Bacaan Popular

Jumaat, 27 November 2015

Dosa

Gambar sekadar hiasan sahaja.

Setiap Bani Adam pasti tidak dapat lari dari melakukan dosa dan akan melakukan dosa, samaada dosa kecil maupun dosa besar kecuali Para Nabi yang maksum, dan setiap dosa itu akan Allah ampunkan jikalau mereka meminta ampun kepada Allah. Tinggal bila dan bagaimana caranya untuk memohon keampunan dari Allah saja yang kita belum cukup faham. Dari itu kita harus banyak lagi belajar dari majlis-majlis ilmu yang sering diadakan dimasjid-masjid berhampiran kediaman kita. Biasanya waktu antara solat maghrib dengan isyaklah yang menjadi tumpuan.

Ada dikalangan sesetengah para Ustaz mengatakan bahawa sepertiga malam waktu dimana Allah turun kepada langit yang dekat dan mahu mendengar suara orang yang memohon keampunanNya. Ada yang menangis teresak-esak dalam sujud akhir solat Tahajudnya dan ada yang cuma berkata-kata dalam hati ketika berdoa sewaktu selesai solat Tahajud. Namun walau bagaimana cara yang dilakukan Allah pasti dapat mendengar isihati mereka yang benar-benar ikhlas dan benar-benar rasa berdosa serta mengampunkan dosa-dosa mereka.

Dengan sifat Maha Mendengar oleh Allah ta'ala maka Allah mendengar segala isihati kita. Bahkan didalam hutan rimba yang gelap pada waktu malam Allah ta'ala masih boleh mendengar bunyi tapak kaki seekor semut yang sedang berjalan diatas sebungkah batu yang gelap bewarna hitam. Begitulah Allah dengan ZatNya yang Maha Mendengar.

Jadi sebagai anak cucu Adam kita harus sentiasa beristighfar kerana kita sentiasa berbuat dosa. Kadang kita sedar kita sedang buat dosa dan adakalanya kita tai sedar bahawa kita telah atau sedang berbuat dosa. Sebagai contoh apabila keadaan langit gelap diliputi awan tebal dan disertai pula dengan tiupan angin yang sejuk sudah pasti ramai antara kita akan berkata-kata dalam hati bahkan ada yang berani berkata dengan lidah bahawa hari akan hujan. Sebenarnya kita lupa bahawasanya Allah ta'ala menyimpan rahsia beberapa perkara dari pengetahuan segala makhlukNya. Diantara rahsia-rahsia itu ialah, bila akan berlakunya qiamat, bila, dimana dan berapa titik hujan akan diturunkanNya, itupun dalam rahsia Allah.

Jadi jikalau kita memandai-mandai menyebut dengan lidah ataupun berbisik dalam hati bahawa hari akan hujan bermakna kita telah mendahului  Allah. Ini bukan saja satu perbuatan dosa bahkan kita telah mendatangkan syirik kecil pada hati kita bahawa awan hitamlah yang mendatangkan hujan. Ingatlah bahawa Allah ta'ala boleh mendatangkan hujan tanpa ada awan atau angin pun.

Rupa-rupanya kita telah banyak berbuat dosa dan selagi mana Allah belum menjemput kita kembali padaNya pasti dan pasti kita akan terus berbuat dosa dan setiap itulah juga kita harus ingat bahawa setiap kali selepas solat kita harus beristighfar kepada Allah. Namun jika dikira dengan jumlah solat kita hanya mampu beristighfar sebanyak hanya lima belas kali sahaja dalam sehari sebab dalam solat cuma ada tiga kali istighfar dan jika dikalikan dengan lima waktu baru dapat lima belas kali. Inilah yang memalukan kita sebab Nabi kita Junjungan Besar Muhammad s.a.w. beristighfar sebanyak tujoh puloh kali dalam sehari.

Akhir kata sebelum Tok Wan menutup penulisan yang ringkas ini Tok Wan nak beri syor kepada para pembaca supaya mengamalkan solat taubah dua raka'at pada setiap malam sebelum tidur. Nak mengadu atas dosa-dosa kita pada sepanjang hari ketika dalam sujud akhir boleh dalam doa selepas solat pun boleh. Tapi yang terbaik tambah lagi tiga atau satu raka'at solat Witir kerana Allah s.w.t. suka yang ganjil. Dalam solat Witir itu mohonlah kepada Allah diberikan kekuatan untuk meningkatkan amal ibadah dan dijauhkan berbuat dosa. Lakukanlah ini secara istiqamah sehingga kita tiada lagi. 
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~

Jumaat, 20 November 2015

Syafa'at

Gambar sekadar hiasan.

Setelah alam sunyi sepi selama 40 tahun maka Allah subhanahua ta'ala menghidupkan semula Izrafil lalu kesemua roh manusia dimasukkan kedalam mulut Nafiri (sangkakala) dan bilamana Allah ta'ala perintahkan Izrafil meniupnya maka bertebaranlah roh tersebut keluar dari Nafiri berterbangan mencari jasad masing-masing.

Diwaktu itu jasad-jasad yang keluar dari rekahan bumi Mahsyar bergelimpangan dalam keadaan terlanjang seperti ketika baru dilahirkan dari perut ibu-ibu mereka dan kesemuanya dalam keadaan belum berkhatan. Lalu apabila roh telah masuk kedalam jasad masing-masing maka ada yang menggeliat, ada yang menguak seperti baru bangun dari tidur maka masing-masing berjalanlah menuju medan Mahsyar.

Dalam perjalanan menuju kemedan Mahsyar itu oleh kerana masa yang diambil untuk perjalanan terlalu panjang maka bayi-bayi yang belum berkhatan itu telah berubah dewasa hingga tumbuh uban dikepala masing-masing dan ketika sampai di Medan Mahsyar kelihatanlah satu susuk tubuh manusia yang paling tinggi yang berada ditengah-tengah berbillion bahkan bertrilion atau  mungkin juga fourlion atau fiflion jumlah manusia. Dia ialah Nabi Adam a.s. Masing-masing berkerumun mengelilingi kepada Nabi Adam a.s. untuk memohon syafa'at dari nenek moyang mereka itu. Lalu salah seorang diantara mereka bersuara.

'Wahai Nabi Adam, engkaulah moyang kepada kami semua. Engkaulah yang paling dekat dengan Allah ta'ala kerana Allah ta'ala menjadikan engkau dengan tanganNya sendiri tanpa bapa dan tanpa ibu. Sekarang kami memohon kepadamu agar engkau memohon syafa'at dari Allah ta'ala untuk diberikan kepada kami semua'. Lalu Nabi Adam a.s. menjawab, 'Sebenarnya aku tak layak memohon syafa'at dari Allah ta'ala untuk diberikan kepada kamu semua sebab disyurga dulu aku telah buat satu kesalahan, yakni memakan buah kuldi yang sebelum itu Allah melarang aku mendekati pohon itu. Dan untuk mendapatkan keampunan dari dosa tersebut aku terpaksa memohon ampun kepada Allah selama 40 tahun barulah Allah ampunkan dosa aku itu. Sekarang pergilah kamu semua kepada Nabi Nuh a.s. barangkali dia boleh memberi syafa'at untuk kamu semua.

Maka berbondong-bondong manusia pergi mencari Nabi Nuh a.s. Apabila sudah berjumpa Nabi Nuh a.s. maka mereka menyuarakan perkataan yang sama, yakni memohon Nabi Nuh a.s. mendapatkan syafa'at untuk mereka, tapi Nabi Nuh a.s. juga menjawab seperti Nabi Adam a.s. Apa kata Nabi Nuh a.s. kepada mereka?

'Sebenarnya akupun tak layak memohon syafa'at dari Allah ta'ala untuk menolong kamu semua sebab semasa didunia dulu akupun pernah buat silap. Silap yang teramat besar, yang sampai hari ini aku masih menyesal. Berjuta-juta manusia telah mati dalam banjir besar kerana doaku kepada Allah ta'ala supaya Allah ta'ala menghapuskan kaumku sendiri kerana mereka ingkar kepada ajakan agama Allah ta'ala yang aku cuba sampaikan kepada mereka. Pergilah kamu semua mencari Nabi Ibrahim a.s. sebab dialah yang mempunyai kelayakan untuk memberi syafa'at yang kamu mahukan itu.' Maka kesemua umat telah pergi mencari dan mendapatkan Nabi Ibrahim a.s.

Setelah berjumpa dengan Nabi Ibrahim a.s. dan menyatakan hajat mereka lalu Nabi Ibrahim a.s. bersabda, 'Sebenarnya aku juga tidak layak memohon syafa'at dari Allah ta'ala untuk menolong kamu semua sebab semasa didunia dulu aku juga telah tiga kali silap cakap bukannya cakap bohong pun. Sewaktu seorang lelaki mushrik datang kerumahku untuk bermalam dirumahku satu malam aku telah memberi syarat kepadanya, kataku, 'Jika engkau masuk kepada agama yang aku bawa maka engkau akanku beri makan dan bermalam dirumahku' maka lelaki mushrik itu pergi lalu Allah ta'ala menegur perbuatanku itu. Firman Allah ta'ala kepadaku. 'Wahai Ibrahim... selama tujuh puluh tahun Aku beri rezeki dari sisiKu kepadanya dan Aku tak pernah menghukumnya semasa didunia walaupun dia kufur kepadaKu, sedangkan engkau hanya untuk satu hari saja sudah membuat hukumanmu sendiri.' Oleh kerana itu aku malu nak minta syafa'at dari Allah ta'ala untuk menolong kamu semua, pergilah kamu semua kepada Musa a.s. kerana dialah Nabi yang pernah berkata-kata terus dengan Allah ta'ala.

Maka kesemua umat telah pergi kepada Nabi Musa a.s. dan bilamana telah berjumpa serta menyatakan hasrat maka Nabi Musa a.s. bersabda, 'Aku telah hilang kelayakan untuk memohon syafa'at dari Allah ta'ala bagi menolong kamu semua sebab semasa didunia dulu aku juga telah berbuat perbuatan yang Allah larang, aku telah melempang seorang pemuda berbangsa Yahudi sehingga dia mati walhal aku dihantar kedunia dulu  bukan untuk membunuh tetapi untuk mendakwahkan manusia agar semua umat ta'at kepada perintah Allah. Pergilah kamu semua kepada Nabi Isa a.s. sebab dia Nabi yang istimewa yang dijadikan Allah ta'ala lahir menyalahi asbab yakni tanpa bapa.

Maka pergilah sekelian umat menemui Nabi Isa a.s. untuk mendapatkan syafa'at. Namun mereka semua kecewa lagi dan meminta semua mereka untuk pergi menemui Nabi Muhammad s.a.w. yakni Nabi Allah yang terakhir yang diutuskan kemuka bumi dan dialah Nabi yang paling disayangi oleh Allah ta'ala. Maka mereka semua mencari dimana adanya Muhammad s.a.w. Setelah menemui Baginda s.a.w. dan mentakan hasrat lalu bersdabdalah Nabi Muhammad s.a.w.

'Memang akulah yang diberi kelayakan untuk memohon syafa'at bagi kamu semua.' Lalu Nabi Muhammad s.a.w. bersujud begitu lama. Kemudian Allah ta'ala berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w. 'Wahai Muhammad, disini bukan tempat bersyari'at, disini bukan tempat untuk bersolat, katakan apa sahaja Aku mendengar, angkatlah mukamu, mintalah apa saja dari sisiKu Aku akan beri.'

Maka dalam satu hadith Nabi s.a.w. beritahu kepada para Sahabat r.anhum bahawa Baginda s.a.w. akan berdoa yang mana doa tersebut Baginda sendiri pun belum tahu dan hanya akan diwahyukan kepadanya sewaktu di Mahsyar nanti.

Mudah-mudahan kita semua termasuk dalam golongan mereka yang mendapat syafa'at dari Baginda Rasululllah s.a.w.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~

Jumaat, 13 November 2015

Nur

Gambar sekadar hiasan sahaja

Dikatakan Titian Sirat memakan masa seribu lima ratus tahun dalam keadaan amat gelap. Dibawahnya pula ngauman Jahannam amat menggerunkan. Apabila diseru nama seseorang kerana giliran melintasnya sudah tiba dan apabila beridirinya ia dipermulaan Titian Sirat itu maka keringlah seluruh darah yang ada dalam tubuh badannya oleh kerana terlalu gerun. Walhal dalam masa yang sama dihadapan sudah jelas kelihatan berjuta-juta manusia terjatuh kedalam ngauman Jahannam dengan jeritan yang berpanjangan sambung bersambung.

Umalak bagitau laluan yang gelap itu sehalus rambut dibelah tujuh dan tajam lebih dari mata pedang sedang kita dalam keadaan tidak dapat melihat titian tersebut maka dikala itulah nur dari amalan kebaikan dan amal ibadah yang kita lakukan semasa didunia hadir untuk membantu kita. Nur ini datang dari bacaan al Quran kita, zikir, puasa, sedekah dan lain-lain.

Golongan pertama yang melintas sepantas kilat pasti bertuah, mudah-mudahan aku salah seorang daripada golongan tersebut. Golongan kedua melintas pantas umpama burong yang terbang. Golongan ketiga yang melintas sepantas kuda yang berlari. Golongan seterusnya umpama orang yang berlari. Golongan keempat umpama orang yang berjalan dan golongan kelima umpama orang yang merangkak.

Golongan kedua walaupun selaju kuda yang berlari namun cakok-cakok yang tajam yang sentiasa berayun dari ngauman Jahannam yang amat panas akan cuba mencakok dan menjatuhkan setiap orang yang melintas diatas titian tersebut. Ini semua bergantung kepada amal ibadah yang dilakukan semasa hidup didunia, jika amal ibadahnya baik maka cakok-cakok tersebut tidak dapat menyentuhnya. Nabi s.a.w. bagitau ada ramai orang yang selamat sampai keseberang titian dalam keadaan luka parah akibat terkena cakok Jahannam tersebut.

Jadi hari ini aku bertanya kepada diriku sendiri sudahkah baca al Quran? Jangan jawab saya dah qatam, sejak kecil sudah empat kali qatam. Bukan itu jawapannya. Al Quran untuk dibaca setiap hari, bukan banyak manapun, cuma 600 muka surat.

Enam ratus (600) muka surat jika setiap hari baca dua (2) muka surat pasti dalam masa sebulan boleh capai enam puloh (60) muka surat, dan dalam tempoh sepuloh (10) bulan yakni sebelum datangnya Ramadhan 1437 pasti kita boleh qatam. Sambung lagi dalam bulan Ramadhan baca dua puloh (20) muka surat maka sudah pasti dalam satu tahun dapat qatam dua kali. Tak susah mana sangat pun kan!

Tapi selalunya kita ditipu oleh syaitan laknatullah untuk membisikkan kehati kita .... ahhh... esok sajalah. Walhal esok belum tentu kita masih ada.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~


Jumaat, 6 November 2015

Perisai

Gambar sekadar hiasan sahaja.

Sedang minum-minum di sebuah gerai yang tidak jauh dari rumah tiba-tiba seorang perempuan separuh umur datang lalu melontar senyum dari jauh lagi. Sampai di dekat dia pun memberi salam. Selepas memberi salam dia minta izin hendak bertanya. Soalannya tak pelik mana pun. Begini soalannya. 

'Nak mengelakkan dari orang buat khianat kat kedai kita (kedai makan) nak baca ayat apa Tok Wan?' Katanya. Lalu selesai dia menambah sedikit info di belakang soalan tersebut yang kononnya sejak kebelakangan ini perniagaan semakin merosot.

Jawapannya mudah saja. Yang pertama kena percaya bahawa ajal, jodoh dan rezeki telah Allah ta'ala tentukan 50 ribu tahun sebelum Allah ta'ala mencipta bumi. Jadi jika berlaku pengurangan terhadap rezeki maka yakinlah bahawa itu memang ketentuan atau sukatan yang Allah beri kepada kita dengan asbab. Asbab yang paling hampir mungkin kurangnya kita berhubung dengan Allah, mungkin solat dhuha cuma hanya 2 rakaat sahaja atau langsung tak buat sebab sibuk dengan perniagaan. Asbab kedua mungkin perniagaan kita itu tidak diberkati Allah, mungkin ada pekerja wanita kita mendedah aurat dimana mungkin kita lihat dia bertudung tapi lengan terdedah.

Dengan pantas dia menurunkan lipatan lengan baju ketempat asal. Lipatan lengan baju memang biasa berlaku terutama ketika menyediakan makanan baik sewaktu memasak maupun waktu membasuh sayur atau peralatan yang telah digunakan. Sudah selesai buat kerja lupa nak turunkan lengan baju dan terus keluar ketempat awam dalam keadaan mendedahkan bahagian lengan.

'Kalau semua bahagian yang Tok Wan sebut tu kita dah buat semua apa lagi yang kita kena buat Tok Wan?' Soalan baru nampaknya. Arrr... yang ini peluang untuk berakwah nampaknya. Dia terus berdiri ditepi meja tempat dimana Tok Wan duduk ketika minum.

Kita kena buat perisai untuk diri kita dan bila kita ada perisai untuk diri pasti akan wujud perisai untuk perniagaan kita pula. Caranya ialah dengan menghampirkan diri kepada Allah s.w.t. Pastikan solat fardhu cukup dan sempurna. Selepas solat suboh istighfar 3 kali diikuti 'Laillaha ilallah wahdahu lasyarikal..... sampai....kullisyai in kodir sebanyak 10 kali dikuti Allah humma jirni minannar 7 kali kemudian al Fatihan kemudian ayatul Qursi kemudian jika tak sibuk sambung dengan tasbeh Fatimah dan selepas berdoa jikalau terpaksa terus masuk dapur untuk memasak seelok-eloknya tasbihat, yakni subhanallah alhamdulillah laillaha ilallah dan Allahu akbar sebanyak 100 kali , kemudian selawat keatas Nabi s.a.w. 100 kali kemudian diakhiri dengan istighfar 100 kali sewaktu melakukan kerja-kerja dikedai tersebut.

Dengan istighfar 3 kali selepas solat suboh pasti Allah ampunkan dosa-dosa kita walaupun sebanyak bueh dilautan. Dengan bacaan ayatul Qursi pula Allah ta'ala beri jaminan dalam pemeliharaanNya sehinggalah kepada solat zohor. Jadi kita kena yakin dengan janji Allah, yakin dengan penuh yakin, yakin dengan ainul yakin, dengan haqqul yakin.... inilah yang dinamakan iman. Setiap hari wajib baca al Quran paling kurang dua muka surat. Al Quran hanya mempunyai 600 muka surat jika kita membaca setiap hari berarti dalam masa 10 bulan kita sudah qatam, ditambah bacaan al Quran dalam bulan Ramadahnmenyebabkan setahun kita qatan duakali. Jika Allah beri tempoh lagi 2 tahun untuk hidup bermakna kita dapat qatam lagi 20 kali.

Hanya dengan cara inilah kita dapat menghampirkan diri kepada Allah dan usaha kita bersungguh-sungguh itu adalah istiqamah kita untuk menjadikan diri kita disayangi oleh Allah ta'ala/ Dan bila kita yakin kita disayangi Allah ta'ala maka apabila datang apa-apa makhluk yang dihantar oleh bomoh siam atau bomoh orang Asli pasti tidak dapat menjelaskan kekuatan yang ada pada kita sebab kita bersama dengan Allah. Apabila kita bersama dengan Allah pasti tidak ada satu makhluk pun yang dapat memberi kesan terhadap kita. Inilah perisai yang paling hebatdan perisai ini hanya diperolehi oleh Umat Nabi Muhammad s.a.w.

Untuk memperkukuhkan lagi perisai yang sedia ada ini amat elok jika kita berpuasa isnin khamis, atau 1,15 dan 30 haribulan setiap bulan atau 13,14 dan 15 haribulan pada setiap bulan. Apabila ada puasa 3 hari dalam setiap bulan menjadikan kita berpuasa sepanjang bulan dan jika berpuasa setiap bulan bermakna berpuasa setiap tahun. Sebab Allah ta'ala berjanji akan menggandakan setiap amal kebaikan kita kepada sepuloh kali ganda, ini bermakna 3 hari berpuasa menjadikannya 30 hari. Pemberian berupa gandaan sehingga 10 kali ini juga hanya diberikan Allah ta'ala hanya kepada Umat Nabi Muhammad s.a.w. Siapa Umat Nabi Muhammad s.a.w.? Kita inilah.... sebab apa? Sebab Nabi s.a.w. adalah kekasih Allah.

Umat-umat terdahulu serta Nabi-nabi a.s. terdahulu begitu cemburu dengan apa yang kita dapat dengan amalan tersebut sehingga ada diantara Nabi a.s. terdahulu telah minta kepada Allah ta'ala nak turun semula kedunia nak jadi Umat Nabi Muhammad s.a.w. Namun semuanya tidak dapat kecuali Nabi Isa a.s. yang dinaikkan kelangit dalam keadaan belum wafat. Dan suatu hari nanti Nabi Isa a.a. akan diturunkan semula kebumi untuk menjadi Umat Muhammad s.a.w.

'Terima kaseh Tok Wan... tengahari nanti Tok Wan datang sini kita belanja Tok Wan makan'. Kata perempuan itu.

'Alhamdulillah' Kataku kepada perempuan itu tapi sebenarnya aku tak berhajat untuk datang makan dikedainya tengah hari nanti sebab penat lidah aku bercakap untuk dia bukan untuk makanan yang ditawarkannya kepada aku tapi aku nak amalkan al Quran. Selalu aku dengar Ustaz kata kita hanya baca al Quran tapi tak mengamalkannya. Pagi tiu aku sudah mula mengamalkan ajaran al Quran aku sudah menyampaikan pesan-pesan yang haq serta penuh sabar dalam melayan pertanyaannya yang berbagai-bagai dan diakhiri dengan sabar dalam menerima tawaran kepada ganjaran. Perkara ini ada dalam surah Wal Asr yang mahfumnya 'Demi masa, sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian kecuali....sampai.... dengan pesan yang haq dan dengan sabar'.
.
.
La haula wala quwwata illa billah..~