulu) dengan tabarruj. Dan, dengan penjelasan di atas tidaklah bermakna yang terlarang ialah bertabarruj seburuk orang-orang jahiliyah pertama, kalau kurang daripada itu tidak mengapa. Tak apalah kalau tabarruj sikit-sikit. Ini adalah fahaman yang salah, kerana Allah menyebutkan sifat-sifat tabarruj jahiliyah pertama adalah bertujuan memberi penjelasan realiti yang berlaku ketika itu, bukannya mahu mengaitkan pengecualian hukum selain daripada itu. Ia lebih berbentuk penjelasan tentang keji dan berlawanannya perbuatan itu dengan citarasa serta naluri kemanusiaan.

Perlu diingatkan bahawa maksud tabarruj yang dilarang di dalam Islam ialah membuka aurat - berdasarkan kepada siapa dia berhadapan. Kalau di hadapan dengan lelaki asing, apa yang perlu ditutup. Jika tidak memenuhi kehendak ini, maka dia sudah tergolong di dalam perempuan ynag bertabarruj. Begitulah seterusnya ketika di hadapan mahram, orang gaji dsbnya…

Ya, selesailah sudah penjelasan mengenai tabarruj. Saya harap ia mudah difahami dan tidak membosankan. Dan, kita teruskan lagi ke pembahasan selanjutnya. Kali ini mengenai berhias pula. Tapi tunggulah pada hari jumaat depan dalam bahagian kedua.


La haula walla quwwata illa billah..~

Selasa, 4 Mac 2014

Kekayaan Hati Jamin Hidup Senang



ISLAM tidak menghalang penganutnya mengejar kekayaan harta
tetapi Islam tidak menganggap harta sebagai sesuatu paling bernilai
kerana harta benda boleh lenyap dalam masa yang singkat.


Rasulullah s.a.w. bersabda: 
“Bukan kekayaan sebenar dengan kerana memiliki banyak harta benda, akan tetapi kekayaan itu ialah kaya hati dan jiwa.” 
(Riwayat Abu Hurairah) 

Hadis ini dengan tegas menyatakan bahawa kekayaan sebenar pada
pandangan Islam ialah kekayaan jiwa dan budi yang tidak akan hilang
atau dirampas oleh siapa juga.

Dengan adanya kekayaan hati dan jiwa dalam diri seseorang,
kehidupannya akan menjadi senang, disukai ramai serta dapat mengelakkan
dari timbul perasaan tamak haloba.

Contoh kaya hati ialah seperti ia merasa puas hati dengan rezeki
yang diperoleh dan tidak pula berputus asa untuk menambahnya,
mana kala kaya budi pula seperti ia tidak bakhil menderma 
hartanya pada jalan kebajikan.




La haula walla quwawta illa billah..~

Isnin, 3 Mac 2014

Gabenor Dan Wanita Jelita




Seorang Gabernor pada zaman Khalifah Al-Mahdi, pada suatu hari mengumpulkan sejumlah tetangganya dan menaburkan wang dinar dihadapan mereka. Semuanya saling berebutan memunguti wang itu dengan suka cita. Kecuali seorang wanita kumal, berkulit hitam dan berwajah jelek. Ia terlihat diam saja tidak bergerak, sambil memandangi para tetangganya yang sebenarnya lebih kaya dari dirinya, tetapi berbuat seolah-olah mereka orang-orang yang kekurangan harta.

Dengan kehairanan sang Gabernor bertanya, "Mengapa engkau tidak ikut memunguti wang dinar itu seperti tetangga engkau?" Janda bermuka buruk itu menjawab, "Sebab yang mereka cari wang dinar sebagai bekal dunia. Sedangkan yang saya perlukan bukan dinar melainkan bekal akhirat." "Maksud engkau?" tanya sang Gabernor mulai tertarik akan kepribadian perempuan itu. "Maksud saya, wang dunia sudah cukup. Yang masih saya perlukan adalah bekal akhirat, iaitu sholat, puasa dan zikir. Sebab perjalanan di dunia amat pendek dibanding dengan pengembaraan di akhirat yang panjang dan kekal."

Dengan jawapan seperti itu, sang Gabernor merasa telah disindir tajam. Ia insaf, dirinya selama ini hanya sibuk mengumpulkan harta benda dan melalaikan kewajiban agamanya. Padahal kekayaannya melimpah rauh, tak kan habis dimakan keluarganya sampai tujuh keturunan. Sedangkan umurnya sudah di atas setengah abad, dan Malaikat Izrail sudah mengintainya.

Akhirnya sang Gabernor jatuh cinta kepada perempua lusuh yang berparas hanya lebih bagus sedikit dari monyet itu. Kabar itu tersebar ke segenap pelosok negeri. Orang-orang besar tak habis fikir, bagaimana seorang gabernor boleh menaruh hati kepada perempuan jelata bertampang jelek itu.

Maka pada suatu kesempatan, diundanglah mereka oleh Gabernor dalam sebuah pesta mewah. Juga para tetangga, termasuk wanita yang membuat heboh tadi. Kepada mereka diberikan gelas crystal yang bertahtakan permata, berisi cairan anggur segar. Gabernor lantas memerintah agar mereka membanting gelas masing-masing. Semuanya terbengong dan tidak ada yang mahu menuruti perintah itu. Namun, tiba-tiba terdengar bunyi berdenting, pertang ada orang gila yang melaksanakan perintah itu. Itulah si perempuan berwajah buruk. Di kakinya pecahan gelas berhamburan sampai semua orang tampak terkejut dan kehairanan.

Gabernor lalu bertanya, "Mengapa kaubanting gelas itu?" Tanpa takut wanita itu menjawab, "Ada beberapa sebab. Pertama, dengan memecahkan gelas ini bererti berkurang kekayaan Tuan. Tetapi, menurut saya hal itu lebih baik daripada wibawa Tuan berkurag lantaran perintah Tuan tidak dipatuhi." Gabernor terkesima. Para tamunya juga kagum akan jawapan yang masuk akal itu. Sebab lainnya?" tanya Gabernor. Wanita itu menjawab, "Kedua, saya hanya menaati perintah Allah. Sebab di dalam Al-Quran, Allah memerintahkan agar kita mematuhi Allah, Utusan-Nya, dan para penguasa. Sedangkan Tuan adalah penguasa, atau ulil amri, maka dengan segala resikonya saya laksanakan perintah Tuan." Gabernor kian takjub. Demikian pula paran tamunya. "Masih ada sebab lain?"

Perempua itu mengangguk dan berkata, "Ketiga, dengan saya memecahkan gelas itu, orang-orang akan menganggap saya gila. Namun, hal itu lebih baik buat saya. Biarlah saya dicap gila daripada tidak melakukan perintah Gabernornya, yang bererti saya sudah berbuat durhaka. Tuduhan saya gila, akan saya terima dengan lapang dada daripada saya dituduh durhaka kepada penguasa saya. Itu lebih berat buat saya."

Maka ketika kemudian Gabernor yang kematian isteri itu melamar lalu menikahi perempuan bertampang jelek dan hitam legam itu, semua yang mendengar bahkan berbalik sangat gembira kerana Gabernor memperoleh jodoh seorang wanita yang tidak saja taat kepada suami, tetapi juga taat kepada gabernornya, kepada Nabinya, dan kepada Tuhannya.


kredit: Zana


La haula walla quwwata illa billah..~

Ahad, 2 Mac 2014

Harta Benda Adalah Ujian Terbesar Umat Muhammad s.a.w.




IMAN adalah aset rohani manusia yang tidak ternilai harganya. Tinggi atau rendahnya martabat manusia di sisi Allah ditentukan dengan kadar keimanan yang ada pada diri masing-masing.

Sesiapa yang paling kuat dan sempurna imannya, maka dialah yang paling mulia dalam pandangan Allah. Keimanan yang kuat itu mahal harganya. Ia tidak mungkin diperoleh begitu saja tanpa berhadapan dengan perjuangan yang sukar.

Ini kerana, Allah akan menguji manusia dengan pelbagai ujian dan cubaan hidup untuk melihat dengan jelas hasil daripada ujian itu, mutu iman setiap manusia, apakah ia emas atau tembaga.

Firman Allah yang bermaksud: “Dialah Tuhan yang mencipta mati dan hidup untuk menguji kamu, apakah kamu yang lebih baik amal perbuatannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” – (Surah Al-Mulk, ayat 2).

Sesungguhnya dalam hidup ini setiap individu tidak dapat lari atau dipisahkan daripada pelbagai ujian terutama bagi mereka yang sentiasa mengejar kejayaan dan berusaha untuk mendapatkan kebahagiaan.

Amat rugi anggapan individu yang berasakan hidup ini hanya senang semata, suka dan bahagia atau hanya menganggap hidup ini penuh duka.

Pada hal, setiap bahagia dan sengsara, untung dan rugi, sihat dan sakit dan segala macam kejadian yang menimpa, adalah perjalanan hidup yang sudah menjadi ketetapan Tuhan.

Begitu juga dengan keadaan manusia, ada yang miskin, kaya atau kurus dan gemuk.

Segala-galanya adalah fitrah alam yang diciptakan Allah sebagai renungan dan ujian kepada hamba-Nya yang sentiasa berfikir terhadap kebesaran pencipta.

Berkenaan dengan iman, ujian ketika hidup ini adalah ukuran terhadap usaha dan iman seseorang sama ada berjaya atau tidak.

Semuanya terletak pada sejauh mana kemampuannya menghadapi ujian itu.

Proses ini juga berlaku kepada iman dan takwa seseorang kepada Allah seperti mana diterangkan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Alif Laam Mim. Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman, sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan dan demi sesungguhnya kami menguji orang terdahulu daripada mereka maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah mengenai orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui orang berdusta.” – (Surah al-Ankabut, ayat 1 hingga 3).

Ayat ini memberikan pengertian bermakna berkaitan hubungan manusia dengan hidup sebagai hubungan ujian dan cubaan.

Dalam ayat ini, Allah menjelaskan bahawa manusia itu tidak cukup dan tidak memadai dengan membuat pengakuan lisan yakni dengan berkata ‘kami sudah beriman kepada Allah’, sedangkan mereka belum diuji Allah.

Ini kerana, setiap ujian dan cubaan yang dihadapkan Allah kepada hambanya adalah garis penentu untuk menentukan siapa yang benar-benar beriman dan siapa hanya membuat pengakuan lisan, sedangkan dari segi amalannya mereka berdusta kepada Allah.

Sesungguhnya, ujian kesusahan dan kesakitan adalah ujian paling ringan, kerana maksud dari ujian itu adalah semata-mata untuk menguji kesabaran dan kerelaan seseorang menerima qadar dan qada’ Allah.

Apabila ternyata kesabaran, maka Allah akan tetapkan pahala dan seterusnya dihapuskan sebahagian daripada dosa atau dipertingkatkan darjat hingga ujian itu menjadi nikmat dan kurniaan yang besar dari Allah untuk hamba-Nya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Setiap orang Islam yang ditimpa bencana sama ada yang terkena duri atau lebih berat daripada itu, maka itu adalah semata-mata ujian, kerananya Allah akan hapuskan perbuatan kejahatannya dan menggugurkan dosanya sebagaimana pokok kayu menggugurkan daunnya.” – (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Manakala, ujian Allah melalui nikmat kesenangan dan kekayaan serta pangkat kebesaran pula adalah lebih berat daripada ujian kesusahan dan kesakitan kerana ramai umat Islam yang gagal dalam ujian itu.

Apabila diberi kekayaan dan kedudukan Allah, mereka gagal menjadikan dirinya sebagai Muslim sempurna yang dijadikan khusus oleh Allah untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Bertepatan dengan perkara ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Akan datang suatu zaman atas umatku, bahawa mereka sangat sukakan lima perkara dan melupakan lima perkara yang berlainan dengannya. Mereka sukakan penghidupan lalu melupakan mati, mereka sukakan dunia dan melupakan akhirat, mereka sukakan harta kekayaan dan melupakan hari perhitungan, mereka sukakan rumah besar dan melupakan kubur, mereka sukakan manusia dan melupakan Tuhan Penciptanya.” – (Riwayat Bukhari).

Dalam hadis lain pula, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” – (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Daripada hadis ini, jelas bahawa ujian terbesar kepada umat Muhammad adalah ujian berupa harta benda dan kekayaan.

Dengan harta benda dan kekayaan menyebabkan banyak di antara manusia tergelincir daripada prinsip dan akidah Islam serta tidak dapat mempertahankan diri sebagai Muslim bermaruah tinggi dan berakhlak mulia.



La haula walla quwwata illa billah..~